kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Hidup atas isu, kontroversi

Banyak kebimbangan terlahir apabila 'pemaksaan' terhadap Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk diangkat menjadi Menteri Besar Selangor sifatnya tidak demokratik dan menafikan potensi kalangan tokoh lain yang berwibawa. Kini Pas cuba mengambil sikap yang berbeza. Apakah ini petanda pemimpin besar Pas sedang meneliti dan memerhati supaya arah politik baharu boleh terjadi? Ikuti wawancara dengan Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), DATUK AIDIT GHAZALI tentang perkembangan isu politik di Selangor.

Mingguan: Sebagai anak negeri Selangor, Datuk sangat dekat dengan krisis politik-Istana yang yang sedang terjadi. Kalau isunya ialah perkenan Sultan dalam perlantikan Menteri Besar Selangor, Tuanku Sultan telah menyatakan sikap baginda sesuai dengan peruntukan undang-undang negeri Selangor. Apa latar yang Datuk lihat hal ini terjadi?

AIDIT: Saya, rakyat yang taat setia pada Sultan saya, sebab kedudukan Raja-Raja Melayu di negara kita adalah sebagai Pemayung dan Pemelihara agama Islam, hak umat serta rakyat dan penjagaan negara untuk berterusan menjadi sebuah daulat Islam, walaupun ada kelemahan di sana sini.

Saya berpegang pada wasiat Raja-Raja Melayu ketika bersetuju dengan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957, iaitu salah satunya: "Kami isytiharkan Islam ialah agama Persekutuan."

Susulan pada wasiat ini, maka Raja-Raja Melayu, termasuk Sultan Selangor wajib memilih pemimpin nombor satu negeri yang menjawat sebagai menteri besar, yang mampu, layak, beriltizam, terbukti kemampuan dan berpotensi untuk mendukung pelaksanaan wasiat ini juga.

Justeru, kemelut politik di Selangor hari ini bukan diwujudkan atas sebab campur tangan Istana tetapi atas sebab Tuanku masih belum lagi jelas siapa yang wajar diperkenan sebagai menteri besar yang mampu pikul amanah berat ini.

Kemelut yang berlaku ini terbit daripada kerakusan nafsu Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya yang termakan dengan agenda politik sempitnya. Bila berlanjutan daripada konspirasi Langkah Kajang sehingga membawa pada keadaan hari ini, di mana kita melihat sesama pemimpin pakatan pembangkang berpecah, sesama pemimpin dalam parti-parti Pakatan berpecah dan rakyat semakin kecewa dengan gelagat pimpinan tertinggi parti-parti dalam Pakatan, maka kita lagilah perlu faham mengapa Tuanku begitu teliti, prihatin dan serius dalam pemilihan menteri besar yang tak akan khianati pelaksanaan amanah berat ini.

Apabila tambah lagi dengan putar-belit yang dilontarkan oleh beberapa pemimpin Pakatan sehingga mereka bercanggah sesama sendiri, maka kita sebagai rakyat yang setia kepada Tuanku jelas memahami pendirian Istana, agar jangan nanti kegopohan kita untuk melantik menteri besar serta kenaifan kita untuk percaya pada kata-kata licik pihak-pihak tertentu nanti menggadai masa depan Islam, umat, negeri, negara dan segala yang kita telah usaha untuk bina selama ini.

Meletakkan nama satu calon Dr. Wan Azizah sebagai pengganti Khalid Ibrahim walaupun Pas selaku regu Pakatan mempunyai pendirian lain, nampaknya tidak dihormati Anwar. Apakah ini memperlihatkan gejala 'nepotisme' hasil maksud tersirat 'Langkah Kajang' yang menyebabkan krisis?

AIDIT: Krisis yang kita saksikan pada hari ini adalahi natijah daripada faktor-faktor yang lebih besar dan berbahaya daripada sekadar gejala nepotisme. Pada saya, krisis hari ini lahir daripada kerakusan nafsu serakah manusia-manusia yang berprinsipkan 'Matlamat menghalalkan sebarang cara', penghambaan beberapa pihak pada agenda kuasa-kuasa luar yang tidak menyenangi Malaysia sebagai negara yang hendak pada Islam, penganutan beberapa pihak pada ideologi pluralisme, liberalisme, sekularisme, hedonisme dan rasionalisme, dan agenda beberapa pihak yang hendak mencabar kedudukan Institusi Raja dan seterusnya mendekati penubuhan sebuah republik.

Mereka juga hendak mengganti tonggak-tonggak negara dengan alternatif mereka yang akan berlandaskan ideologi-ideologi songsang yang saya sebutkan ini. Maka tak hairanlah kita saksi mereka menyerang PDRM, ATM, SPRM, SPR, Institusi Kehakiman, Institusi Raja, aspek-aspek terpenting dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak bangsa Melayu dan Bumiputera, status fatwa, undang-undang Islam, agensi-agensi agama Islam, takrifan-takrifan songsang pada kefahaman hak asasi manusia dan banyak lagi.

Siapa yang makan cili, maka dialah rasa pedas. Kalau tak bersalah, maka tak perlulah risau. Namun bagi insan seperti saya, dah terang lagi disuluh siapa penyangak-penyangak yang saya maksudkan.

Satu sebab mengapa krisis ini juga boleh berlaku adalah kerana pihak-pihak yang sepatutnya boleh buat kerja masih lesu dan lembab dalam melaksanakan tugasan secara pintar dan tuntas. Ini termasuklah parti-parti politik, agensi-agensi kerajaan, GLC, NGO dan sebagainya. Kelemahan kita telah menonjolkan musuh-musuh kita seolah-olah mereka cerdik dan kuat.

Walhal, jika kita ikuti portal berita dan blog-blog yang satu ketika mendukung gila-gila gejala pihak anti-establishment, kini mereka mengkritik tahap bangat puak-puak yang sama.

Malah, saya juga dapat kesan sebahagian daripada kenalan saya yang satu ketika begitu taksub dengan pejuang-pejuang liberalis ini, kini dah malu alah dengan keghairahan mereka. Tetapi saya mengambil sikap, biar lambat asalkan selamat daripada dimurkai Allah SWT kelak.

Sebagai ahli ekonomi dan konsultan berpengalaman di Malaysia, apakah ini sebahagian dari teori konflik yang diamalkan oleh Anwar dalam strategi politiknya supaya isu tetap hidup dan sifatnya kontroversi?

AIDIT: Manusia seperti Anwar Ibrahim hidup atas isu. Jika tidak ada isu, maka isu baru akan direka. Jika kita naif dan tidak arif dengan permainan liciknya, maka kita akan terperangkap dengan emosi kita yang membuak, langkah-langkah kita yang sekadar sentuh masalah di permukaan sahaja, mudah puas hati dengan sekadar demonstrasi spontan dan laporan polis serta berbicara seperti juara kalangan kenalan kita sahaja.

Kita mesti faham bahawa jika khazanah ilmu Barat mengenalkan 80 kaedah mencari penyelesaian, khazanah Islam ada 250 sekurang-kurangnya. Jika dunia Barat ada 35 kaedah perang saraf, Islam ada 60 kaedah perang saraf. Jika negara China ada seni peperangan SunTzu, Rasulullah ada berpuluh seni peperangan Baginda yang kita dapat garap daripada 28 peperangan (ghazwah) di mana Baginda terlibat.

Apa yang saya ingin majukan ialah kerakusan politik Anwar dan kuncu-kuncunya bukan sangat disebabkan mereka ini lebih bijak daripada kita. Tetapi kita yang ada kudrat, kuasa, jawatan, pengaruh, sumber dan peluang tidak ghairah untuk menguasai kepakaran yang sedia ada dalam Islam. Malah ada antara kita ini mempunyai sindrom sempit bahawa apa yang datang daripada Barat pasti lebih hebat daripada apa yang bangsa kita sendiri mampu lakukan.

Justeru, krisis di Selangor hari ini mesti sama-sama dipertanggungjawabkan oleh semua pihak dan bukan sahaja main players seperti Istana, parti politik dan sebagainya.

Sebagai anak Selangor, ia memerlukan kepemimpinan yang berwibawa dan mempunyai integriti tinggi kerana Selangor ialah pusat pembangunan ekonomi negara. Tumpuan adalah pada membangunkan hartanah dan menggubal dasar perumahan, penyelesaian bekalan air bersih dan juga kemajuan industri. Tidakkah tanpa integriti, maka kesan demografik (taburan penduduk) boleh membawa kesan terhadap pertumbuhan dan upaya politik umat Melayu pada masa depan?

AIDIT: Memang benar kita mesti dipimpin oleh mereka yang memiliki dan membuktikan bahawa diri mereka mempunyai tahap integriti yang tinggi. Namun, saya juga sabitkan soal integriti ini dengan soal iman, ketakwaan, iltizam kita terhadap mempertahankan syiar Islam serta soal hidayat.

Apabila saya berpegang sedemikian, maka saya tidak nampak bagaimana kita hendak katakan seseorang itu mempunyai integriti jika kefahaman agama Islamnya itu dinodai dengan kefahaman pluralisme, liberalisme, simpati pada keselamatan negara haram Israel, biadab pada Institusi Raja dan sebagainya.

Integriti bukan boleh dibeli, dipindah, disewa, diperakui sendiri atau dilabel. Bak kata-kata dalam Bahasa Inggeris, "you have to earn it and not take it for granted." Saya tidak perlu memberi ulasan tentang soal akhlak seseorang untuk menolaknya tetapi jika dalam hal akidah Islam seseorang itu goyah, kabur dan sesat, maka saya yakin kita tidak perlu mencari ruang sangka baik dengan orang seperti ini.

Apakah Datuk melihat kemungkinan Tuanku Sultan atas nasihat perundangan menyerahkan mandat itu kepada rakyat semula?

AIDIT: Membubar Dewan Undangan Negeri bukan sesuatu keputusan yang mudah diambil oleh Tuanku sebab baginda juga amat peka dengan soal perbelanjaan yang besar, soal menyusahkan rakyat tanpa sebab kukuh, soal tidak mengguna saluran-saluran seperti hak baginda dalam Undang-undang Tubuh Negeri dan soal mengambil jalan mudah, sedangkan krisis ini bukan disebabkan tindakan Istana.

Krisis ini wujud disebabkan kerakusan agenda politik Anwar, kebiadaban pihak-pihak politik terhadap kuasa dan hak Sultan, krisis politik dalaman parti-parti dalam Pakatan serta kedegilan mereka yang taksub pada manusia sehingga sanggup menggadai masa depan Islam, umat, negara dan generasi akan datang.

Namun, pembubaran DUN tidak dapat dinafikan boleh berlaku tetapi tidaklah semudah itu. Saya amat meyakini kebijaksanaan Sultan Selangor. Dalam sesi-sesi perbincangan saya dengan Tuanku, ketajaman soalan dan pandangan baginda serta tahap kemaslahatan di sebalik perkenan baginda sering menuntut saya untuk datang mengadap well prepared. Saya amat simpati dengan sesiapa yang berfikir bahawa Tuanku mudah dipinggirkan, lebih-lebih lagi apabila baginda tidak lekang daripada terus menjunjung tinggi wasiat Raja-raja Melayu.   Utusan/Rencana/20140907

Tags: isu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments