BAGI mereka yang biasa menghadiri forum dan wacana yang membicarakan undang-undang Perlembagaan, isu hak-hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan institusi beraja, adat warisan Raja-Raja dan orang Melayu, seorang lelaki bernama Shaharudin Ali bukanlah satu nama yang asing.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Peguam Malaysia dan ahli Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) Malaysia itu antara yang lantang membincangkan dan memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan bangsa dan institusi raja sejak beberapa tahun lalu ketika kedua-dua aspek penting dalam penubuhan negara ini diserang dari segenap sudut oleh pihak tertentu.
MEMPELAJARI seni silat Setiabakti bagi menjiwai semangat pahlawan silam. |
Meskipun sibuk dengan tugas hakiki sebagai peguam, ia tidak menjadi batu penghalang kepada anak jati Batu Pahat, Johor itu memberikan komitmennya terhadap perjuangan bangsa. Semangat kecintaannya terhadap sejarah dan sastera Melayu mendorong beliau untuk berjuang mempertahankan apa yang disayanginya daripada terhakis.
Mengenali Shaharudin, kecintaannya terhadap warisan Melayu jelas apabila beliau sanggup meluangkan masa mewujudkan sebuah laman sesawang khusus mengenai sejarah negara iaitu www.rajamenangis.com yang mendaulatkan dan memperkasakan institusi Raja-raja Melayu, sejarah serta warisan Melayu dan Islam serta sejarah kedaulatan Tanah Melayu.
Laman sesawang itu bukan hanya menjadi sumber rujukan dan kajian kepada pelajar dan penyelidik dalam negara, malah dari luar negara kerana kandungannya yang komprehensif. Ia bukan sahaja mengupas sejarah negara, malah sejarah setiap negeri dan istana raja.
Di samping itu, Shaharudin yang amat meminati sejarah dan sastera, bersama Norzailina Nordin telah menulis sebuah buku novel sejarah setebal 1,000 halaman berjudul Air Mata Raja yang mengisahkan epik sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang belum pernah dibongkarkan oleh mana-mana penulis sebelum ini.
Buku tersebut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dilancarkan oleh Ketua Menteri Melaka pada masa itu, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Auditorium Seri Negeri, Melaka pada 17 Oktober 2011. Hasil kerja Shaharudin dan Norzailina itu turut mendapat pengiktirafan pada majlis Anugerah Buku PNM-RTM 2013.
Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM) itu, antara bahan rujukan yang digunakan dalam penghasilan buku tersebut ialah diari Alfonso de Albuquerque yang tidak ramai mengetahui mengenainya serta tulisan Tun Sri Lanang dalam Sejarah Melayu.
"Saya dan Norzailina ambil masa lebih tiga tahun untuk menyiapkan buku ini. Sepanjang proses itu, kami alami pengalaman mistik, detik suka dan duka sebab banyak juga perkara kita tidak dapat capai kesepakatan sebagai penulis bersama.
"Apabila buku ini diterbitkan, ia bukan sahaja satu buku tetapi pengalaman dua penulis dari latar belakang berbeza. Saya lihat dari sudut peguam yang mahu benda semuanya tepat manakala Norzailina melihat dari sudut bahasa, budaya dan sebagainya," jelas beliau.
Shaharudin kini dalam proses menghasilkan buku keduanya yang mengisahkan pertempuran sebenar antara tentera Portugis dengan pahlawan-pahlawan Melayu Melaka. Apa yang menariknya, buku keduanya itu bakal menggunakan sumber paling dekat dengan mereka yang menyaksikan peperangan tersebut.
"Tun Sri Lanang tulis sejarah Melaka 100 tahun selepas Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis tetapi sumber yang saya gunakan ialah mereka yang lihat peperangan itu beberapa tahun selepas peperangan itu," ujarnya.
Disebabkan pengkajiannya terhadap sejarah lama Melaka itu, Shaharudin yang juga ahli dan penasihat undang-undang, Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Selangor, turut mempelajari Seni Silat Setiabakti bagi menjiwai pahlawan-pahlawan Melayu Melaka pada 2009.
"Buku ini mengisahkan seni sakti Melayu dan kehebatan istana dan hulubalang-hulubalang Melayu. Saya tidak puas menulis tentang sejarah Kesultanan Melayu Melaka tanpa merasai latihan-latihan yang dilalui seorang pesilat. Itulah punca saya belajar silat.
"Disebabkan faktor usia, saya diberikan pengecualian bagi tiga latihan iaitu saya tidak perlu terjun, berguling dan bertempur," katanya.
Satu lagi hobi Shaharudin ialah membaca buku dan beliau mempunyai koleksi lebih 1,000 naskhah buku di rumahnya. Minatnya terhadap pembacaan terserlah apabila beliau bukan sahaja mempunyai perpustakaan mini di rumah, malah rak buku di kepala katil dan tandas.
Buku ini bukan hanya berkaitan undang-undang tetapi pelbagai subjek termasuk bahasa dan sastera Inggeris, bahasa dan sastera Melayu, sejarah, agama Islam dan falsafah Islam, sains dan teknologi serta fizik.
Ilmu
"Selain buku, saya ada kira-kira 36,000 artikel berkaitan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang yang boleh saya gunakan sebagai rujukan dalam karier saya," tambahnya.
Di samping menulis buku, Shaharudin yang merupakan ahli Persatuan Menembak Selangor gemar menghabiskan masa hujung minggunya di kelab-kelab menembak, berbanding kebanyakan peguam lain yang lebih gembar berada di rumah kelab dan padang golf. Bagi beliau, aktiviti menembak boleh menenangkan minda dan aspek itu amat penting bagi kerjayanya.
"Kalau kita tembak dalam keadaan minda tidak tenang atau dalam keadaan baran, tidak mungkin kita boleh tembak sasaran dengan tepat," katanya
Menurut Shaharudin, beliau mula terlibat dalam hobi menembak sejak berusia 19 tahun iaitu ketika melanjutkan pengajiannya dalam jurusan undang-undang di sebuah universiti di London, United Kingdom. Di sana, beliau yang memiliki dua raifal angin turut menembak di beberapa kelab menembak di London.
Pengalaman paling tidak dapat dilupakan oleh Shaharudin semasa menuntut di London ialah ditahan sepasukan polis khas ketika dalam perjalanan untuk menyelenggara raifal miliknya di sebuah kedai di Oxford Street. Insiden tersebut menyebabkan seluruh Oxford Street sesak kerana orang ramai berhenti untuk melihat apa yang berlaku.
"Saya memiliki senjata api dengan sah tetapi saya tidak ada kenderaan untuk menyimpan raifal itu. Semasa ditahan, saya beritahu polis bahawa mereka tidak boleh mendiskriminasi di antara orang yang ada kereta dan tidak ada kereta," katanya.
Satu lagi fakta menarik tentang Shaharudin ialah beliau mencipta teknik sendiri tanpa perlu menggunakan formula matematik bagi menyelesaikan permasalahan kiub rubik. Menurut Shaharudin, dengan teknik yang diciptanya pada 2008 itu, masalah kiub rubik boleh diselesaikan dalam tempoh kurang tiga minit sahaja.
"Saya juga mengajar teknik menyelesaikan permasalahan kiub rubik ini. Sehingga ini, saya ada lapan anak murid yang telah lulus cara menyelesaikan permasalah kiub rubik ini," ujarnya. AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI Utusan/Rencana/20140907