kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Analisis Mingguan: Bisik-Bisik Awang Selamat

Iktibar dan hikmah


Pada usia kanak-kanak, 473,000 murid tahun enam sudah dicemari dengan kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Rata-rata murid menanggung tekanan sementara ibu bapa dan guru resah serta kecewa. Seawal usia itu, generasi tersebut sudah menjadi mangsa kepada isu integriti peperiksaan. Apa yang berlaku, dua subjek bocor iaitu Sains dan Bahasa Inggeris dalam tempoh 48 jam, adalah sejarah hitam dalam pendidikan negara yang kini rancak menjalani tranformasi. Ia cukup memalukan dan seolah-olah kita tidak pernah belajar daripada sejarah. Kejadian soalan peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor sudah acap kali berlaku sejak zaman Awang bersekolah lagi. Kini berjangkit pula ke peringkat UPSR. Moga kali ini, semua pihak terutama Kementerian Pendidikan dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan mengambil iktibar. Sudah sampai masanya kita belajar daripada sistem badan peperiksaan negara luar yang lebih efisien, berwibawa dan tidak bocor. Belajarlah, jangan malu.

Sebaik-baik sahaja diketahui berlaku kebocoran peperiksaan UPSR, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan, tanpa berlengah memohon maaf kepada semua. Beliau mengambil tangunggjawab tersebut atas dasar akauntabiliti, walaupun ramai mengharapkan pegawai kanan lain lebih terdahulu berbuat demikian terutama Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak.

Inilah antara beban yang terpaksa dipikul oleh seorang menteri atas sebarang kecuaian dan kelemahan di peringkat bawahan. Tindakan Muhyiddin dengan cepat memohon maaf meredakan sedikit sebanyak ketegangan dan tekanan. Bukan itu sahaja, beliau memperlihatkan ketegasan dan mencari jalan keluar agar kejadian tersebut tidak berulang pada masa depan.

Memandangkan isu ini mempunyai nilai besar dari segi kepentingan awam, diharap siasatan dapat diselesaikan segera. Apa pun pada tahap ini, MPM mesti bertanggungjawab. Tindakan menggantung tugas Dr. Nai'mah dan Timbalan Pengarah Operasi, Dr. Wan Illias Wan Salleh adalah sangat tepat bagi memberi mesej yang jelas kepada semua.

Awang juga tidak faham mengapa tiada set soalan ganti disediakan oleh MPM sebagai pelan kontigensi. Akibatnya, ia membawa implikasi besar daripada soal kos, tenaga guru bahkan soal keyakinan terhadap MPM dan kementerian. Pada tahap sekarang apa yang perlu diberi perhatian besar ialah menyuntik semula semangat dan motivasi kepada murid-murid yang terpaksa mengambil semula peperiksaan dua subjek tersebut pada 30 September. Apa yang terjadi ini mungkin ada hikmahnya. Semua pihak harus bertenang dan lihatlah ke hadapan.

Derhaka

Jika Penasihat PKR, Anwar Ibrahim mahu menjadikan isu calon menteri besar baharu sebagai eksperimen untuk menguji sokongan rakyat ke atas Sultan Selangor, beliau sudah dapat rumusannya. Rakyat negeri itu terutama di akar umbi teguh bersama baginda.

Jika Anwar mahu menguji pula sejauh mana ketegasan Sultan Sharafuddin Idris Shah, beliau telah faham mesejnya. Biarpun ditekan dan diasak oleh PKR dan DAP dalam isu tersebut, baginda tidak goyah. Sekali lagi Sultan Selangor tampil menzahirkan rasa duka cita terhadap kedua-dua parti itu. Malah tindakan PKR dan DAP itu, titah baginda menggambarkan kebiadapan terhadap institusi raja dan suatu perbuatan derhaka. Sudah lebih tiga minggu isu calon menteri besar masih belum dapat diselesaikan kerana Anwar tetap mencalonkan satu nama sahaja iaitu isterinya, Wan Azizah Wan Ismail. Walaupun pelbagai pihak termasuk pemimpin Pas menyifatkan Wan Azizah tidak berkebolehan selain pandangan umum bahawa beliau sekadar boneka Anwar, namun Penasihat PKR itu bermati-matian mahukan isterinya. Boleh diberi jolokan Raja Nepotisme, berbeza daripada Raja Gelek macam M. Daud Kilau.

Tersentak dengan titah Sultan Selangor yang menyifatkan PKR dan DAP derhaka, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memohon ampun sambil menyatakan kesetiaan. Melihat Guan Eng ke hadapan menjaga sensitiviti pada situasi tersebut, barulah Anwar menyusul memohon ampun, itu pun nampak bersyarat. Tidak wajar bagi beliau menggunakan istilah SEANDAINYA bagi memohon ampun ke atas baginda. Awang lihat ia masih dalam lingkungan kebiadapan dan seolah-olah mahu mengajar Sultan Selangor tentang Undang-Undang Tubuh Negeri. Sedangkan Sultan mempunyai kuasa untuk mendapatkan lebih daripada satu nama calon sebagaimana menjadi amalan sejak dahulu lagi dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan negeri. Perbuatan tersebut boleh ditafsir sebagai membuka lebih luas pintu penderhakaan selain mahu mencorakkan pandangan rakyat agar mempersoalkan kuasa raja.

Semut kecil

Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad telah menulis surat kepada Awang sebagai respons kepada tulisan dalam ruangan ini dua minggu lalu. Beliau telah memberikan perspektifnya mengapa bertindak menegur Perdana Menteri, Najib Tun Razak secara terbuka.

Sebahagian hujah telah biasa dibaca menerusi laman sosial dan blog beliau.

Awang tidak berhajat untuk menyiarkan surat Dr. Mahathir itu kerana menganggap isu tersebut sudah reda. Lebih-lebih lagi ramai yang 'sejuk' melihat Najib dan Mahathir berjabat tangan pada upacara sambutan Hari Merdeka sambil berharap agar beliau terus memberikan sokongan kepada Perdana Menteri. Apa pun, Awang berterima kasih atas surat tersebut dan menghormati pandangan Dr. Mahathir. Juga menerima dengan baik apa sahaja teguran terhadap Awang, yang umpama semut kecil di tengah-tengah dua ekor gajah.

Boleh pun...

Ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap pendekatan baharu pejabat Peguam Negara yang lebih agresif menangani kenyataan-kenyataan bersifat hasutan dan penghinaan di laman sosial. Awang pun bersemangat. Ternyata ketegasan dan kepantasan bertindak seperti budaya penguatkuasaan di Singapura, boleh dilaksanakan di negara ini asalkan ada kemahuan yang tinggi. Paling menarik perhatian ialah kes penyelia tapak binaan, Chow Mun Fai, 37, yang dijatuhi hukuman penjara maksimum satu tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Beliau dituduh menggunakan aplikasi Facebook untuk menghina Ramadan dan Aidilfitri dengan niat menyakitkan hati orang Islam.

Hukuman itu cukup setimpal dengan perbuatannya. Seperti peringatan Hakim Azman Mustapha, ia bukan sahaja menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga peringatan kepada orang ramai supaya tidak berselindung di sebalik kemudahan Internet untuk menyiarkan kata-kata jelik yang mencetuskan kemarahan dan meruntuhkan keharmonian negara. Turut menjadi tumpuan ialah pendakwaan ke atas penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin, 32, atas tuduhan menerbitkan kenyataan menghasut bagi menghina Sultan Selangor, baru-baru ini. Kedua-dua tindakan tersebut memberi mesej jelas yang Awang lihat dapat membantu menangani ancaman ekstremisme melalui laman sosial. Cuma harapan Awang, ia tidak hangat-hangat tahi ayam, sekadar bermusim atau hanya menanti majoriti rakyat bangkit bersuara.

Tiada perubahan

Harapan orang ramai untuk melihat perubahan pucuk pimpinan dalam Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak kesampaian apabila Ahmad Ismail mengekalkan jawatan Presiden yang disandang lebih 12 tahun. Keputusan pemilihan PSM itu disambut muram oleh para peminat sukan sepaktakraw termasuk ramai ikon sukan itu yang mahukan pembaharuan. Semua orang tahu, prestasi sepaktakraw negara jatuh dan terus jatuh sehingga menjadi pasukan belasahan negara yang bukan dalam lingkungan tradisi sukan itu.

Setakat ini, tiada tanda-tanda pencapaian skuad negara akan melonjak malah makin buruk dalam setiap temasya yang disertainya. Namun Awang akur dan hormati keputusan pemilihan semalam. Harapan rakyat dan politik persatuan sukan, adalah dua perkara berbeza. Semoga Ahmad akan mengubah nasib sukan sepaktakraw negara sepenggal lagi (2014-2017), yang reaksi awal - ramai senyum sinikal. Tafsirkanlah sendiri.

Tahniah pengantin

Awang ingin mengucapkan tahniah kepada seorang sahabat, Azhar Abdul Malek yang melangsungkan pernikahannya bersama wanita pilihan, Mek Nik Taib di ibu negara, semalam. Selamat pengantin baharu. Inilah perkahwinan pertama Azhar, 50 ketika hampir semua rakannya sudah berumah tangga malah ada yang telah bercucu.

Yang membuatkan Awang teruja untuk menzahirkan rasa syukur dalam ruangan ini bukanlah semata-mata kerana statusnya yang begitu lama membujang tetapi lebih daripada itu.

Azhar dikenali dalam kalangan rakan dan jiran tetangga sebagai seorang anak yang memuliakan ibunya. Dia sanggup berhenti kerja di bank semata-mata mahu menjaga sepenuh masa ibunya yang sudah lama lumpuh dan terlantar uzur.

Soal mencari teman hidup sudah menjadi perkiraan terkemudian. Masa, wang dan kudratnya hanya untuk ibu. Azhar tidak pernah merungut bahkan tidak menganggap ia suatu pengorbanan, sekadar menginsafi itu tanggungjawab seorang anak. Akhirnya, jodoh Azhar tiba jua, biarpun lewat. Alhamdulillah. Sebaik-baik sahaja upacara akad nikah selesai, ada teman yang hadir kelihatan bergenang air mata - hiba dan syahdu buat insan yang benar-benar telah berbakti kepada ibunya.   Utusan/Rencana/20140914

Tags: politik, upsr
Subscribe

  • Semua akan hilang kerana politik dan berpolitik

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments