kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tegas tangani soalan bocor!

Penulis ingin memulakan artikel ini dengan menzahirkan kekecewaan bukan sahaja pelajar, ibu bapa, keluarga dan masyarakat secara umumnya dengan apa yang berlaku kepada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada ketika ini.

Mudah untuk kita mengatakan ‘hikmah di sebalik apa yang berlaku’, tetapi kita juga harus sedar bahawa ini adalah memori pahit kepada semua calon UPSR. Ianya akan kekal di dalam ingatan mereka.



KELIHATAN beberapa pengawas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) duduk sesama mereka di dalam dewan peperiksaan Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah di Kuantan, Pahang, selepas kertas Sains dibatalkan oleh Kementerian Pendidikan kerana soalan bocor, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

Sewaktu anak sulung penulis berhadapan dengan UPSR pada 2012, sememangnya perkara biasa menerima tips dan soalan ramalan daripada banyak pihak. Namun begitu, bukanlah menjadi satu kewajipan untuk kita memaklumkan kepada calon kerana ia mungkin sahaja memeningkan.

Selalu penulis mengingatkan diri sendiri, jika mereka sudah belajar dan bersedia sepanjang tahun, tidak ada keperluan untuk kita menggunakan tips dan ramalan yang entah dari mana datangnya.

Tetapi apa yang berlaku kebelakangan ini, membuatkan kita berasa cukup khuatir dengan integriti sistem dan penilaian pendidikan kita sendiri.

Mereka yang berada di peringkat kepimpinan kementerian sewajarnya mengambil iktibar kepada insiden kebocoran yang acapkali berlaku ini. Jika UPSR (yang pada hakikatnya bukanlah penentu tempat mereka di institusi pengajian tinggi) pun berhadapan dengan kebocoran, apa lagi yang mampu kita harapkan dengan peperiksaan awam yang lain.

Di mana silapnya? Apakah sistem dan prosedur yang menjadi kelemahan? Apakah semuanya diletakkan kepada ‘ketamakan manusia’? Atau kita sendiri sudah menjadi kumpulan manusia yang ‘kiasu’ dan mahukan anak kita berjaya dengan penipuan?

Kita sebenarnya sedang berada di persimpangan cabaran peradaban dan integriti kita sebagai sebuah bangsa. Jika soalan UPSR pun sudah menjadi modal untuk sesetengah pihak membuat duit dan kekayaan, generasi apa yang sedang disediakan oleh sistem pendidikan kita?

Apa yang berlaku ini sepatutnya membuka mata pihak kementerian bahawa ada ‘transformasi dan perubahan’ besar yang perlu dilakukan segera. Rakyat mahu lihat wibawa sistem pendidikan dikembalikan.

Apakah mungkin struktur Lembaga Peperiksaan itu juga perlu dilihat dan dirombak sebaiknya.

Jauh sekali mahu membuat pertuduhan bahawa ini salah orang itu dan ini. Tetapi sesuatu mesti dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan segera.

Hanya sebagai perbandingan, Singapore Examinations and Assessment Board (SEAB) adalah sebuah badan yang berdiri sendiri dan bebas sepenuhnya daripada kementerian. Keanggotaan SEAB tidak terhad kepada tenaga kementerian sahaja, malah melibatkan pegawai National Security Coordination Secretariat (mungkin bersamaan dengan Majlis Keselamatan Negara) di tempat kita.

Benar, kementerian masih diwakili di dalam SEAB, namun ianya juga turut dianggotai oleh kalangan profesional, wakil industri dan pakar tertentu yang sama-sama memastikan segalanya dapat dikawal selia sebaik-baiknya. Pakar keselamatan juga menjadi anggota kepada SEAB.

Ya, mungkin juga ada suara, tidak boleh dibandingkan kes kita dan negara jiran. Mereka hanyalah sebuah negara yang kecil. Bukan saiz negara yang dibicarakan di sini, namun sikap untuk meletakkan ‘peperiksaan dan penilaian’ sebagai sebahagian asas ‘keselamatan negara’ itu adalah langkah yang betul.

Jika kita bersungguh-sungguh dengan pembangunan modal insan, komited kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan sebagainya, induk masalah yang seperti ini mesti diselesaikan segera. Kehebatan agenda pendidikan bukan setakat di atas kertas, tetapi juga kepada integriti kita sebagai pemikul amanah.

Kita boleh menyedapkan hati sendiri, bahawa ini adalah kes biasa dan terpencil, jarang berlaku dan tidak perlu terlalu emosional. Fikirlah semula, jika kita selama ini melahirkan kalangan pelajar yang ‘dibantu’ untuk cemerlang di dalam peperiksaan; apakah kita melahirkan modal insan yang sesuai dengan persaingan zaman mereka nanti?

Sikap ‘sudah terhantuk, baru nak terngadah’ dalam menguruskan integriti peperiksaan awam ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Perlu ada perubahan dan ianya mesti dilakukan segera.

Ambil contoh yang baik daripada negara lain. Jangan malu untuk belajar dan mengakui bahawa kita ada kelemahan yang perlu ditangani. Kos untuk melakukan peperiksaan semula bukannya kecil. Itu belum lagi dicampur dengan ‘kos emosi’ yang pastinya sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi pelajar dan tenaga guru yang terus teruji.

Jika perlu hukuman dan kerangka perundangan diperketatkan, lakukanlah sebelum kita terlewat menangani isu ini. Jangan biarkan individu yang penting diri, menyusahkan dan terus memberi imej buruk kepada sistem pendidikan kita.

Adakalanya, tindakan bukan setakat membawa individu berkenaan ke muka pengadilan. Fasa yang lebih penting adalah memastikan sistem, infrastruktur dan kerangka yang ada sememangnya sudah cukup kedap dengan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.

Mungkin, kalaupun ada ingatan buat diri sendiri dan rakan ibu bapa lain, jangan kita mengejar ‘A’ yang didorong dengan penipuan dan ketidakadilan. Wajar agaknya kita suntik semangat ‘bersaing’ kepada anak-anak kita, agar mereka dapat menjadi generasi yang lebih tahan lasak dan benar-benar teruji.

Insiden kebocoran soalan peperiksaan awam mesti kita tangani sebaik-baiknya. Tidak ada ruang untuk sistem pendidikan kita diperlekeh dengan sebegini teruk, hanya kerana tertekan untuk mendapatkan puji-pujian dan keputusan cemerlang yang sebenarnya ‘tidak tulen’ dan didokong penipuan.

Mulakan dengan menganggap sistem penilaian, pentaksiran dan peperiksaan kita berkait dengan keselamatan negara. Ya, mungkin bunyinya agak ekstrem, tetapi jika itulah jawapan kepada segala kekacauan yang berlaku ini, mengapa tidak? Khairuddin Mohd Zain ialah penganalisis isu-isu semasa. Utusan/Rencana/20140912

Tags: pentaksiran, peperiksaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments