Putrajaya: Jawatankuasa bebas yang akan dilantik Kementerian Pendidikan akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai kini sebelum ditambah baik dan ditingkatkan bagi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3); Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bertujuan mengelak kejadian sama berulang.
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau juga mengesahkan Lembaga Peperiksaan (LP) sudah mematuhi segala SOP ditetapkan dan ia bukan kerja senang kerana membabitkan banyak proses.
Beliau berkata, SOP itu bermula dari peringkat membina soalan sehingga penyediaan kertas soalan diikuti proses percetakan; pengkotakan; pengedaran dan pembukaan kertas soalan di pengambilan kertas soalan yang diiringi anggota polis.
“Tatacara SOP pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam dimuatkan dalam buku bertajuk Garis Panduan Prosedur Pengendalian Lembaga Peperiksaan setebal lebih 800 muka surat.
“Garis panduan dan SOP itu sentiasa ditambah baik malah, ia kali terakhir dikaji dan ditambah baik semula pada tahun lalu. Kami juga akan memperketatkan lagi SOP bagi memastikan tiada ruang langsung untuk pihak tidak bertanggungjawab membocorkan kertas soalan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Katanya, satu mesyuarat akan diadakan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam waktu terdekat bagi menentukan senarai anggota jawatankuasa bebas berkenaan.
Idris berkata, tugas dilakukan LP bukan buat kerja senang, malah LP sentiasa memastikan tiada kebocoran kerana kertas soalan diletakkan dalam dua sampul keselamatan yang memang sukar untuk dibuka sebelum dipindahkan ke dalam beg keselamatan dan ditempatkan di bilik kebal.
Harian Metro Setempat 13 September 2014