kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Anwar vs Hadi

Memandangkan sudah terlalu banyak analisis dan tulisan berkaitan kemelut Menteri Besar Selangor yang masih berlarutan, Awang sekadar mahu merafak sembah ke atas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana kebijaksanaan baginda menangani isu tersebut.

Biarpun menghadapi tekanan dan adakalanya ugutan dan penghinaan daripada para pemimpin PKR dan DAP, baginda tidak goyah apalagi untuk tunduk. Awang ingin menzahirkan kesyukuran dan penghargaan yang tidak terhingga atas ketegasan Sultan Selangor. Rata-rata masyarakat menyokong baginda dalam isu tersebut sambil menolak perbuatan menghina Raja yang disifatkan sudah keterlaluan. Teruskanlah Tuanku mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri Selangor daripada angkara percaturan peribadi pemimpin politik gila kuasa yang mahu beraja di mata dan bertakhta di hati.

Dalam pada itu, Awang teruja apabila Pas menghantar tiga nama untuk dipersembahkan sebagai calon menteri besar yang baharu. Lebih banyak pilihan lebih baik. Apa salahnya jika calon Pas menjadi menteri besar. Beri pula peluang kepada parti itu yang mempunyai hak dan merit dalam konteks politik Selangor.

Lagipun Awang lebih percaya pemimpin Pas untuk mengurus rezab RM5 bilion berbanding calon boneka Penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Namun terganggu dengan perbalahan terbuka sesama pemimpin Pas. Kelompok Anwarinas telah bertindak balas terhadap golongan ulama, termasuk menubuhkan Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa). Pendirian Hadi tidak diikuti sebaliknya diperlekehkan. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pula mempersoalkan keputusan Majlis Syura Ulama yang mencadangkan ADUN Pas sebagai calon menteri besar. Inilah perpecahan paling buruk dalam sejarah Pas, yang pujian harus diberi kepada Anwar atas kejayaannya itu. DAP menjadi komponen pakatan paling untung dan puas.

Apa pun Awang tabik Presiden Pas, Hadi Awang dan barisan ulama kerana tidak tunduk kepada PKR dan DAP. Walaupun Hadi menghadapi tentangan hebat daripada kelompok Anwarinas atau Anwariuun (memetik rujukan Uztaz Ismail Mina), majoriti ahli akar umbi masih bersama beliau. Semalam, Hadi bersuara sekali lagi menolak Wan Azizah Ismail yang disifatkannya tidak berkebolehan. Begitu juga amaran beliau kepada pemimpin Pas supaya keluar parti jika tidak lagi sehaluan dengan Pas. Awang percaya itu baru permulaan. Adalah silap bagi Anwar mahu mengambil mudah Hadi. Kita lihat nanti.

Akta Hasutan

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Shahidan Kassim menyatakan semua bahagian dan sayap UMNO meminta kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948. Ini antara lain berdasarkan maklum balas daripada persidangan bahagian-bahagian UMNO sekarang. Sentimen tersebut menyamai pendirian banyak badan bukan kerajaan termasuk yang diputuskan oleh Badan Perpaduan Nasional yang turut mahukan akta itu ditambah baik. Nampaknya setakat ini, suara yang mahukan Akta Hasutan dikekalkan semakin kuat, yang sudah tentu akan diambil kira oleh kerajaan.

Sementara itu, Awang dikirimkan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad yang dikeluarkan semalam. Berikut antara sedutannya: "Singapura masih mempunyai Akta Hasutan (Sedition Act). Singapura tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang. Daripada kes-kes yang saya temui, semua orang yang dituduh dan dihukum adalah orang bukan Islam kerana kesalahan terhadap orang Islam. Sebagai misalan, sepasang suami isteri Cina beragama Kristian dihukum empat minggu kerana mengedar bahan cetak dan menghasut kepada dua orang wanita Islam. Seorang lagi dituduh kerana membuat kenyataan yang mengandungi kata-kata yang lucah dan menghina terhadap orang Melayu dan agama mereka, Islam. Dia dikenakan sebulan penjara. Semasa menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua kes itu pada 7 Oktober 2005 Hakim Kanan Mahkamah Daerah Richard Magnus berkata adalah penting untuk menjatuhkan hukuman yang mencegah (deterrent) supaya perbuatan yang menyakitkan hati (offending) itu boleh ditangani daripada awal dan dikawal.

Beliau mengingatkan peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1994 di Singapura dan bahawa kenyataan yang tidak bertanggungjawab terhadap bangsa dan agama boleh menggugat kententearam awam. Tindakan itu diambil walaupun perlembaagan Republik Singapura tidak mempunyai peruntukan bahawa Islam adalah agama Republik itu dan tidak ada peruntukan yang membolehkan undang-undang dibuat untuk melarang orang bukan Islam daripada menyebar agama bukan Islam kepada orang Islam.

Tindakan itu diambil atas alasan kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam. Malaysia patut belajar daripada Singapura." Awang paparkan dalam ruangan ini, untuk renungan bersama.

Harapan kepada Gani

Awang ucapkan tahniah kepada Peguam Negara, Gani Patail kerana responsif kepada suara majoriti rakyat negara ini yang mahukan isu-isu hasutan selain penghinaan antara agama dan kaum, ditangani dengan tegas.

Buktinya, banyak pendakwaan dilakukan kebelakangan ini. Inilah yang sebenarnya dimahukan iaitu bertindak tegas dan cepat ke atas mana-mana individu yang menghasut sebagaimana menjadi amalan di Singapura. Ia memberi isyarat yang jelas kepada rakyat lalu membentuk budaya penguatkuasaan undang-undang yang lebih digeruni. Cuma harapan Awang dalam membawa pendekatan lebih agresif, Pejabat Peguam Negara perlu kemas dan teliti terutama bagi memastikan pertuduhan mengikut akta yang sesuai supaya dilihat lebih berpeluang untuk menang sesuatu kes.

Dalam hal ini, Awang tertanya-tanya, selain pertuduhan Akta Hasutan 1948 ke atas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran, mengapa beliau tidak didakwa di bawah pertuduhan menghina mahkamah berkaitan kenyataannya dalam kes rayuan liwat Anwar Ibrahim? Sedangkan apa yang dinyatakan Surendan, seorang peguam adalah jelas mencemar institusi kehakiman, yang berat kesalahannya. Apakah beliau ada imuniti daripada sebarang pertuduhan menghina mahkamah, entahlah...

Misteri sebenar

Sama ada suka atau tidak, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock iaitu setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian (DAP).

Antara lain ia merumuskan Mahkamah koroner terkhilaf ketika memutuskan bahawa kematian Beng Hock adalah akibat bunuh diri. Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menjalankan semula siasatan bagi mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Atas semangat yang sama, Awang berharap polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memberi tumpuan kepada isu sebenar iaitu dakwaan beberapa exco Selangor menyalahgunakan peruntukan awam, yang Beng Hock merupakan salah seorang saksi bagi siasatan. Juga dakwaan yang pernah dilaporkan tentang kaitan exco tertentu dengan kegiatan kongsi gelap. Salah laku dan penyelewengan itu tidak boleh dikompromi.

Siasat habis-habisan supaya isu pokok pada awal siasatan kes Beng Hock tidak ditenggelamkan oleh mana-mana pihak. Awang berharap polis dan SPRM tidak gagal kali ini. Rakyat mahu tahu perihal sebenar supaya ia tidak terus menjadi misteri. Jangan biarkan mereka yang terbabit terlepas dengan hilai ketawa.

UDA abai Melayu?

Beberapa aktivis badan bukan kerajaan (NGO) terus melahirkan keluh kesah terhadap prestasi UDA dalam melaksanakan agenda asal penubuhannya. Salah seorang aktivis tersebut yang menjalankan penyelidikan meminta Awang tolong tanyakan apakah benar projek-projek mega UDA dianugerahkan kepada syarikat bukan bumiputera sepenuhnya dan syarikat bumiputera yang dikuasai oleh bukan bumiputera? Antaranya pembangunan usahasama di tapak Penjara Pudu dan projek komersil bercampur di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Khabarnya, projek pembangunan Pulau Jerjak juga telah dijual kepada syarikat bukan bumiputera walaupun ada syarikat bumiputera mengemukakan permohonan. Syarikat Melayu tidak langsung diberi peluang untuk menyertai usahasama dalam projek di Pulau Pinang itu. Awang percaya pengurusan UDA termasuk ahli lembaga pengarahnya sedia memberikan penjelasan menyeluruh dan meyakinkan. Jika perlu senaraikan syarikat yang memperoleh projek-projek utama di bawah UDA untuk pengetahuan umum. Ia juga suatu kaedah bagi UDA menangkis jika terdapat sebarang dakwaan liar atau salah faham. Tetapi jika benar, syarikat bumiputera hanya dapat serdak dan tulang, lebih baik bubarkan sahaja UDA, kata aktivis itu. Awang tiada jawapan, sekadar senyum.

UiTM Diraja

Memandangkan DAP yang menggunakan beberapa aktivis Melayunya terus mengasak agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada kaum lain, Awang melihat ia sebagai kesempatan terbaik untuk memperharui iltizam memperkasakan universiti tersebut. Lagi ditekan lagi membara sepatutnya usaha mengekalkan jati diri UiTM. Semua orang tahu bahawa universiti tersebut merupakan salah satu keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 153.

Dalam satu perbincangan yang Awang sertai, seorang Ahli Parlimen mencadangkan UiTM diberi taraf diraja atas keunikannya. Awang setuju. Jangan tunggu lama-lama, laksanakan sahaja. Utusan/Rencana/20140907

Tags: akta, keselamatan, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments