kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Syahid atau sia-sia

KONFLIK yang meletus di Syria sejak 2011 mengejutkan banyak pihak kerana terdapat ramai umat Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pergi berjuang dan terkorban di sana. Kebanyakan mereka ini menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan Jabhat al-Nusra yang merupakan serpihan daripada al-Qaeda.

Dianggarkan ribuan rakyat Eropah termasuk lebih 100 rakyat AS, 500 rakyat Britain dan beratus-ratus rakyat Perancis menyertai kumpulan militan berperang di Syria.

Mereka ini dikatakan pergi berperang di sana kerana ingin memerangi kerajaan Syiah Syria yang didakwa menzalimi golongan Sunni serta mahu mati syahid. Sebahagian besar daripada mereka ini pergi berperang tanpa pengetahuan keluarga dan penglibatan mereka dalam kumpulan militan hanya diketahui menerusi status dalam media sosial.



Haru ssani Zakaria

Pancarwarna minggu ini melihat kepada penglibatan rakyat Malaysia dan Eropah dalam konflik di negara bergolak itu serta status peperangan itu dari sudut agama.

Syahid atau mati katak?

SEHIGGA kini, status perjuangan umat Islam yang pergi berjuang menentang kerajaan Syria boleh dikatakan sebagai jihad dan kematian mereka yang terkorban dianggap syahid masih tidak jelas.

Walaupun peperangan tersebut dikatakan antara golongan Sunni dan Syiah, ramai menganggap ia sebenarnya perang saudara sesama umat Islam. Apatah lagi, kumpulan-kumpulan pejuang kini bukan hanya berperang dengan kerajaan Syria, malah sesama mereka sendiri.

Tindakan ganas mereka seperti memenggal leher musuh, menzalimi mayat dan merogol membuatkan ramai mempersoalkan sama ada mereka ini benar-benar berjihad. Apatah lagi, mereka bukan hanya bertindak ganas terhadap golongan Syiah, malah kepada golongan Sunni sendiri.

Lagipun, tidak ada satu kerajaan Islam pun mengisytiharkan peperangan dan membenarkan rakyatnya pergi berperang ke Syria atas nama jihad.

Tokoh-tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa umat Islam di negara ini perlu melihat jihad dalam pengertian lebih luas dan bukan hanya sekadar berperang mengangkat senjata.

Menurut mereka, jihad yang lebih utama ialah memenuhi tanggungjawab kepada ibu bapa serta negara terutamanya dalam meningkatkan ekonomi umat Islam yang masih jauh ketinggalan.

Mereka juga menyatakan bahawa umat Islam yang mahu pergi berjuang di Syria perlu mengesahkan sama ada berperang di negara berkenaan merupakan jihad serta perlu mendapat keizinan daripada ibu bapa dan pemerintah negara sebelum pergi ke sana.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria misalnya, berkata, berjihad di dalam negara adalah wajib diutamakan dan berdakwah di sini juga adalah jihad yang amat dituntut. Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut pula menyatakan, satu hadis Rasulullah SAW menyebut bahawa barang siapa menyertai perbalahan antara dua kumpulan Islam, kedua-dua pihak yang membunuh dan terbunuh akan masuk neraka.

Pejuang dari Malaysia

Abu Faz

SEORANG rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Abu Faz, 20-an, dipercayai rakyat Malaysia pertama yang terkorban dalam pertempuran di Syria.

Pemuda tersebut maut selepas terkena tembakan penembak tepat dalam satu pertempuran dengan tentera kerajaan Syria di Damsyik pada 11 Mei lalu.

Menurut sumber keselamatan, Abu Faz yang belum dikenal pasti identiti sebenarnya pergi berjuang di negara tersebut bersama-sama Akel Zainal yang merupakan bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada 1990-an sejak tahun lalu.

Mohamad Fadlan & Ustaz Lotfi



Mohd. Lot fi

SEORANG pemuda Malaysia, Mohamad Fadlan Shahidi, 21, atau lebih dikenali sebagai Abu Muhajir, terkorban selepas dibedil jet pejuang tentera Syria dalam satu pertempuran di wilayah Hama pada 9 September lalu.

Lima lagi rakyat Malaysia yang turut berjuang di Syria termasuk bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd. Lotfi Ariffin dan seorang yang dikenali sebagai Abu Afghan serta tiga lagi yang belum dikenal pasti cedera parah dalam pertempuran tersebut.

Mohd. Lotfi yang mendapat panggilan 'ustaz' dikatakan dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri. Mohd. Lotfi yang berasal dari Baling, Kedah, sebelum ini sering memuat naik status dan klip video tentang penglibatannya di Syria ke laman media sosial.

Beliau dipecat daripada Pas pada 11 Mei kerana terlibat dalam kegiatan militan di Syria.

Pejuang dari Barat

Deso Dogg

Bekas penyanyi rap Jerman, Deso Dogg atau nama sebenarnya Denis Mamadou Gerhard Cuspert, 39, maut dalam dua serangan berani mati oleh Jabhat al-Nusra di timur Syria pada 20 April lalu.

Dogg dikenali sebagai Abu Talha al-Almani di Syria. Almani dalam bahasa Arab bermaksud Jerman.

Semasa bergelar artis, Dogg menghasilkan tiga buah album iaitu Schwarzer Engel (2006), Geeni'z in collaboration with Jasha (2008) dan Alle Augen auf mich (2009). Selepas memeluk Islam, Dogg tidak lagi aktif dalam dunia hiburan dan menukar namanya kepada Abou Maleeq.

Selain Dogg, lebih 15 rakyat Jerman yang menyertai IS termasuk seorang remaja berusia 19 tahun, David G. yang dikenali sebagai Abu Dawud al-Almani, dilaporkan telah terkorban dalam konflik di Syria.

Andre poulin

ABU Muslim al-Canadi atau nama sebenarnya Andre Poulin, 24, merupakan seorang rakyat Kanada yang memeluk Islam. Dia menyertai IS berjuang di Syria pada 2012 dan dilaporkan terkorban selepas ditembak oleh penembak tepat pada 2013. Dia meninggalkan seorang isteri dan anak kecil di Syria.

Sebelum berjuang di Syrian, Poulin yang berasal dari Timmons, Ontario, bekerja sebagai penyelenggara bangunan dengan pendapatan yang agak baik di negaranya. Namun, Poulin dikatakan tidak gembira tinggal di negara bukan Islam.

Dalam satu dokumentari, Poulin menyatakan keluarganya gembira kerana dia menemui jalannya dan melakukan apa yang disukainya iaitu menolong orang tetapi pada masa sama mereka tidak memahami tujuan dia berada di Syria.

Ketika berusia 20 tahun, Poulin membentuk satu personaliti diri, menggelarkan dirinya sebagai `Uncle Umar' dan tanda tangannya dalam bahasa Arab bermaksud: "Syahid,

Insya-Allah".

Douglas McCain

Rakyat AS, Douglas McAuthur McCain, 33, dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di Syria pada 24 Ogos lalu. Dia dipercayai menyertai kumpulan IS dan terkorban selepas bertempur dengan kumpulan militan lain di negara berkenaan.

Menurut rakannya, McCain yang meminati muzik rap dan bola keranjang dipercayai pergi berjuang di Syria kerana ingin melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidupnya. Penglibatannya dalam kumpulan IS mengejutkan ramai ahli keluarga dan rakannya kerana dia merupakan seorang yang merendah diri dan penyayang. Tambahan, keluarganya menyangkakan McCain berada di Turki.

McCain dilahirkan di Illinois dan dibesarkan Minneapolis. Dia pernah disabitkan dengan kesalahan mencuri, memiliki dadah dan memandu selepas lesennya dibatalkan. McCain memeluk Islam pada 2004 selepas bergaul dengan komuniti Islam Somalia yang ramai menetap di Minneapolis.

Sebelum ini, dua lagi rakyat AS, Nicole Lynn Mansfield, 33, dan Moner Mohammad Abu-Salha, 22, terbunuh dalam konflik di Syria. Mansfield yang memeluk Islam terbunuh pada Mei 2013 ketika cuba menyerang tentera Syria manakala Moner memandu trak yang membawa bahan letupan ke dalam restoran yang dipenuhi tentera Syria sehingga membunuh 37 orang pada 25 Mei lalu.   Utusan/Bicara_Agama/20140914

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments