kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mao Tse-tung dan 'tahaluf siyasi' komunis

Saya hendak memulakan pengisahan tentang Lin Biao dengan 'memperkenalkan' istilah 'tahaluf siyasi'. Dalam bahasa Melayu, ia lebih kurang bermakna kerjasama atau kesepakatan politik atau dipendekkan 'pakatan politik'. Parti UMNO dahulu, apabila mula-mula menjalin 'kesepakatan politik' dengan parti MCA dan MIC, memberi nama 'Perikatan' dengan simbol perahu layar sebagai logo Parti Perikatan. Tahaluf siyasi bernama Perikatan ini kemudiannya bertukar nama menjadi Barisan Nasional dengan penyertaan lebih banyak parti politik lain. Sekarang kita lihat ada satu lagi bentuk tahaluf siyasi yang dibilang Pakatan Rakyat atau ringkasnya pakatan gabungan kerjasama politik tiga buah parti iaitu DAP, Pas dan PKR.

Saya hendak memberi sedikit pandangan tentang tahaluf siyasi ini. Mengikut Kamus Dewan, 'siasah' bermakna (1) pengetahuan yang bersangkutan dengan hal-hal kenegaraan, (pemerintahan dll), politik. (2) Kebijaksanaan (kebolehan, muslihat) untuk mencapai sesuatu maksud : (contoh ayat) sekarang ia sedang mengatur siasah hendak membalas sakit hatinya; siasah perang muslihat (tipu helah) peperangan.

Berpandukan makna itu, saya menyimpulkan, tahaluf siyasi atau kesepakatan politik tidak terhad kepada kerjasama antara beberapa buah parti politik. Ia boleh diertikan juga kesepakatan dalam kalangan pemimpin sesebuah parti yang berpuak-puak untuk mencapai tujuan masing-masing. Yang pertama itu bersifat kerjasama politik antara parti, yang kedua jenis intra-parti. Misalnya, dalam soal perlantikan Menteri Besar Selangor yang kita hadapi sekarang, sangat jelas ada banyak unsur yang saya sebutkan itu, terutama dalam kalangan tiga buah parti yang membentuk tahaluf siyasi bergelar Pakatan Rakyat itu.

Tadi, saya mencedok Kamus Dewan untuk memberi makna 'siasah' atau 'siyasi'. Tetapi, tidakkah dalam coretan sulung saya di Mingguan Malaysia pada 2 Mac 2014 saya ada berkata, perbilangan Inggeris menyebut, "Politics is the art of the impossible made possible?" Kalau anda masih ingat, tulisan itu adalah usaha saya untuk memahami kenapa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu, dalam satu ceramah berkata, dia menganggap gerombolan komunis yang membaham Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 itu sebenarnya adalah tindakan komunis untuk menghalau penjajah Inggeris demi kemerdekaan negara. Saya berkata, pendapat sebegitu adalah pendapat 'menentang arus.' Mat Sabu, sebagai orang politik, menepati erti 'politik' yang saya sebutkan dalam bahasa Inggeris itu. Berilah ia nama apa sekalipun - 'kebolehan', 'tipu helah', 'putar belit', 'putar alam' atau 'muslihat' - ia adalah seni kepintaran orang politik yang membolehkan mereka menzahirkan sesuatu yang impossible menjadi possible, seperti mana halnya dengan Mat Sabu yang boleh berkata komunis telah membakar Balai Bukit Kepong untuk menghalau Inggeris demi kemerdekaan.

Patut saya katakan juga, dalam kes sivil di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang antara Mat Sabu melawan Utusan Malaysia dan Ketua Pengarangnya, ada pihak-pihak melontarkan pendapat bahawa Mat Indera, yang ikut terlibat dalam serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong itu, telah mati syahid bila mati di tali gantung setelah didapati bersalah oleh mahkamah.

Penyekutuan

Beginilah hujah orang-orang ini: Mat Indera ialah orang agama kerana pendidikan agama Islamnya. Dia juga bekas guru agama di kampungya. Dia kemudian masuk politik memperjuangkan kepentingan Islam menerusi kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Itulah sebabnya dia masuk hutan, ujar mereka. Penyekutuan Mat Indera dengan komunis ini, menurut para 'pak lebai' itu, adalah suatu tahaluf siyasi yang diredai Allah SWT demi Islam, kata mereka. Saya tidak berhasrat mengkritik pendapat itu walaupun ia sangat bertentangan dengan fakta sebenar, jauh sekali mengecam mereka sebagai bebal. Tetapi, saya ingin bertanya: kenapakah istilah 'tahaluf siyasi' dikaitkan dengan perjuangan menegakkan negara Islam?

Katakanlah kita ini berada dalam sebuah negara Arab di Asia Barat - Mesir, Jordan, Iraq dan Libya, misalnya. Saya jangka, sesuatu pakatan kerjasama politik antara beberapa buah parti mungkin menggunakan istilah tahaluf siyasi - selain istilah-istilah lain dalam bahasa Arab yang memberi makna sama. Ini walaupun tiada satu pun parti politik yang tergabung dalam pakatan politik itu ingin menegakkan negara Islam (seperti parti Pas, misalnya). Ini di tengah-tengah bumi Arab, tempat lahirnya Islam. Kenapa pula orang di Malaysia semacam menganggap istilah tahaluf siyasi semestinya dikaitkan dengan pakatan untuk menegakkan negara Islam? Sampai Mat Indera pun, setelah menyekutukan dirinya dengan perjuangan komunis, patut dikatakan telah menjalin tahaluf siyasi dengan orang komunis?

Sekarang, saya kembali kepada kisah Lin Biao. Dia lahir pada 1907 di Huanggang provinsi Hubei dan menyertai Parti Komunis China (PKC) pada 1925. Dia ikut bersama Mao Tse-tung semasa Long March (1934-1936). Selepas negara komunis China ditubuhkan pada 1949, Lin Biao dilantik sebagai salah seorang daripada sepuluh marsyal dalam tentera China kerana pengalaman dan jasa besarnya semasa Parti Komunis berperang dengan Jepun dan Parti Kuomintang. Lin Biao berada di kedudukan ketiga terkanan dalam kalangan sepuluh marsyal itu selepas Zhu De dan Peng De-huai.

Boleh dikatakan Lin Biao seorang pemimpin parti yang sangat dipercayai oleh Mao. Semasa persidangan parti Komunis di Lushan pertengahan tahun 1959 di mana Mao Tse-tung telah dikritik hebat oleh Marsyal Peng De-huai kerana kegagalan dasar Great Leap Forward yang dilancarkannya, Lin Biao dilantik Mao menggantikan Peng sebagai Menteri Pertahanan China. Peng dipecat kerana kritikannya itu. Lin juga dilantik menjadi salah seorang Naib Perdana Menteri mengambil tempat Peng. Sebagai Menteri Pertahanan, Mao semakin tertarik dengan kebolehan Lin Biao, terutama selepas kejayaan China dalam Peperangan China-India pada tahun 1962.

Tidak seperti Peng De-huai, Lin Biao bijak mengenali hati perut dan pemikiran Mao. Sebaik-baik sahaja mengambil alih jawatan itu, Lin Biao segera membuat transformasi angkatan bersenjata China (Tentera Merah)mengikut landasan dan pertimbangan politik. Dibuangnya sistem menggunakan pangkat-pangkat dan dihapuskannya semua faedah istimewa atau sampingan berbentuk wang atau barang-barang keperluan yang sebelum itu dinikmati oleh pegawai-pegawai tentera - yakni daripada Jeneral setinggi-tingginya sampai ke bawah. Tiada sesiapa pun menyanggah Lin Biao kerana memikirkan itulah kemahuan Mao.

Indoktrinasi

Lin Biao juga menyingkirkan pegawai-pegawai tentera yang dianggap menyukai dasar Soviet. Dalam soal ini pun, Lin Biao sedia mengetahui pendirian Mao Tse-tung yang mahu memutuskan hubungan akrab China dengan Soviet menjelang penghujung tahun 1950-an. Tetapi, yang cukup disukai Mao ialah langkah Lin Biao memperkenalkan dasar setiap tentera kena bekerja secara separuh masa di kilang dan ladang. Juga, dasar Lin Biao mengindoktrinasi angkatan bersenjata dengan ideologi yang dinamakan Pemikiran Mao. Sistem indoktrinasi ini, bagi Lin, boleh menjamin penguasaan PKC ke atas angkatan bersenjata. Ke arah itu juga, Lin Biao mengarahkan komisar-komisar politik, yang diwujudkan dalam unit-unit angkatan bersenjata, diberi kuasa dan status lebih tinggi daripada kepimpinan tentera. Tentulah ini untuk menentukan arahan-arahan Lin, dalam kedudukannya sebagai pemimpin politik, dipatuhi tentera dengan ketat. Mao bukan saja sangat suka dengan langkah-langkah Lin itu, malah dia memberinya kedudukan yang lebih tinggi.

Lin Biao juga menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan untuk meningkatkan pemujaan diri Mao Tse-tung (Mao's cult of personality). Dalam kerancakannya mempromosi cult of personality Mao Tse-tung, Lin Biao melancarkan beberapa siri kempen propaganda ke atas rakyat China mengikut cerita yang direka-reka dalam Diari Lei Feng yang palsu itu. Satu siri yang sangat memberi kesan ialah kempen bertemakan "Belajar daripada Lei Feng" yang dibuat oleh Lin Biao menggunakan aset-aset tentera. Ramai rakyat China berkata, oleh sebab Lin Biao sendiri yang mempelopori kempen itu, mereka percaya Lin Biao disuruh Mao mereka-reka Lei Feng's Diary.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, Lin Biao bukan melukut di tepi gantang atau membuta tuli mengikut telunjuk Mao Tse-tung. Kata Jung-Halliday, "Lin lauded Mao to the skies in public, although he felt no true devotion to Mao and at (his) home (he) would often make disparaging and even disdainful remarks about him (Mao), some of which he entered in his diary. It was out of pure ambition that Lin stood by Mao and boosted him - the ambition to be Mao's no. 2 and successor … With the Great Purge, which had Liu (Shao-chi), as its primary target, Lin Biao could expect his advancement (halaman 524)."

Kata Jung-Halliday lagi, "Lin was a man, as his own wife observed in her diary, 'who specialises in hate, in contempt (friendship, children, father and brother - all mean nothing to him), in thinking the worst and basest of people, in selfish calculation … and in scheming and doing other people down' (halaman 525)."

Kata Jung-Halliday lagi, "Mao had Lin Biao brought to Hangzhou, and on the night of 1 December (1965) the two men had an ultra-secret talk. Mao told Lin about his plans for the Great Purge, and promised to make Lin his no. 2 and successor. He told Lin to make sure the army was fully under control - and be ready to assume a completely new role: to step in and take over the jobs of the huge number of Party officials Mao intended to purge (halaman 525)."

Dalam coretan minggu hadapan saya akan memulakan cerita Revolusi Kebudayaan atau Great Purge. Akan saya ceritakan juga bagaimana tahaluf-tahaluf siyasi dalam kalangan pemimpin peringkat tertinggi PKC itu saling mengesyaki dan bertindak terhadap satu sama lain untuk mendapat kedudukan yang lebih kukuh di dalam parti. Sedang Mao Tse-tung pula, dia 'seronok' melihat mereka berantakan sambil mengukuhkan kedudukannya dengan melaga-lagakan puak-puak yang saling bertahaluf siyasi itu.   Abdul Rahim Noor Utusan/Rencana/20140914

Tags: komunis, mao
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments