kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Integriti dan tadbir urus korporat

INTEGRITI tidak boleh sama sekali dipisahkan dalam kehidupan manusia. Tanpa integriti yang baik, imej dan reputasi serta kewibawaan seseorang akan terjejas.

Sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, integriti merupakan antara ciri utama seseorang pemimpin. Pemimpin yang baik dan boleh dipercayai adalah pemimpin yang berintegriti.

Segala perancangan dan pelaksanaan sesuatu program akan berjalan lancar apabila seseorang pemimpin itu benar-benar berintegriti.

Dalam tempoh jangka masa panjang, visi dan sasaran yang ditetapkan mampu dicapai. Tidak mustahil, pencapaian yang cemerlang dan gemilang dapat dicapai oleh organisasi mahupun negara yang ditadbir urus oleh pemimpin yang berintegriti.

Jadi, apabila terdapat saranan agar calon Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang ditawarkan bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalani tapisan keutuhan, perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan.

Sebut sahaja tapisan keutuhan, ia bagi memastikan CEO yang dilantik benar-benar bersih, berintegriti dan tidak langsung terlibat dengan jenayah rasuah. Sebagai syarikat yang memperoleh dana daripada kerajaan, kelemahan pihak pengurusan tertinggi GLC yang melibatkan isu integriti, rasuah dan ketirisan tidak boleh sama sekali diterima.

Lagi pun dana yang diterima oleh GLC merupakan wang pembayar cukai iaitu warganegara Malaysia itu sendiri. Pembaziran wang rakyat akan berlaku secara berterusan jika sekiranya CEO yang dilantik sebenarnya nakhoda yang tidak berintegriti dan terlibat dengan rasuah.

Perlu diingat, kos yang mahal terpaksa ditanggung oleh rakyat bukan setakat kerugian berbentuk wang tetapi juga imej syarikat dan negara juga akan dipandang buruk di mata pihak asing.

Masakan tidak, GLC kini sudah bertaraf antarabangsa. Operasi perniagaan melibatkan banyak negara. Maka, sekiranya CEO GLC terlibat dengan rasuah di peringkat antarabangsa, siapakah yang akan menanggung malu kalau bukan seluruh rakyat Malaysia?

Impak yang lebih teruk lagi, jika rakyat kita pula tidak dipercayai oleh pihak asing ekoran imej yang tidak berintegriti ditonjolkan oleh CEO GLC di peringkat antarabangsa.

Meneliti hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dan sedang berusaha untuk memastikan syarikat-syarikat di Malaysia benar-benar berintegriti tinggi.

Setakat ini, 446 buah syarikat di seluruh negara menandatangani ikrar integriti korporat (CIP), satu jumlah yang kecil berbanding keseluruhan jumlah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia. Sewajarnya jumlah ini dipertingkatkan lagi untuk memperkukuhkan integriti korporat Malaysia.

Salah satu korporat yang telah melaksanakan CIP ialah Lembaga Tabung Haji (TH). Yang menariknya, TH telah mewujudkan bahagian integriti bagi memastikan tadbir urus korporat yang lebih baik dan seterusnya mampu meningkatkan kecemerlangan pencapaian kakitangannya.

Buktinya, tiada jenayah rasuah dicatatkan sejak TH memperkenalkan CIP dan pada masa sama untung TH semakin meningkat. Dengan keuntungan yang semakin meningkat, TH akan mampu membayar dividen yang lebih tinggi kepada para pendeposit.

Tidakkah ini akan meningkatkan keyakinan pendeposit juga akan semakin bertambah terhadap TH? Tidakkah ini juga akan menggembirakan ramai pihak?

Sebagai organisasi yang banyak berbakti kepada umat Islam Malaysia sejak dahulu lagi, TH sentiasa dijulang sebagai organisasi yang memartabatkan nama Malaysia dalam kalangan negara-negara Islam di dunia.

Siapakah yang mampu menyangkal perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia adalah yang terbaik? Kerajaan Arab Saudi juga telah mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan perkhidmatan TH kepada umat Islam Malaysia.

Dalam keadaan banyak berlaku penipuan melibatkan pengendali pakej umrah, sebaliknya TH telah memberi mesej yang baik kepada pihak asing dengan membentuk satu penanda aras yang tinggi dalam pengendalian pakej umrah dan haji.

Banyak negara Islam yang mahu mencontohi TH. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa tonggak ke atas kecemerlangan TH adalah amalan integriti yang terbaik dalam kalangan pengurusan tertinggi dan para pekerja bawahan sehinggakan telah menghasilkan perkhidmatan yang terbaik kepada umat Islam Malaysia.

Lagi pun inilah yang diajar dalam Islam, agar budaya berintegriti, amanah dan jujur diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan perkhidmatan yang cemerlang dan bukannya setakat bermain di bibir semata-mata.

Sebab itulah, apabila kerajaan mengumumkan akan mengguna pakai indeks syariah bermula pada Januari 2015, salah satu elemen yang tidak boleh sesekali dikompromikan ialah integriti.

Banyak contoh boleh kita lihat apabila integriti dipandang remeh, kerosakan akan mula berlaku. Sebuah syarikat hatta sebuah negara juga boleh jatuh bankrap jika integriti yang merupakan tonggak tadbir urus tidak dilaksanakan dengan baik.

Cuba kaji permasalahan kewangan mana-mana syarikat dalam dan luar negara, kebanyakannya bermula daripada tiadanya amalan integriti yang baik dan akhirnya memberi kesan yang buruk kepada permasalahan yang lebih besar ke atas tadbir urus korporat syarikat berkenaan.

Amalan integriti yang baik juga jelas kelihatan dalam salah satu daripada 12 pelan pemulihan syarikat penerbangan nasional, Malaysian Airlines System (MAS).

MAS tidak akan ke mana meskipun disuntik modal RM6 bilion tanpa penekanan terhadap amalan integriti yang baik. Pemilihan CEO MAS yang baharu mestilah dalam kalangan mereka yang bukan hanya pakar dalam industri penerbangan tetapi juga terbukti berintegriti tinggi.

MAS memerlukan nakhoda yang terbaik bercirikan integriti yang tinggi bagi meneruskan legasi syarikat penerbangan nasional ini. Nakhoda yang terbaik inilah yang akan memacu tadbir urus korporat MAS dan seterusnya "menerbangkan" MAS lebih tinggi lagi di awan biru menuju destinasi kecemerlangan yang gilang-gemilang.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140903

Tags: integriti
Subscribe

  • Jenaka atau Humor

    Berita terkini berbunyi “ Larangan rentas negeri, daerah 10 Mei hingga 6 Jun ”. Sebelum itu, ramai yang rasa boleh tersenyum…

  • Ketawa

    Aktiviti ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut 13 Mei ini, hanya dibenarkan pada hari raya pertama sahaja bagi kawasan Perintah…

  • Bubble Tea , Senaman Kecergasan dan Madu Kelulut

    Aktiviti kecergasan, senaman dibenarkan Madu kelulut mampu sembuhkan pesakit Covid-19 ? Sah bubble tea ialah teh mutiara FOTO: Aziz A.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments