Paling kelakar kisah si pembawa mulut yang sempat mengumpat tentang orang memakai susuk dalam filem Pendekar Bujang Lapuk adegan Datuk Aziz Sattar yang menjerit dari telaga buta. Begitulah budaya masyarakat kita tidak kira tempat, kalau ada peluang hendak mengata mahupun menghasut di tepi tempat pembuangan sampah pun tidak kisah.
Sesungguhnya agama Islam menggariskan dosa memfitnah sama dengan dosa membunuh. Walaupun menghasut dianggap bukan fitnah tetapi lebih kepada 'kebebasan' meluahkan pandangan namun ia mampu menyebabkan manusia bergaduh malahan perang tercetus.
Zaman Kesultanan Melayu Melaka, fitnah dan adu domba menyebabkan Hang Tuah dituduh mempunyai hubungan dengan dayang istana. Hasil hasutan pembesar yang dengki kepada karisma laksamana perkasa itu Hang Tuah akhirnya dihukum bunuh. Namun Bendahara Tun Perak menyembunyikannya.
Kisah bersejarah ini kembali berulang pada zaman ini tetapi dilakonkan oleh manusia yang berbeza pula. Manusia yang suka menghasut rupanya masih ada bakanya kerana mereka kini memilih untuk menggunakan media sosial dan secara langsung menghasut masyarakat agar berpecah-belah dan menuntut sesuatu yang mereka tidak tahu hujung pangkal.
Apabila orang Melayu lupakan asal-usul mereka maka mereka betah membicarakan sesuatu yang sudah tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri. Semuanya kerana faktor gila kuasa dan mahu menjadikan kedudukan diri sebagai tiket untuk mengilang wang walaupun ia sudah pasti duit itu milik rakyat jelata.
Terbaharu ada yang mahu menuntut pelbagai perkara yang bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran sedia ada malahan mampu menyebabkan negara kucar-kacir dan berantakan.
Tuntutan mengeluarkan Sabah dari Malaysia sebagai contoh, jelas suatu unsur hasutan terhadap rakyat.
Berdasarkan sejarah, kemasukan Sabah sebagai sebahagian Malaysia bukan perkara yang selesai dua tiga hari, ia proses yang memakan masa bertahun di bawah Suruhanjaya Cobbold, yang diiktiraf oleh kuasa besar dunia.
Apa yang perlu difahami oleh si penghasut, Sabah turut dituntut oleh beberapa pihak termasuk Raja Kiram. Maka timbangkan akibat sebelum menyatakan sesuatu usul yang boleh menjadikan suasana yang tenang kembali berkocak.
Selain tuntutan tersebut, isu berhubung hak istimewa orang Melayu sering 'dilanggar' oleh pihak pembangkang.
Apabila dinilai kenyataan seperti isu kuota orang Melayu dalam biasiswa dan projek kerajaan juga menunjukkan pihak yang suka menghasut enggan mengerti dan memahami apa yang telah tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kalau ia tidak mahu dihormati, apa lagi kompas rujukan yang kita ada?
Tidak lama lagi Akta Keharmonian Nasional bakal dibentangkan dengan objektif memastikan negara kekal fokus ke arah menjadi negara maju yang harmoni.
Diharap para pemimpin kita di Dewan Rakyat, tidak kira dari pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang dapat memperhalusi erti hasutan yang boleh dimasukkan dalam akta tersebut.
Perkara yang akan menjadikan keamanan negara sebagai galang-gantinya perlu dielakkan.
Kepada pihak-pihak di luar sana yang suka melahirkan pandangan bersifat menghasut, bermuhasabah dirilah. Ingatlah setiap apa yang kita katakan akan memberi kesan kepada pihak lain.
Memang kita boleh menghantar status dan memuat naik pelbagai ayat yang dilihat hebat namun ia juga boleh mengundang salah faham.
Sebaik-baiknya hasutan yang menjurus kepada fitnah dikenakan hukuman berat kerana ia memberi kesan bukan sahaja kepada keharmonian dan kemakmuran tetapi mampu membawa kemusnahan.
Tidak ada maknanya kewujudan sebuah negara jika ianya kucar-kacir akibat hasutan dan sentimen permusuhan sesama rakyat. ABDUL RAZAK IDRIS Utusan/Rencana/20140910