kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia

HANYA mereka yang tidak tahu, tidak membaca serta tidak memahami sejarah maka fikiran mereka mudah tidak terarah kepada fakta dan bukti yang kukuh. Justeru setiap kali tiba ulang tahun kemerdekaan ada sahaja pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat.

Isu membawa Sabah keluar dari Malaysia sepatutnya tidak perlu dibangkitkan lagi kerana ia jelas bertentangan dengan keputusan yang sudah dicapai melalui Suruhanjaya Cobbold pada 1961.

Sebagai rakyat yang berilmu dan memahami sejarah, kita tidak perlu lagi memikirkan perkara yang sudah muktamad seperti Sabah yang tetap berada dalam Malaysia.

Justeru, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang secara berterusan membangkitkan isu yang bukan isu tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti dilaporkan telah mengingatkan rakyat supaya menunjukkan kecintaan kepada negara dengan sama-sama membina sebuah Malaysia yang permai bagi masa depan anak cucu kita.


Bendera Malaysia dan bendera negeri Sabah dikibarkan bersama sempena perarakan
perbarisan sambutan Hari Merdeka ke-57 di Stadium Kompleks Sukan Likas di Sabah pada 31 Ogos lalu. - BERNAMA


Mengimbau kembali perjanjian dan perisytiharan Persekutuan Malaysia. Beberapa langkah telah diambil ke arah pembentukan Malaysia setelah Tunku Abdul Rahman mengemukakan cadangan gagasan Malaysia pada 27 Mei 1961 di Hotel Adelphi, Singapura.

Gagasan Persekutuan Malaysia juga mendapat sokongan daripada kuasa Barat seperti Britain dan Amerika Syarikat.

Di Sabah, reaksi terhadap gagasan Persekutuan Malaysia dapat dilihat dengan munculnya beberapa politik baharu pada ketika itu untuk menyalurkan pendirian rakyat terhadap gagasan Persekutuan Malaysia.

Empat parti menyokong dan satu menentang yang akhirnya merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Penubuhan Suruhanjaya Cobbold pada Februari 1961 bertujuan meninjau pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap pembentukan Persekutuan Malaysia. Laporan Suruhanjaya Cobbold mendapati rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia.

Perjanjian Persekutuan Malaysia telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di Malborough House, London. Antara kandungan penting dalam Perjanjian Malaysia ialah:

Pertama, semua urusan hal ehwal luar adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Kedua, agama Islam merupakan agama Persekutuan kecuali Sarawak dan Sabah tetapi agama lain bebas diamalkan.

Ketiga, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan tetapi bahasa Inggeris dan bahasa lain boleh digunakan.

Keempat, bagi Sarawak dan Sabah, bahasa rasmi ialah bahasa Inggeris sehingga 10 tahun Malaysia diisytiharkan.

Kelima, Sarawak dan Sabah diberi kuasa mengawal hal ehwal imigresen dan perkhidmatan awam negeri masing-masing.

Keenam, rakyat Bumiputera di Sarawak dan Sabah mendapat taraf yang sama dengan orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu.

Isi perjanjian tersebut kemudian dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, maka gagasan Malaysia telah menjadi kenyataan.

Akhirnya, pada 16 September 1963, perisytiharan Persekutuan Malaysia telah disempurnakan menandakan gagasan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman telah dapat direalisasikan.

Peristiwa bersejarah ini telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri Malaysia di Stadium Merdeka.

Bukti kukuh ini menunjukkan bahawa Sarawak dan Sabah tetap utuh dan kekal dalam Malaysia yang tidak perlu diungkit dan dijadikan isu lagi.

Apabila rakyat memahami dan mengetahui sejarah, tiada pihak yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman dan kehidupan rakyat yang selam ini hidup aman dan sejahtera di bawah payung negara bernama Malaysia. DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media, berkelulusan Ph.D Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).   Utusan/Rencana/20140904

Tags: malaysia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments