kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Minda 'A' perlu diubah kepada minda ilmu - Pakar Psikiatri

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu mengubah pemikiran bahawa proses pembelajaran bukan semata-mata untuk mendapatkan gred 'A' tetapi adalah proses berterusan bagi menimba ilmu pengetahuan.

Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, berkata ukuran kejayaan pelajar tidak bergantung sepenuhnya dengan keputusan cemerlang sebaliknya mendapatkan ilmu kehidupan seperti kemahiran kepimpinan juga antara elemen penting yang diberikan keutamaan.

"Ini adalah satu cabaran besar pada masa ini memandangkan semua 'mindset' ibu bapa dan pelajar mengatakan pembelajaran hanya berorientasikan untuk mendapat gred 'A' saja dan dapat nombor satu dalam kelas.

"Ini seperti persaingan anak-anak dan ibu bapa sehinggakan 'harapan atau jangkaan' yang terlampau tinggi ini menarik perhatian pihak tertentu mengambil kesempatan membocorkan soalan peperiksaan," katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Beliau mengulas isu kebocoran kertas peperiksaan Sains 018, 028, 038 dan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang memaksa ia diadakan pada tarikh baharu iaitu 30 September.

Dr Muhammad Muhsin berkata, perkara itu dapat memberikan kesan kepada perkembangan sahsiah murid yang terbabit kerana dari segi aspek psikologi ia berkemungkinan boleh mentafsirkan ketidakjujuran dalam kalangan masyarakat.

"Murid-murid ini baru umur 12 tahun, masih kecil tidak tahu apa-apa. Apabila jadi macam ini membuatkan mereka pun keliru dengan keadaan kena ambil semula peperiksaan.

"Jadi di masa depan sekiranya keadaan ini tidak diperbetulkan sebaik mungkin kanak-kanak umur seperti ini akan lihat benda tidak baik dan ketikdakjujuran suatu perkara biasa saja yang tidak salah dari segi moral," katanya.

Katanya, dalam usaha menangani insiden soalan bocor, format penilaian UPSR kini yang berorientasikan kepada peperiksaan akhir mungkin perlu diubah kepada penilaian formatif atau penilaian secara berterusan.

Beliau menjelaskan dengan penilaian formatif itu, kemampuan dan daya intelektual pelajar boleh diuji menerusi 70 peratus kemahiran termasuk kokurikulum dan 30 peratus lagi peperiksaan akhir.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata guru dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang soalan ramalan menerusi laman sosial kerana ia mudah disalahtafsirkan.

"Dalam soal ini kita tidak salahkan guru sebab tidak tahu lagi siapa yang bertanggungjawab dalam hal kebocoran soalan peperiksaan ini cuma pihak kita nasihat guru-guru jangan gemar sangat sebarkan soalan ramalan.

"Dengan kemajuan ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) kini semuanya di hujung jari dan macam-macam boleh berlaku," katanya.

Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata insiden itu menimbulkan pelbagai masalah kepada ibu bapa yang mempunyai anak menduduki peperiksaan itu.

"Ia sangat mengganggu emosi anak-anak tambahan selepas selesainya UPSR ini sekolah akan bercuti selama seminggu, sudah tentu sukar untuk mereka fokus balik kepada pembelajaran," katanya.

Beliau berkata, jika masalah berkenaan tidak dipandang serius ia akan mengakibatkan pelajar tidak berdikari dalam pembelajaran mereka kerana hanya bergantung kepada menghafal jawapan soalan yang sudah bocor.

Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR di kawasan Serdang, Intan Rosazrina Mohd Nasir, berkata masalah itu meluluhkan hati anaknya yang sudah membuat persediaan dan bersemangat untuk menduduki peperiksaan itu.

"Bagi saya, perlakuan ini (membocorkan soalan) tidak membantu murid itu untuk cemerlang di kemudian hari," katanya.

Arese Nesi Rawe Shanggar, 12, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di daerah Klang pula berkata, sukar untuk menerima kenyataan perlu menduduki semula peperiksaan.

Katanya, dia akan mengulang kaji semula subjek yang akan diduduki nanti. - BERNAMA Berita Harian Semasa  SABTU, 13 SEPTEMBER 2014 @ 10:14 AM
Tags: pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments