kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kenapa perlu malu-malu mengaku yang terbaik?

ISNIN lalu, alma mater penulis Universiti Malaya (UM) menerima kemasukan pelajar baharu atau dipanggil freshies. Bagi menyambut kehadiran mereka yang baru bergelar mahasiswa ini, pihak universiti seperti biasa menggantung kain rentang bagi mengalu-alukan mereka ke dunia kampus.

Yang agak luar biasa dan menariknya pada tahun ini, penulis perhatikan pintu gerbang UM turut dihiasi slogan UMisOne.

Penulis berkesempatan bertanyakan seorang mahasiswa baharu apa makna UMisOne? Dia yang masih segar dengan taklimat sepanjang Minggu Haluan Siswa dengan lancar memberitahu UMisOne itu menggambarkan komposisi pelajar di UM yang berbilang kaum, pelbagai fahaman dan latar belakang tetapi dapat hidup bersama atau senang cakap 1Malaysia.

Ia juga katanya, bagi menonjolkan UM sebagai universiti pertama atau tertua di Malaysia di samping universiti yang kini menduduki ranking teratas iaitu nombor satu di negara ini.

Sebagai alumni UM, kembang hidung penulis mendengarnya. Penulis merasa cukup bangga.

Sebenarnya dari dulu penulis tertanya-tanya kenapa UM tidak bersungguh-sungguh mempromosikan kedudukannya sebagai universiti terbaik, tertua dan terulung di negara ini?

Kalaulah UM ini terletak di luar negara seperti Amerika Syarikat atau United Kingdom, penulis percaya ia akan 'dijual' habis-habisan.

Bukan sahaja oleh pentadbir universiti untuk menarik perhatian lebih ramai pelajar cemerlang memohon memasukinya bahkan oleh pihak berkuasa tempatan untuk mempopularkan kawasan atau negeri mahupun dijadikan tarikan pelancongan.

UM sebagai universiti penyelidikan awam bukan calang-calang. THES - QS World University Rankings telah menyenaraikan UM sebagai antara 200 universiti terbaik dunia.

Namun penulis tidak salahkan UM kerana tidak menguar-uar kejayaan dan kehebatannya. Sebab penulis tahu, memang bukan budaya rakyat Malaysia khususnya orang Melayu untuk bermegah-megah dengan kelebihan yang ada.

Teringat semasa mengikuti fellowship di Universiti Cambridge tahun lalu, penulis sendiri ketika sesi pengenalan hanya memperkenalkan diri sebagai editor di Utusan Malaysia. Cuma yang agak 'menunjuk' sedikit bunyinya apabila penulis memberitahu bahawa Utusan Malaysia ialah akhbar berbahasa Melayu yang paling berpengaruh dengan edaran harian paling tinggi di negara ini - itu sahajalah tahap berlagak penulis.

Tetapi apabila tiba giliran felo lain memperkenalkan diri, mulut penulis ternganga. Seorang felo dari China dengan bangga mengakui yang dia 'lebih kurang pakar alam sekitar' kerana pernah membuat laporan tentang pencemaran sungai di negaranya.

Itu belum lagi giliran Profesor John Naughton yang tanpa ragu-ragu memperkenalkan diri sebagai pakar sejarah teknologi.

Dari situ penulis belajar kita tidak perlu malu menceritakan apa yang kita ada asalkan jangan mengada-adakan cerita yang tidak ada.

Justeru tidak salah jika UM 'berlagak' sedikit dengan menguar-uarkan slogan UMisOne kerana bagi penulis universiti itu memang berhak pun berbuat demikian.

Dalam kehidupan bermasyarakat, sikap merendah diri dan tidak suka menunjuk-nunjuk memang sifat yang terpuji. Namun dalam dunia persaingan sama ada ekonomi, perniagaan, politik apatah lagi akademik atau sukan, menonjolkan kelebihan itu perlu untuk menunjukkan tahap keyakinan, kesiapsediaan dan kecemerlangan.

Ia juga ada kaitannya dengan pemasaran dan penjenamaan.

Rakyat Korea misalnya tidak malu-malu menonjolkan diri dengan meletakkan jenama kepada apa sahaja yang 'dikeluarkan' oleh negara itu termasuk selebriti dan ahli sukannya.

Maka apabila kita menyaksikan program-program dari negara itu di kaca televisyen, kita sering terserempak dengan kapsyen seperti 'Lee Yongdae - pemain beregu badminton terbaik dunia', 'Park Joobong - legenda badminton', 'Park Jisung - kapten bolasepak nombor 1' dan 'Kim Yuna - peluncur ais paling jelita'.

Walaupun kadangkala slogan yang digunakan kelihatan dan bunyinya agak terlebih namun mereka tidak segan-segan melaungkannya. Dan mungkin kesannya, atlet negara itu semakin bersemangat dan berkeyakinan untuk mencatat kejayaan di peringkat dunia.

Itu belum dikira gelombang hiburan Korea yang membadai di serata dunia termasuk benua Amerika, Eropah dan Asia. Sikap tidak malu-malu mengaku dan mencanangkan bahawa mereka ialah yang terbaik membantu mempengaruhi minda masyarakat antarabangsa mempercayainya.

Maka ramailah yang terpesona kepada 'Yoo Jaesuk selaku pengacara nombor 1', 'Nana - wajah nombor 2 tercantik dunia', atau 'Kang Hodong - ahli gusti terhebat' sungguhpun slogan itu kadangkala boleh dipertikaikan.

Penulis tidak pula mahu UM atau kita di Malaysia mengikut 100 peratus cara orang Korea, namun tidak salah untuk belajar daripada mereka. Tonjolkan apa yang memang berhak ditonjolkan.

Seperti yang kita sering dengar dan tonton dalam iklan Cuti-cuti Malaysia, negara kita mempunyai banyak benda unik untuk dibanggakan.

Hanya di Malaysia - ada gajah terkecil di dunia - iaitu pygmy Borneo yang boleh ditemui di Pusat Hidupan Liar Sungai Kinabatangan, Sabah; ada bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia; dan via ferrata iaitu laluan besi tertinggi di dunia yang terletak di puncak Gunung Kinabalu.

Dan bukan lagi rahsia, kita ada menara berkembar tertinggi di dunia - KLCC.

Harapan penulis selepas ini, rakyat Malaysia tidak malu-malu lagi menonjolkan keunikan, keistimewaan dan segala kecemerlangan yang ada.

Penulis mahu melihat dari Perlis ke Sabah, akan terpampang papan-papan tanda mempromosi dan menonjolkan apa juga yang terbaik, tercantik, terpanjang, terpendek, terkecil, terbesar, paling besar, paling ringan, yang pertama, ke-10 atau ke-100 di dunia.  Jangan malu-malu. Malaysia Boleh! Coretan Marhaen Utusan/Rencana/20140909

Tags: universiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments