kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Merdekakan minda dan jiwa

MEMASUKI tahun ke-57 ulang tahun kemerdekaan negara, kita sepatutnya sudah mencapai satu tahap kematangan pemikiran yang tinggi dan progresif. Walaupun umur kemerdekaan negara kita masih dikira baharu dan muda namun 57 tahun untuk seorang pekerja misalnya penjawat awam menunjukkan hanya berbaki tiga tahun untuk bersara daripada perkhidmatannya.

Ini menggambarkan betapa usia 57 tahun adalah suatu tempoh masa yang cukup signifikan dan kritikal terutamanya dalam membentuk minda dan pemikiran rakyat negara ini dalam konteks membina sebuah negara bangsa yang maju dan cemerlang.

Hakikatnya apakah rakyat kita pada hari ini benar-benar matang dengan minda dan jiwa yang sudah merdeka sepenuhnya?

Mengikut Kamus Dewan, merdeka bermaksud kebebasan iaitu bebas daripada penjajahan atau kurungan, boleh berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. Mengikut tafsiran ini memang betul kita sudah bebas dan tidak lagi dijajah secara fizikal namun bagaimana pula dari aspek kemerdekaan minda, pemikiran dan jiwa?


Pelajar Sekolah Kebangsaan Combined turut bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan
Hari Kemerdekaan ke-57 yang akan disambut beberapa hari lagi pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri
di sekolah itu, di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA


Dalam konteks ini, kemerdekaan minda boleh merujuk kepada kebebasan daripada penjajahan pemikiran dan budaya negatif yang merosakkan. Sebagai bangsa berdaulat dan juga sebagai orang Timur, kita sememangnya memiliki adab, nilai murni dan budaya tersendiri. Perkara ini kita warisi sejak turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi. Persoalannya apakah generasi hari ini benar-benar menghayati dan menjiwai adab, nilai murni dan budaya yang kita pertahankan selama ini?

Rentetan daripada beberapa peristiwa yang berlaku dalam masyarakat mutakhir ini seolah-olah membuktikan bahawa rakyat kita masih belum matang dan mindanya belum merdeka sepenuhnya.

Budaya pemikiran yang negatif, kolot, curiga antara satu sama lain dilihat terus membelenggu pemikiran dan minda masyarakat kita.

Akibatnya kita sentiasa berburuk sangka dan membiarkan persepsi menguasai dan mempengaruhi minda, pemikiran, emosi dan juga tingkah laku kita. Kebanyakan daripada kita pada hari ini sering menerima dan memahami sesuatu perkara mahupun perubahan itu dari kaca mata negatif terlebih dahulu.

Ringkasnya, kita terus menjatuhkan hukuman bersalah tanpa menyiasat secara terperinci. Ini ditambah pula dengan adanya media sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi platform untuk meluahkan pandangan dan melepaskan geram masing-masing tanpa sebarang sekatan di samping mengundang pelbagai komen dan reaksi daripada seluruh masyarakat.

Dalam hal ini, generasi muda dilihat semakin ghairah dan hanyut dengan perkembangan teknologi dan media baru yang membuatkan mereka cukup ketagih sehingga terdesak menjadi wartawan celup dan segera yang tidak bertauliah.

Jabatan-jabatan kerajaan misalnya sering menjadi mangsa keadaan di mana sesuatu perubahan terutamanya dari aspek dasar mahupun peraturan yang diperkenalkan terus dilabel sebagai tidak baik dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat tanpa ia diuji terlebih dahulu.

Akibatnya niat dan matlamat yang baik tergendala dan merugikan rakyat atau kumpulan sasaran tertentu.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pada hari ini kita dapat melihat kelahiran sebuah generasi yang begitu nipis adab, tatasusila dan nilai-nilai murni yang baik. Generasi hari ini sudah berani mencabar undang-undang, menghina para pemimpin, mempertikai dan mempersoalkan kontrak sosial dan apa yang terkandung dalam Perlembagaan, tidak menghormati agama dan bangsa lain serta sanggup membakar dan menukar Jalur Gemilang.

Malah ramai yang berani berdemonstrasi dengan tujuan menggulingkan kerajaan dan mencetuskan huru-hara tanpa mempedulikan soal keselamatan rakyat dan negara ini. Kejadian seumpama ini dilihat terus menjadi-jadi dan merebak menjadi viral dalam kalangan anak muda negara kita.

Apa yang mereka tuntut adalah kebebasan ala Barat yang bakal menghancurkan masyarakat dan negara kita. Situasi ini kalau dibiarkan berterusan bakal mengundang malapetaka besar kepada masa depan masyarakat dan negara ini.

Maka persoalannya sekarang ialah selepas 57 tahun dan setelah mengambil kira senario semasa, apakah kita boleh mengatakan bahawa minda dan jiwa kita sudah merdeka sepenuhnya?

Penulis berpandangan kita masih jauh dari sasaran tersebut kerana cabarannya semakin getir. Hal ini kerana kita masih tertanya-tanya di mana nilai dan jiwa patriotisme anak-anak muda kita. Ke mana hilangnya jiwa merdeka mereka?

Realitinya sekarang kita bukan lagi berhadapan dengan musuh di medan pertempuran. Rakyat kita tidak perlu angkat senjata untuk menuntut kemerdekaan. Memang betul kita sudah merdeka, kita tidak lagi berada di bawah jajahan mana-mana negara luar. Justeru kenapa begitu sukar untuk menzahirkan rasa cinta dan sayang terhadap negara dan di mana pula nilai dan erti kemerdekaan sebenar dalam minda dan jiwa rakyat kita?

Indeks Patriotisme Negara yang dibentangkan baru-baru ini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim misalnya menunjukkan semangat cinta dan sayangkan negara dalam kalangan generasi muda rendah.

Kajian ini telah melibatkan 1,200 orang pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Jelas hasil kajian ini cukup merisaukan semua pihak.

Hakikatnya, andai kita membenarkan minda kita terus dijajah dengan agenda halus dan licik kuasa barat yang bertopengkan rakyat dan wajah negara ini maka percayalah kita masih jauh dari erti kemerdekaan yang tulen dan nyata.

Realitinya kita bukan lagi berhadapan dengan musuh dari luar sebaliknya kita sedang diserang hendap oleh musuh dalam selimut baik secara nyata mahupun dalam alam maya seperti media sosial.

Apa yang menyedihkan ialah ramai anak muda negara ini begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan ideologi songsang yang sedang dan cuba disebarkan oleh kumpulan ini.

Akibatnya rakyat kita yang lemah daya ketahanan dan semangat patriotisme mudah terjebak dan terpengaruh dengan agenda dan ideologi yang diperjuangkan oleh kumpulan ini. Kuasa, wang dan kebebasan menjadi sumber pujukan dan sogokan utama kumpulan ini yang cuba menarik perhatian generasi muda negara kita.

Maka bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-57 ini, kita sangat berharap agar rakyat kita terutamanya generasi muda segera sedar dan bangun daripada lamunan.

Janganlah membiarkan diri dan minda kita terus dibelenggu dan dijajah oleh ideologi songsang yang boleh menghancurkan masa depan negara ini yang turut boleh meragut, menggugat dan mencabuli nikmat kemerdekaan yang kita rasai selama ini.

Negara kita adalah tanggungjawab kita sendiri. Inilah satu-satunya negara dan tanah air yang kita ada. Oleh itu, marilah kita bersatu supaya dapat memelihara dan mempertahankan kemerdekaan yang kita ada. Merdekakanlah minda dan jiwa kita dengan segera.

Jangan kerana ego dan ideologi yang songsang, kita menyesal di kemudian hari. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-57. Malaysia...di sini lahirnya sebuah cinta.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Utusan/Rencana/20140828

Tags: jiwa
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments