kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina

PPS PAHLAWAN ATAU SAMSENG?


AKHBAR China Press bertarikh 3 September 2014 secara sinis menyatakan perarakan Hari Kemerdekaan ke-57 baru-baru ini di Pulau Pinang mencatatkan sejarah tersendiri apabila kesemua 156 peserta majlis perayaan utama negara itu, iaitu anggota Pasukan Peronda Sukarelawan (PPS) ditahan polis.

Artikel bertajuk 'PPS pahlawan atau samseng?' yang merupakan pandangan penganalisis politik, Chee Kian Seng itu disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15 turut menyatakan bahawa PPS itu dalam satu masa iaitu sebagai sebuah unit di bawah kuasa kerajaan negeri bertukar menjadi kumpulan haram - sebuah kongsi gelap memakai uniform.

Ekoran penangkapan itu menyebabkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng melenting dan secara terburu-buru serta membabi-buta mencabar polis supaya terlebih dahulu menangkapnya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam kenyataannya mendakwa PPS yang ditubuhkan pada 2009 bertujuan menjaga keselamatan dan sebagai penyelamat, mereka seperti pahlawan yang berjasa kepada masyarakat, bukannya samseng.

Memetik sebuah laporan, Ketua Polis negeri pada masa itu secara tidak langsung memuji penglibatan pasukan sukarelawan yang membantu pihaknya menurunkan kadar jenayah di negeri tersebut kepada 22 peratus, iaitu antara 12 Oktober 2011 dan September 2013.

Pada masa itu PPS mendapat kerjasama daripada polis, namun kenapa kali ini pasukan keselamatan itu langsung tidak memberi muka dan menangkap mereka yang berjasa itu.

Sekiranya PPS itu diserap elemen kongsi gelap ia perlu ditangani secara berasingan, tangkap pesalahnya, bukan menangkap kesemuanya. Seorang yang lakukan kesalahan tetapi semua ditangkap, kepada mereka yang patuh kepada peraturan dan undang-undang yang tidak bersalah, bukankah mereka telah teraniaya?

BELANG PPS LIM GUAN ENG

Akhbar sama pada 27 Ogos 2014 mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang yang semakin kurang ajar terhadap akhbar-akhbar Cina, seperti tidak mengenang budi terhadap media berkenaan yang sebelum ini menaikkannya hingga dianggap sebagai tokoh hebat.

Artikel oleh Lim Fang bertajuk 'Belang PPS Lim Guan Eng' dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai di halaman C15 itu mendakwa sekiranya pemimpin itu menerima sebarang kritikan dalam akhbar Cina, beliau akan menggunakan segala taktik untuk menghentam pengamal media berkenaan.

Sekiranya berlaku kesilapan dalam pentadbirannya, seperti biasa mendakwa bahawa ia berpunca daripada pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mengamalkan penyelewengan kuasa dan rasuah. Taktik ini dinamakan, 'si teruk cuba bandingkan si teruk untuk raih kemenangan'.

Selepas itu, akhbar Cina juga dituduh sebagai lidah BN yang digunakan bagi memburukkan pakatan pembangkang, sama juga dengan isu anggota PPS yang dikatakan bersikap samseng dan ditakluki oleh elemen jahat itu, media Cina dituduh membesarkan isu berkenaan dan membuli Pengerusi PPS, Phee Boon Poh yang juga exco kerajaan negeri.

Memang terdapat ahli PPS yang berperangai teruk termasuk membelasah individu tertentu dan malangnya ahli berkenaan mendabik dada bahawa dia ialah orang kuat CM (Ketua Menteri).

Terdapat dua sudut pandangan yang berlaku, yang pertama mereka dapat lesen besar untuk membelasah orang, yang kedua kumpulan kongsi gelap boleh berleluasa di Pulau Pinang yang sebelum ini menggunakan logo kongsi gelap tetapi kini sudah tidak perlu lagi.

PAKATAN PEMBANGKANG TETAP AKAN BERPECAH

Menyentuh isu bakal Menteri Besar Selangor, akhbar China Press pada 3 September 2014 meramalkan bahawa siapa sahaja yang menjawat jawatan panas itu, sama ada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau Azmin Ali, pakatan pembangkang tetap menuju jalan perpecahan.

Artikel bertajuk 'Kedua-dua calon bermasalah, siapa sahaja jadi Menteri Besar Pakatan Rakyat tetap akan berpecah' oleh See Kian itu disiarkan dalam ruangan Dalam Negeri pada halaman A7 mendakwa kedua-duanya bukan calon terbaik yang mampu menyelesaikan masalah dalaman kronik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Wan Azizah tidak mendapat restu Pas, Azmin pula tidak disokong oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP. Jadi bagaimanakah bakal wujudnya kerjasama sekiranya kesemua parti berbeza pandangan.

Sekiranya Sultan Selangor memilih Azmin, bala besar bakal menanti PKR kerana agak mustahil dan tidak logik untuk parti berkenaan melakukan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar baharu yang semestinya daripada kalangan mereka sendiri.

Pada masa sama, Azmin bakal mengukuhkan pengaruhnya dalam parti, sekali gus menjadikan pergolakan dalaman PKR semakin kritikal kerana meskipun beliau ialah timbalan presiden tetapi masih tetap bukan individu pilihan Anwar.

Penulis mendakwa Azmin memang berhasrat untuk pergi jauh ke hadapan dalam karier politiknya, namun dalam krisis di Selangor beliau mengambil langkah berdiam diri dan cara tersebut lebih menguntungkannya, sekurang-kurangnya tidak terlalu awal menjadi tumpuan orang.   Utusan/Rencana/20140904

Tags: keselamatan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments