kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Biadab, derhaka undang kemurkaan

KRISIS politik Selangor sampai ke kemuncaknya semalam apabila Sultan Selangor meluahkan rasa kecewa dan kesal atas tindakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos lalu.

Antara lain kandungan kenyataan rasmi dari Istana Selangor yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani, bertarikh 8 September menyebut;



AHLI pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaungkan Daulat Tuanku sewaktu berkumpul di Padang Sultan Sulaiman bagi menyatakan sokongan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini. - UTUSAN

"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor."

Menurut beliau, Sultan Selangor akan meneliti senarai calon yang dikemukakan oleh ketiga-tiga parti politik dalam Pakatan Rakyat (iaitu Pas, PKR, dan DAP) dan mengambil kira segala aspek sebelum membuat keputusan.

Dalam menjalankan kuasa budi bicaranya melantik Menteri Besar (MB) Selangor, tambah Munir, sultan akan meneliti nama-nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan yang mengikut fikiran baginda 'mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri'.

Perkembangan terkini ini membuktikan bahawa krisis politik negeri Selangor akan mengambil masa lagi sebelum ia dapat diselesaikan sepenuhnya.

Selain itu, ia membuktikan bahawa sifat 'kebiadapan' terhadap istana dan kecenderungan 'menderhaka' titah sultan telah nyata sekali mewarnai landskap politik Selangor.

Soalnya apakah ini yang dikehendaki oleh rakyat Selangor?

Bagaimanakah semua ini boleh memanfaatkan dan memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat Selangor?

Pada 27 Ogos lalu, Sultan Selangor menitahkan ketiga-tiga parti dalam pakatan mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu (menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sebelum 3 September.

Tujuannya bagi memberi peluang kepada baginda melantik seseorang itu selepas menilai potensinya sepenuhnya - bukan hanya dari aspek mampu mendapatkan sokongan majoriti ADUN bahkan juga melihat calon itu dari aspek kemahiran, pengalaman, integriti dan kewibawaannya.

Munir menegaskan bahawa segala ciri ini amat penting bagi menjamin pentadbiran negeri dapat berjalan dengan baik dan lancar demi keharmonian rakyat negeri Selangor.

"Sultan Selangor berkeyakinan terdapat ramai calon dalam Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi seperti disebutkan tadi bagi menerajui kerajaan negeri Selangor," jelasnya.

Pada Jumaat, 5 September lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa parti itu tidak mahu bertindak serupa DAP dan PKR, sebaliknya tiga nama diserahkan kepada istana seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.

Hal ini kerana Pas 'tidak mahu ingkar titah sultan' sambil menegaskan bahawa Pas sentiasa menghormati prinsip Raja Berperlembagaan.

Ini bukan kali pertama Sultan Selangor murka kerana kebiadapan individu tertentu terhadap baginda.

Pada 15 Julai lalu, Sultan Selangor melahirkan kemurkaan baginda terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang sebelum itu (pada 17 Jun) telah mendesak agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak lagi diberi kuasa menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Menyifatkan Khalid sebagai bersikap biadab, Sultan Selangor menasihati ahli politik itu supaya belajar dan faham sejarah negeri ini dan peruntukan undang-undang yang berkaitan, terutama sekali Undang-undang Tubuh Kerajaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

"Kenyataan Khalid itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang peranan MAIS," titah baginda.

Krisis politik Selangor ini mendedahkan bahawa Pas tidak lagi mengambil posisi yang sama dengan DAP dan PKR.

Sementara kepimpinan DAP dan PKR masih sepakat mengatakan hanya Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang layak menjadi MB Selangor yang baharu, Presiden Pas secara lantang menyatakan bahawa keputusan parti itu menolak Wan Azizah sebagai MB Selangor bukanlah atas dasar jantinanya tetapi berdasarkan 'kelayakannya' menjadi pemimpin.

"Kalau dari awal lagi dia tidak ada kebolehan untuk jawab soalan di Parlimen, untuk soal di Parlimen, soal dalam Dewan Negeri, nak berdialog dengan lawan dalam Dewan Negeri pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin? Ini tak boleh," kata Hadi.

Menjelaskan kepada media kenapa Pas menghantar tiga nama kepada istana, Hadi menyatakan; "Nak suruh sultan pilih, hantar satu nama, nak pilih macam mana? Kemudian kita terima surat daripada istana… Semua parti hendaklah menghantar lebih daripada dua nama.

Sultan suruh hantar lebih daripada dua nama, bila suruh hantar lebih daripada dua nama, lebih daripada dua nama ini berapa? Tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan, 10, boleh hantar seberapa banyak."

Pada 7 September lalu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menyokong kenyataan Presiden Pas bahawa Wan Azizah tidak disokong oleh parti itu menjadi MB Selangor kerana 'masalah kelayakan'.

"Itulah penilaian dan pandangan Majlis Syura sebelum ini. Kalau Wan Azizah cukup kelayakan, sudah tentulah dari awal lagi Majlis Syura sokong tanpa sebarang masalah," kata Haron Din.

Kenyataan Hadi mengenai Wan Azizah ini telah diselar oleh Ketua Penerangan Wanita PKR, Azura Aziz yang mengatakan; "Siapa dia untuk mengatakan Wan Azizah tidak berkeupayaan?"

Turut kecewa dengan kenyataan Hadi itu ialah Angkatan Muda Keadilan (AMK). Mengikut ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad, kenyataan Hadi itu tidak mencerminkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat.

Selagi Sultan Selangor belum membuat keputusannya tentang identiti MB baharu, masa depan Wan Azizah akan terus menjadi teka-teki.

Andainya ditakdirkan Sultan Selangor memilih calon lain (bukan Wan Azizah), persoalan yang akan timbul ialah apa tindak balas DAP dan PKR nanti? Dari sudut perundangan, krisis politik Selangor akan memberi pengajaran (atau lembaran baru) tentang makna dan dimensi sebenar konsep Raja Berperlembagaan. Mohd. Shaharani Saibialah penganalisis undang-undang. Utusan/Rencana/20140909

Tags: undang-undang
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments