kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah Tokoh-Tokoh Kiri Dalam Sejarah Utusan Melayu


SEJARAH kumpulan akhbar Utusan Melayu yang mulai ditulis kini tentunya dialu-alukan oleh para pembaca pelbagai kaum walau apa juga pendirian politik masing-masing. Kerana, antara yang dicatat ialah kisah politik orang Melayu menentang Malayan Union dan perjuangan kemerdekaan dengan kaum-kaum lain.


Lalu lahir prinsip power shared endures hingga berlanjutan. Parti Perikatan membesar menjadi Barisan Nasional dan Pas menyertainya pada beberapa ketika.


Sejarah tersebut juga akan menyebut peranan tokoh-tokoh politik sayap kiri, termasuk yang berkhidmat dengan Utusan Melayu hingga beberapa waktu, seperti Ishak Haji Muhammad alias Pak Sako dan Ahmad Boestamam alias Abdullah Thani alias Ruhi Hayat. Antara beberapa kisah ialah yang berikut:


Pertama ialah peranan Mokhtaruddin Lasso yang menyertai MPAJA (Malayan Peoples’ Anti-Japanese Army). Ia diberi nama jolokan Lang Lang Buana oleh sesetengah pihak. Beliau presiden pertama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang kemudian dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Telah pun dicatat betapa Mokhtaruddin Lasso memberi wang untuk penerbitan Suara Rakyat. Hal ini diceritakan oleh Boestamam dalam salah sebuah bukunya.


Lang Lang Buana kemudian pergi ke Indonesia dan tidak diketahui apa yang berlaku pada dirinya.
Kedua ialah kisah peralihan jawatan Dr. Burhanuddin sebagai Presiden PKMM untuk menjadi penasihat saja. Mengambil alih darinya sebagai presiden ialah Pak Sako. Yang berlaku ialah coup atau rebutan kuasa. Memberi penjelasan kemudian ialah Boestamam: “Kami tidak mengatakan Dr. Burhanuddin sebagai pemimpin tidak baik, tetapi kami merasa dia agak lemah dan kurang revolusioner.”


Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim dalam salah satu tulisannya berjudul The Malay Left (1945-1948) menyebut tentang penglibatan Dr. Burhanuddin dengan pihak-pihak sayap kiri. Oleh kerana latar belakang pendidikannya yang ke arah Islam, maka beliau cenderung menegaskan aspek agama dalam falsafah politiknya. Beliau seorang idealis dan kurang revolusioner. Pengetahuan bahasa Inggerisnya terbatas walaupun telah menuntut di India (Universiti Islam Aligarh).


Ketiga ialah petikan daripada kata-kata pendahuluan Tan Sri Samad Ismail untuk Kumpulan Buku Allahyarham Datuk Ahmad Boestamam. Pada permulaannya disebut: “Sayang sekali ketika saya mula bekerja di Utusan Melayu pada tahun 1941 dahulu di Singapura, Boestamam telah pun meninggalkan Utusan Melayu beberapa bulan sebelum itu. Ketika itu saya mengenalinya bukan sebagai Boestamam tetapi sebagai Abdullah Thani bin Raja Kecil.

Tokoh-Tokoh Kiri Dalam Sejarah Utusan Melayu


“Barangkali kalau dia kekal di Utusan Melayu pada waktu itu saya tidak syak dia akan menjadi wartawan terkemuka. Boestamam menguasai bahasa dan merupakan seorang penulis keterampilan. Boestaman memakai nama Ruhi Hayat sebagai penyajak”.


Juga disebut ialah nasib Boestamam dua kali merengkok dalam tahanan, iaitu ketika Undang-Undang Darurat pada tahun 1948 dan pada tahun 1963 semasa konfrontasi. Samad menulis lagi: “Pengalamannya dalam tahanan diceritakan dengan terperinci dalam buku penuh dengan detik-detik yang mengharukan. Bagi saya yang juga tiga kali hidup dalam penjara dan kem tahanan seolah-olah menjadikan kami kembar dua yang disebatikan oleh persamaan nasib”.


Ceramah


Menarik perhatian ialah catatan Samad sebagai penulis tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama beberapa tahun bersama Allahyarham Tan Sri Datuk Asri Haji Muda. Kedua-duanya memberi ceramah mengenai pengalaman dalam perjuangan politik semasa remaja selepas perang. Lalu disebut mengenai Asri pernah menganggotai Angkatan Pemuda Insaf (API) di bawah Boestamam”. Ingatan Asri agak kuat juga kerana dia masih mampu menyanyikan lagu Darah Rakyat yang dinyanyikan ketika bergerak dalam API dahulu. Maka kedua-dua kamipun menyanyikan lagu itu yang lebih kurang berbunyi begini:


Darah rakyat masih berjalan
Menderita sakit dan miskin
Bila datangnya pembalasan
Rakyat menjadilah hakim
Rakyat menjadilah hakim
Ayuh! Ayuh!
Berjuang sekarang
Kemerdekaan sudah datang
Merah panji-panji kita
Merah warna darah rakyat
Merah warna darah rakyat.


Seperti diketahui Pas suatu masa lalu menyertai Barisan Nasional pimpinan Tun Razak ketika Asri memimpin parti Islam itu. Seperti juga termaklum Dr. Burhanuddin dipilih menjadi Presiden Pas. Beliau dan seorang bernama Taha Kalu ditahan pada tahun 1951 di bawah Undang-Undang Darurat atas tuduhan mencetuskan rusuhan Natrah (Maria Hertogh).


Dua hal lain bersabit PKMM disebut oleh Samad: “Dalam bukunya Boestamam menceritakan peristiwa perwakilan PKMM dalam Kongres UMNO di Ipoh yang berakhir dengan PKMM menarik diri dari UMNO atas isu pemilihan bendera.


Perwakilan PKMM yang dipimpin oleh Ishak Haji Muhammad dan disertai oleh Boestamam telah mengusulkan agar bendera Sang Saka Merah Putih diterima oleh kongres itu. Ishak telah memberikan ucapan yang bersemangat hingga memukau para perwakilan kongres. Tetapi usul perwakilan PKMM ditolak dengan hanya majoriti satu undi saja. Lalu perwakilan PKMM memutuskan untuk menarik diri daripada UMNO.


Dalam isu Malayan Union pula “PKMM pada peringkat awal tidak bersikap tegas menolaknya sedangkan rakyat Melayu rata-rata menolaknya sama sekali. Timbul kemarahan melalui salah pengertian dalam tangkapan umum bahawa PKMM membela kepentingan rakyat bukan Melayu dan menentang Raja-raja Melayu”.


Jelas betapa pelbagai peristiwa masa lampau dilaporkan oleh Utusan Melayu dan juga akhbar-akhbar lain. Antara yang akan dicatat oleh Datuk Zam, penulis sejarah itu ialah kisah munculnya Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia melompat pengedarannya hingga hampir 450,000 naskah. Ia kejayaan pertama sebuah akhbar di Malaysia. Ia antara hasil pendaulatan bahasa Melayu yang juga diperjuangkan oleh Utusan Melayu.



Sumber :  Mazlan Nordin Menulis  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm
 

Subscribe

  • Lost ... or trapped in another world?

    Hasher Hardip Singh recounts his five days and four nights lost in the jungle in Templer’s Park while checking out a new trail, but has no…

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments