kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Peluang dicipta melalui kemerdekaan

Dari jauh, sayup-sayup kedengaran deruman motosikal jenama Norton Cikgu Ismail. Hati saya mula resah apabila terdengar sahaja bunyi itu, tandanya saya sudah lewat ke sekolah.

Saya kelam-kabut bersiap - memakai baju sekolah, lantas mencapai beg dan buku. Selepas bersalaman dengan ibu, saya bergegas ke sekolah.

Sekolah tidaklah begitu jauh dari rumah saya, kira-kira 400 meter. Sampai sahaja di pekarangan sekolah, kelihatan motosikal Norton Cikgu Ismail dan Cikgu Mahmud sudah siap diletakkan dengan penuh bergaya di depan sekolah. Saya tahu, cikgu saya ini benar-benar menyayangi motosikal mereka.

Sekolah saya, Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jerteh cukup kecil dan mempunyai tiga bilik darjah sahaja. Keadaan fizikal sekolah kesayangan saya ini cukup sederhana - berbumbung nipah, berdindingkan buluh dan berlantaikan tanah. Ketika itu, buku tulis saya hanya papan batu dan perabot kelasnya pula sekadar bangku panjang yang muat untuk tiga tiga orang murid. Saya selalu duduk bersama dengan dua orang sahabat saya, iaitu Abas dan Yusuf - kedua-kedua mereka kemudiannya menjadi guru.

Dapat tawaran ke STAR

Selepas tamat sekolah rendah, saya ditawarkan untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh yang terkenal di Ipoh, iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Saya masih ingat perjalanan pertama saya menggunakan kereta api dari Besut ke Ipoh. Ketika itu saya tersilap langkah kerana memilih memakai baju berwarna putih. Akibat asap dari corong kereta api, baju putih saya bertukar menjadi kelabu dan berbau asap - memang penampilan tipikal seorang budak kampung.

Sesungguhnya kemerdekaan memberi kita peluang untuk membesar, berkembang, menimba ilmu dan memanfaatkan kemajuan serta teknologi dalam kehidupan bersama mereka yang tersayang"

Ketika belajar di STAR, bapa saya pasti melawat saya beberapa bulan sekali. Saya cukup simpati dengannya kerana ketika itu perjalanan dari Besut ke Ipoh cukup jauh sehingga mengambil masa beberapa hari. Belum ada jalan terus dari Besut ke Ipoh. Dari Besut, bapa saya terpaksa turun dahulu di Kuala Lumpur, kemudian barulah meneruskan perjalanan ke Ipoh.

Saya masih ingat, ketika bapa melawat saya ketika musim buah-buahan, beliau pasti membawa rambutan. Saya akan berkongsi rambutan itu bersama rakan. Kesudahan, apabila musim buah, rakan saya akan sibuk bertanya bila bapa saya akan datang melawat?

Di STAR, saya akan menulis surat sebulan sekali kepada keluarga di kampung. Hanya itulah saluran komunikasi paling efektif bagi pelajar seperti saya ketika itu. Lebih menyedihkan, setiap surat yang saya hantar dari Ipoh mengambil masa seminggu untuk sampai di Besut.

Kini segalanya sudah berubah. Jika dahulu, jalan menuju ke SK Seberang Jerteh hanya dibarisi rumah kampung yang usang dan pokok tua, sekarang jalan yang sama sudah terbina sebuah stesen minyak, kedai runcit serta sebuah masjid yang besar dan cantik. Jalannya juga sudah sesak dengan kenderaan, padahal dahulu kenderaan yang lalu boleh dikira dengan jari, hinggakan bunyi deruman motosikal Norton Cikgu Ismail cukup jelas kedengaran dari rumah saya.

Sekarang kebanyakan sekolah tersergam megah, dilengkapi pelbagai kemudahan dan muridnya boleh belajar dengan cukup selesa. Dengan 1,001 macam teknologi moden yang digunakan oleh pelajar sekarang seperti iPad dan Samsung Galaxy, pasti mereka akan ketawa apabila mengetahui generasi saya dahulu hanya belajar menggunakan papan batu.

Sekarang, perjalanan dari Besut ke Ipoh pula hanya mengambil masa beberapa jam dan setiap orang mempunyai pelbagai pilihan jenis pengangkutan - daripada kapal terbang, bas, kereta, motosikal hinggalah kereta api.

Komunikasi di hujung jari

Dari sudut komunikasi pula, melalui aplikasi teknologi komunikasi termoden seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook, pelajar yang tinggal jauh dari kampung tidak perlu bersusah payah menulis surat kepada ibu bapa mereka. Urusan komunikasi mereka sekarang cukup pantas dengan hanya menggunakan hujung jari.

Bagi saya, inilah ertinya kemerdekaan. Kemerdekaan memberikan peluang kepada saya untuk menuntut ilmu hingga Melbourne, Birmingham, New Haven Amerika Syarikat, Harvard, INSEAD, Perancis, mahupun nun jauh ke Jordan. Selepas merdeka, cukup ramai rakyat Malaysia menikmati peluang menuntut ilmu di negara luar seperti saya.

Sesungguhnya kemerdekaan memberi kita peluang untuk membesar, berkembang, menimba ilmu dan memanfaatkan kemajuan serta teknologi dalam kehidupan bersama mereka yang tersayang. Insafilah bahawa kemerdekaan sebenarnya memberikan kita peluang untuk berterima kasih atas semua yang kita nikmati. Selamat Hari Merdeka. Idris Jusoh ialah Menteri Pendidikan Kedua. Beliau boleh dihubungi di Twitter @idrisjusoh ataupun Facebook.com/datoseriidrisjusoh

Berita Harian Kolumnis KHAMIS, 4 SEPTEMBER 2014 @ 8:29 AM
Tags: merdeka
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments