kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Harga rumah perlu ikut kemampuan

PEMBANGUNAN pesat bandar-bandar utama seluruh negara terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur begitu mengagumkan dan membanggakan warganya.

Pelbagai mercu tanda dan bangunan pencakar langit begitu mengujakan bagi sesiapa sahaja yang melihatnya tetapi ia tidak mencukupi bagi warga kota yang merupakan penghuni setia bandar raya ini.

Memiliki rumah sendiri merupakan impian utama golongan muda yang bertungkus-lumus mencari rezeki dan mempunyai keluarga di sini.

Kegagalan memiliki rumah di dalam bandar bukannya satu isu yang baru didengari hari ini sebaliknya merupakan masalah yang telah lama menjadi perbualan hangat mahupun perdebatan bagi kumpulan sasar ini memiliki rumah idaman.

Pasaran harga rumah di Malaysia mula meningkat pesat bermula pada awal 1990-an dengan peningkatan sebanyak 25.5 peratus daripada nilai sebenar 20.3 peratus dan merosot sedikit selepas krisis kewangan Asia antara 1997 dan 1999 sebanyak 39 peratus.



SEMAKIN sukar mencari rumah yang berharga di bawah RM300,000 sekarang lebih-lebih lagi di bandar. - GAMBAR HIASAN

Namun pasaran harga rumah terus melonjak tinggi selepas pelancaran Pelan Greater Kuala Lumpur termasuk projek transit aliran massa (MRT), monorel dan transit aliran ringan (LRT) yang dinaik taraf.

Halangan sebenar yang mendorong tercetusnya masalah pemilikan rumah kepada golongan muda di bandar adalah kerana nilai hartanah yang melambung tinggi.

Pemaju membeli tanah dengan kadar yang tinggi kemudian ditambah dengan kos bahan-bahan binaan yang terlalu mahal menyebabkan harga sesebuah rumah meningkat dan tidak mampu dimiliki oleh mereka terutama yang baru mendirikan rumah tangga.

Kaji selidik yang dilakukan dalam laman sosial, Facebook mendapati antara faktor utama anak-anak muda gagal memiliki rumah adalah kerana sukar untuk mendapatkan pembiayaan perumahan daripada institusi kewangan disebabkan faktor gaji kerana harga jualan rumah paling rendah sekitar RM300,000 ke atas.

Jika dilihat pada tangga gaji lepasan diploma yang bermula sekitar RM1,300 sehingga RM2,000 dan lepasan ijazah pula RM1,900 sehingga RM3,000 sebulan, sudah tentu tidak memungkinkan seseorang itu merealisasikan hasrat memiliki rumah sendiri.

Pemilikan rumah begitu penting bagi generasi muda terutama bagi yang baru berkahwin dan belum mempunyai cahaya mata kerana kos perbelanjaan lebih ringan berbanding setelah mempunyai anak. Kos perbelanjaan sara hidup dapat dikurangkan atas dasar tahun pinjaman pembelian rumah.

Statistik perkahwinan bagi pasangan muslim dan bukan muslim di Wilayah Persekutuan mencatatkan kenaikan sebanyak 14,000 setahun. Ia sekali gus memperlihatkan kenaikan permintaan yang tinggi daripada golongan ini.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk insentif seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang banyak dibina di seluruh negara.

Namun ia masih tetap gagal dimiliki oleh golongan sasar kerana terdapat syarat-syarat terlalu ketat dikenakan oleh pihak bank sebelum diluluskan pinjaman.

Selain itu, pelarasan gaji minimum yang tidak disahut sepenuhnya oleh majikan antara salah satu faktor pinjaman tidak diluluskan.

Mungkin sudah tiba masanya pihak bank melonggarkan sedikit syarat atau memberi skim pinjaman istimewa untuk golongan memerlukan bantuan membuat pembelian rumah pertama.

Jika hendak memiliki rumah yang berharga antara RM300,000 dan RM450,000 sesebuah keluarga itu harus mempunyai pendapatan seisi rumah sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan dengan tempoh bayaran semula selama 25 tahun hingga 30 tahun. Persoalannya berapa banyakkah keluarga muda di bandar mempunyai pendapatan sebanyak itu?

Kajian menunjukkan purata gaji seisi rumah dalam negara adalah sekitar RM4,300 untuk sebanyak 40 peratus dan RM1,700 untuk 40 peratus. Ini bermakna kebanyakan rakyat masih tidak mampu membeli rumah dengan harga yang ditawarkan.

Ini tidak termasuk lagi dengan perkiraan umur peminjam. Lebih muda umurnya, maka lebih lama tempoh pinjaman yang boleh dibuat.

Namun rata-rata pendapatan isi rumah di Kuala Lumpur boleh dianggarkan sekitar RM3,000. Maka semaksimum rumah yang boleh dimiliki dengan purata gaji itu adalah antara RM150,000 dan RM200,000 untuk tempoh pinjaman yang sama 25 tahun ke atas.

Namun ia akan berbalik semula kepada kekangan utama dasar pinjaman daripada institusi perbankan yang sudah pasti tidak pernah merujuk kepada geoekonomi di kawasan bandar dan keduanya, faktor hartanah kerana ia merujuk kepada sesuatu tempat serta bukan nilai semasa keseluruhan.

Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa suatu pelan jangka panjang perlu diwujudkan bagi mengelakkan pemaju mengaut keuntungan berlipat kali ganda terutama di kawasan strategik sekitar Lembah Klang.

Kerajaan harus menghentikan penjualan tanah kepada pemaju, sebaliknya menyediakan tanah untuk dibangunkan dengan perumahan awam dan rumah mampu milik. Lebih murah tanah, lebih murah kos sebuah rumah untuk dibina.

PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Felda atau mana-mana yayasan perlu mewujudkan skim sewa beli kepada golongan sasar yang gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan.

Sebagai contoh, Yayasan Wilayah Persekutuan membantu memberikan pinjaman kepada penduduk yang berhasrat membeli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diduduki tetapi mempunyai masalah kewangan.

Mengambil kira faktor keperluan rumah mampu milik hari ini, mungkin kerajaan boleh memikirkan satu projek perumahan yang dinamakan Bandar Belia sebagai perintis bagi memacu demografi Malaysia.

Kerjasama antara pemaju swasta adalah satu langkah terbaik dalam penawaran rumah mampu milik dengan tawaran nilai di bawah RM150,000 yang dirasakan berbaloi dan lebih prihatin akan masalah yang membelenggu golongan sasar hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan diminta memantau aktiviti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) yang kerap kali dilihat berpaksikan kepada keuntungan dengan memanipulasi harga tanah dan perumahan tanpa menghirau dan mengambil kira kemampuan sebenar pembeli.

Kerajaan sewajarnya melaksanakan dasar yang berpihak kepada kepentingan rakyat dan sudah tiba masanya mengenakan cukai tinggi kepada mereka yang mengambil keuntungan daripada hasil penjualan rumah.

MOHD. RAZLAN MUHAMMAD RAFII ialah Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan. Utusan/Rencana/20140909

Tags: rumah
Subscribe

  • Tiga dekad lawan persepsi

    MUKADIMAH : PADA 7 Julai ini, Proton Holdings Berhad (Proton) akan menyambut ulang tahun ke-30 tahun penubuhannya sebagai pengeluar kereta…

  • PROTON, PERODUA galas cabaran

    PELANCARAN dua model kereta oleh perusahaan automotif nasional, PERODUA dan PROTON bagi menghadapi industri automotif dunia yang kompetitif dan…

  • Perodua lwn Proton

    Industri automotif jenama tempatan tidak kurang hebatnya apabila kedua-dua mereka mula menunjukkan taring masing-masing dalam melancarkan produk…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments