kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orang media juga manusia biasa

SEJAK lebih sebulan lalu kebanyakan kita diseliputi perasaan hiba dan sedih berikutan kejadian pesawat MH 17 milik MAS ditembak jatuh oleh pihak pengganas yang pro-Rusia dalam konflik peperangan dengan pihak kerajaan Ukraine di kawasan sempadan negara itu.


Amat menyedihkan melihat harapan keluarga dan rakan taulan yang mengharap kepulangan mereka apatah lagi pada saat Aidilfitri bakal tiba.

Sudahlah beberapa bulan sebelum itu, kita dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan menuju ke Beijing dan dikatakan berakhir di Lautan Hindi. Sepanjang dua peristiwa besar ini berlaku mungkin banyak pihak terlepas pandang, kelibat wartawan dan jurugambar adalah antara pihak yang paling sibuk dan bertungkus lumus sejak awal pagi hinggalah lewat malam.

Ada yang berkorban tenaga, masa malah kewangan melakukan tugasan tanpa sebarang rasa jemu dan berkira. Memang ada pihak yang berasa kurang senang dengan kehadiran pihak media, mungkin beranggapan kurang selesa dengan lensa kamera dan perhatian yang diberikan. Namun akhirnya semua jelas dan bersikap terbuka bahawa tugas dan amanah para petugas media itu adalah bukan kerana mahu disalah guna jauh sekali mempunyai kepentingan serta agenda peribadi.

Kita sedia maklum bahawa wartawan dan jurugambar inilah yang menjadi penghubung antara pihak yang terlibat dengan masyarakat dan ahli keluarga yang begitu bimbang dan sedih dengan apa berlaku. Semua kita sedang menanti apa kisah sebenar dan maklumat sahih tentang punca, siapa dan kenapa tragedi seburuk MH 370 dan MH 17 berlaku. Mereka ini telah dibekalkan dengan etika dan integriti yang sepatutnya dalam menjalankan tugas dan tidak seharusnya berlaku sebarang pelanggaran, terutama melibatkan pihak keluarga yang masih bersedih dengan apa yang menimpa mereka.

Mungkin terdapat beberapa berita yang kurang enak serta tidak beretika dilaporkan namun ia bukan melibatkan media arus perdana dan mereka yang berpegang kepada integriti. Hanya melibatkan kenyataan di beberapa blog, Facebook atau media sosial lain oleh pihak yang adakalanya lebih sudu dari kuah aksinya.

Etika

Soal etika ini juga tidak begitu dipedulikan oleh beberapa media antarabangsa yang sampai satu ketika cuba memanipulasikan peristiwa tersebut dengan mengaitkan pihak tertentu demi kepentingan geopolitik pihak terlibat. Malah dalam peristiwa melibatkan pesawat MH 370, berita mengenai kapten Zaharie Ahmad Shah sengaja diputarbelitkan oleh media Barat seolah-olah cuba mengaitkan beliau sebagai punca kejadian itu, sesuatu yang jelas bertentangan dengan etika.

Alhamdulillah, pihak media Malaysia terutama sekali akhbar ini telah memegang kepada etika dan integriti yang tinggi dan bukannya berkelakuan seperti paparazi di Barat yang sentiasa bertindak di luar kewarasan hanya untuk berita yang kemudian disensasikan bagi tujuan tertentu. Kini hampir semua mayat mereka yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu sudah kembali ke tanah air dan selamat disemadikan mengikut amalan dan kepercayaan agama masing-masing. Tiada siapa pun yang dapat menyangkal kesedihan yang berlaku dan semua pihak bekerjasama secara baik bagi memastikan misi membawa balik dan mengebumikan jenazah dilakukan secara berhemah dan tertib.

Namun malangnya satu peristiwa hitam berlaku apatah lagi dalam keadaan semua pihak termasuk masih lagi bersedih dan berkabung. Agak malang bagi seorang jurugambar sebuah akhbar arus perdana ditumbuk oleh salah seorang ahli keluarga mangsa nahas tersebut. Dalam keadaan beliau mahu memberikan laporan terbaik, jurugambar berkenaan diperlakukan sedemikian rupa seolah-olah dia begitu bersalah dan patut dilayan sedemikian rupa.

Hakikatnya perlukah kejadian tersebut dilakukan sedangkan perbuatan menumbuk atau menyerang seseorang adalah satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Sepatutnya jika timbul sebarang masalah, apa yang perlu hanya nyatakan secara elok kepada jurugambar atau kepada pihak yang berkenaan jika tidak mahu sebarang liputan.

Waima jika benarlah jurugambar atau wartawan yang berada di lokasi ada membuat khilaf sekalipun, tidak perlulah diserang atau dipukul secara kasar. Apakah mereka ini bukan manusia yang perlu dilayan sebegitu rupa. Tidak bolehkah jika dilakukan secara baik atau berperikemanusiaan kerana sudah tentu setiap kelemahan dan kekurangan pasti ada jalan penyelesaian terbaik dan berhemah tanpa perlu melakukan kekasaran.

Apatah lagi ia melibatkan pihak yang telah banyak berkorban dan bersengkang mata siang dan malam untuk memberi liputan berita terbaik bagi pihak keluarga mangsa nahas serta seluruh rakyat negara ini. Apa salahnya jika toleransi dan sikap menghormati dijadikan sempadan terbaik dalam menyelesaikan sesuatu.

Bagaimanapun saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa perlu berlarutan di kemudian hari. Kita semua faham bagi mereka yang terlibat adalah perlu sedikit ruang diberikan sebagai penghormatan terakhir. Namun kita semua juga perlu akui bahawa wartawan dan jurugambar sebenarnya hanyalah manusia biasa seperti kita semua dan bukannya musuh yang cuba merosak atau memburukkan lagi keadaan.

Maka seperti orang lain, keluarga wartawan dan jurugambar ini juga mengharapkan supaya mereka dapat pulang ke rumah dalam keadaan selamat tanpa tanda lebam atau berdarah di hidung. Dan seterusnya dapat kembali bertugas pada hari esoknya dengan selamat tanpa ancaman bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain.   Hafizahril Hamid hafizahril@yahoo.com.my Utusan/Rencana/20140907

Tags: media
Subscribe

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments