kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kualiti rumah: Berbaloikah dengan harga?

TIADA apa yang mampu diucapkan kecuali syukur tidak terhingga ke hadrat Allah SWT apabila Malaysia diumumkan berada dalam kedudukan ke-20 negara berdaya saing di dunia. Berita baik ini adalah hadiah buat rakyat Malaysia yang sedang menyambut Hari Kemerdekaan ke-57 dan Hari Malaysia ke-51.



Kedudukan ini mengatasi negara maju seperti Korea Selatan, Perancis, Austria dan Australia. Tahniah buat seluruh rakyat Malaysia.

Syabas juga buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi penguat kuasa berkaitan yang telah menggempur sindiket penyeludupan barangan yang secara sengaja mengelak cukai lebih daripada RM1 bilion. Modus operandi penyeludup-penyeludup sudah tentulah dengan 'menyuap' agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan hal pencukaian. Mereka disogok dengan lumayan. Akibatnya, hasil negara berbilion ringgit hilang begitu sahaja!

Hakikatnya, daya saing Malaysia akan semakin tinggi kalau gejala rasuah dapat dibanteras pada tahap paling minimum.

Tentu mustahil untuk menghapuskan ra­suah sepenuhnya. Menanganinya pada tahap paling minimum pun sudah dikira terbaik. Dengan cara ini, kecekapan perniagaan dan sektor awam dapat dipertingkatkan.

Kecekapan pula boleh meningkatkan produktiviti. Produktiviti yang tinggi akan meningkatkan pendapatan negara dan seterusnya memberi kesan ke atas pendapat­an rakyat Malaysia. Dalam kos sara hidup yang tinggi, pendapatan rakyat Malaysia wajib ditingkatkan.

Di mana-mana sahaja kos sara hidup rakyat semakin tinggi. Ini turut disumbangkan kenaikan harga rumah yang semakin mahal dan keterlaluan.

Namun, ketika rakyat resah dengan kenaikan harga rumah, ada pula pihak yang memohon agar Bank Negara Malaysia (BNM) menilai semula dasar untuk membendung kenaikan harga rumah yang diperkenalkan tahun lepas. Alasannya, dasar-dasar ini menyebabkan jualan hartanah lembap dalam pasaran Malaysia tatkala ini.

Usahlah dilayan permintaan sebegini. Semua mengetahui harga rumah meningkat keterlaluan melebihi kenaikan pendapatan rakyat. Jadi, kenapa pula perlu dinilai semula dasar-dasar untuk membendung kenaikan harga rumah?

Dasar-dasar ini dilaksanakan untuk kebaikan rakyat dan bukannya untuk segelintir mereka yang hanya tahu membuat keuntungan semata-mata. Kalau berlaku gelembung hartanah, siapa yang akan susah? Semua orang akan susah, lebih-lebih lagi majoriti orang bawahan berpendapatan sederhana dan rendah.

Pemain-pemain industri hartanah sudah lama mengaut keuntungan. Ada mereka kisah pembeli mengalami kesusahan?

Umum mengetahui, industri hartanah boleh buat wang. Pantang sahaja ada tanah meskipun sekangkang kera, habis dibuat taman perumahan. Dibangun secara besar-besaran. Ramai yang kaya-raya kerana terlibat dalam industri ini. Kalau tidak, masakan seramai 20,000 perunding hartanah haram wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan? Itu tidak termasuk mereka yang menjadi spekulator hartanah. Sama ada yang terlibat secara besar-besaran mahupun kecil-kecilan, masing-masing berlumba-lumba mahu mengaut keuntungan.

Industri hartanah memang amat menguntungkan. Kalau tidak, masakan syarikat-syarikat perumahan mencanang seluruh Malaysia yang syarikat mereka mencatat keuntungan berlipat kali ganda.

Yang rugi, rakyat kebanyakan apabila terpaksa membayar harga rumah yang terlalu mahal dek kerana pemain industri hartanah mahu mengaut keuntungan yang mencekik darah pembeli. Mereka tidak peduli pun pembeli rumah ditindas. Yang penting, kocek masing-masing penuh.

Dalam masa kita membincangkan isu panas ini yang cukup dekat dengan rakyat, pernahkah kita terfikir sejauhmana kualiti rumah yang terpaksa dibayar mahal oleh pembeli ini? Adakah harga mahal ini selari dengan kualiti rumah yang ditawarkan?

Nampak cantik tatkala dibeli tetapi selepas beberapa tahun sahaja, satu persatu kerosakan mula kelihatan. Yang menarik­nya, kerosakan ini berlaku selepas tempoh jaminan tamat. Siapa yang terkena kalau bukan pembeli? Pembeli tidak mampu berbuat apa-apa selepas tamat tempoh jaminan walhal tidaklah terlalu lama berbanding tarikh serahan kunci rumah. Tiada guna dilaporkan kepada tribunal yang berkenaan.

Jadi, apa yang boleh dibuat oleh pembeli kecuali menanggung rasa kecewa dan per­belanjaan pembaikan kerosakan yang tinggi.

Terdapat kes di kawasan perumahan yang mana pembeli terpaksa membayar bil air beratus-ratus ringgit walhal penghuni rumah berkenaan beberapa orang sahaja. Kerana apa? Semuanya gara-gara kerosakan paip air bawah tanah. Bukan sedikit wang untuk membaiki kerosakan ini.

Adakah ini salah pembeli rumah? Patutkah pembeli rumah menanggung caj bil air yang terlalu tinggi sedangkan kerosakan paip bukan berpunca daripada mereka?

Jadi, saya terfikir bagaimana kualiti bahan yang digunakan untuk membina rumah-rumah berkenaan? Atau pekerja-pekerja asing membina rumah dengan sambil lewa dan tidak menitikberatkan kualiti kerja? Itu belum menyentuh kerosakan yang melibatkan bahagian-bahagian lain seperti bumbung yang semasa hujan lebat air mengalir masuk ke dalam rumah.

Hendak dikatakan syarikat perumahan yang membina rumah berkenaan berskala kecil tidak juga. Ada yang disenaraikan di Bursa Malaysia bahkan membina rumah dan hartanah merata tempat. Ada juga yang mempunyai bank tanah yang cukup banyak untuk membina rumah.

Kalau kita kaji balik, kawasan perumahan yang dibina semasa era 1970-an dan 1980-an, jarang sekali berlaku kerosakan sebegini teruk. Kalau berlaku pun berpunca daripada bencana alam seperti banjir dan ribut. Cukup sukar didapati kerosakan disebabkan bahan binaan dan kerja-kerja pihak pemaju perumahan yang tidak berkualiti.

Itu bezanya kualiti rumah dahulu berbanding kini. Jurangnya bak langit dengan bumi. Pada masa ini, sudahlah harga rumah mahal, kualitinya pula begitu rendah.

Justeru, selain isu rumah mampu milik, kerajaan juga perlu memastikan kualiti rumah setimpal dengan harga yang dibayar oleh pembeli. Baharulah adil dan berbaloi kepada pembeli. Baharulah juga hak pembeli benar-benar terbela dan dilindungi. Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM). Utusan/Rencana/20140910

Tags: rumah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments