kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tema kemerdekaan semarakkan perasaan cintakan negara

Tema Hari Kemerdekaan ke-57 bukan sahaja istimewa kerana dikaitkan dengan perasaan kasih dan sayang. Oleh sebab bentuknya puitis, iaitu 'Malaysia, di sini lahirnya sebuah cinta', ia ikut diberikan pelbagai takrifan.

Antaranya adalah pada tahun 1957 di bumi bertuah ini, telah bermula ikatan emosi antara Melayu, Cina dan India, untuk menjadi komuniti nasional yang bersatu. Justeru, ikatan ini pertama-tamanya dipenuhi keinginan untuk memulakan kehidupan baharu sebagai rakyat yang bersatu untuk memajukan negara.

Semenjak dari awal lagi, ikatan ini memahatkan pemahaman bahawa kesatuan kaum ini perlu berlandaskan konsep tanah air. Tiga kaum ini, dengan Melayu sebagai yang dominan, perlu menganggap negara ini bukan sahaja sebagai tempat lahir tetapi juga tempat bersemaraknya perasaan keterikatan yang kuat oleh semua kaum.

Perasaan mesra dan keterikatan itu yang telah dimulakan oleh leluhur kita, kini sudah muncul sebagai legasi yang bukan sahaja perlu diteruskan, malah ia hendaklah dilestarikan dalam bentuk utuh oleh generasi sekarang dan mendatang, untuk selama-lamanya.

Semangat patriotik

Sesungguhnya warisan hidup bersatu dan mencintai tanah air adalah perwatakan kebangsaan yang menjadi sebahagian daripada pembinaan negara bangsa. Dengan ini, kita di Malaysia bukan sahaja perlu selalu memperlihat ciri muhibah dan semangat kebangsaan dan patriotik.

Yang lebih penting ialah reputasi mulia ini hendaklah kita pamerkan selalu agar kita dihormati dan disanjungi, khususnya oleh komuniti antarabangsa, sebagai rakyat yang bernasionaliti. Dengan ini, rakyat Malaysia dilihat sebagai bersemangat kebangsaan kental.

Warisan ini yang mula bercambah pada waktu kemerdekaan, kini telah bertukar menjadi perasaan cinta yang mendalam kepada negara. Antara manifestasinya adalah perasaan kasih dan sayang, cakna dan peduli, kebanggaan, penghargaan, serta taat dan setia kepada tanah air.

Akan tetapi semenjak kebelakangan ini, warisan ini kelihatan semacam tidak banyak dipedulikan, malah diabaikan. Ini bukan sahaja perkara malang. Lebih mudarat lagi, ia boleh membawa musibah kepada kita semua.

Sebagai negara majmuk, kesatuan kaum adalah perkara paling utama. Tanpanya, negara tidak dapat bergerak maju seperti yang dirancangkan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus memupuk ikatan bersatu ini demi perpaduan dan kemajuan negara.

Ikatan ini sebenarnya tidak pernah bersifat tidak adil semenjak dari dahulu lagi. Ia senantiasa saksama sehingga kini. Ia membenarkan kewujudan terus kaum bukan asal dalam bentuk kemajmukkan etnik. Dengan ini, bahasa ibunda, sistem kepercayaan dan cara hidup asal mereka tidak sesekali dihalang pengamalan dan pelestariannya.

Perlu bersyukur

Inilah hak keistimewaan yang diberikan kepada kaum bukan asal oleh kaum bukan asal di negara ini. Hak ini bukan sahaja perlu disyukuri, ia juga hendaklah diiringi dengan tanggungjawab.

Dengan ini, menjadi tanggungjawab kaum bukan asal bersama-sama dengan kaum asal untuk meneruskan warisan bersatu, yang dibenarkan dalam bentuk kepelbagaian. Bukan itu sahaja, ia perlu diwarisi dalam bentuk yang utuh oleh generasi mendatang.

Untuk kita bersatu dalam kepelbagaian ini, perasaan keterikatan kepada negara tercinta ini, hendaklah berlandaskan perkongsian bersama terhadap sejarah watan, asas kemerdekaan, budaya nasional, lambang tanah air, bahasa negara dan destini sama. Semua ini perlu ikut dipercayai sepenuhnya dan didukung ikhlas oleh kaum bukan asal.

Tiga kaum ini, dengan Melayu sebagai yang dominan, perlu menganggap negara ini bukan sahaja sebagai tempat lahir tetapi juga tempat bersemaraknya perasaan keterikatan yang kuat oleh semua kaum"

Dengan perkongsian sebegini, kita semua bukan sahaja memiliki jati diri kebangsaan serupa lagi kental. Kita semua juga sebenarnya memperlihat pendukungan kefahaman mendalam terhadap perasaan, gagasan dan aspirasi kenegaraan yang sama.

Inilah peringatan pada tema kemerdekaan pada kali ini. Ia satu konsep nasionalisme. Ia ingin memupuk perasaan bangga, sayang dan taat kepada negara. Perasaan ini adalah jati diri kebangsaan yang perlu ada pada kita semua.

Oleh itu, hasrat murni kerajaan ini wajib disokong oleh semua kaum untuk membentuk Malaysia yang bersatu dan maju. Ia perlu diusahakan pada sepanjang masa dan bukannya pada perayaan Hari Kemerdekaan sahaja. eo Kok Seong ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara.Berita Harian Kolumnis KHAMIS, 4 SEPTEMBER 2014 @ 8:24 AM

Tags: merdeka
Subscribe

  • Semua akan hilang kerana politik dan berpolitik

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments