Putrajaya: Beberapa ‘pengkhianat’ yang bertindak membocorkan kedua-dua kertas soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah dikenal pasti.
Perkara itu disahkan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh pada sidang media khas menjelaskan penangguhan ujian mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris di sini semalam.
Idris juga mengesahkan empat lokasi panas (hotspot) yang menjadi tempat bermulanya penyebaran kertas soalan bocor itu turut dikenal pasti namun, beliau enggan mengulas lanjut keempat-empat lokasi itu.
Menurutnya, buat masa ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara berkenaan.
“Saya juga tidak boleh kaitkan orang dalam terbabit dengan perkara itu sehingga siasatan disiapkan.
“Selain itu, kita (kementerian) juga sudah menghantar pegawai ke lokasi panas itu bagi mengesan individu terbabit dan kami akan pastikan pengkhianat itu akan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Katanya, kementerian juga tidak menerima sebarang laporan baru mengenai kebocoran kertas peperiksaan bagi mata pelajaran lain sebaliknya penangguhan peperiksaan hanya membabitkan dua mata pelajaran itu sahaja. Harian Metro Setempat 13 September 2014