kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Obses gred 'A', ranking dan integriti

ISU berkenaan soalan Sains dan Bahasa Inggeris dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bocor menjadi bualan hangat pada masa ini. Biarkanlah pihak yang berwajib menjalankan tugas mereka untuk menyiasat siapakah dalang di sebalik kejadian ini.

Namun setiap isu yang berlaku pasti ada hikmah dan kita perlu mengambil ibrah daripada apa yang berlaku sebagai sempadan agar perkara yang sama tidak berulang.

Sejak dari bangku sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti, gred A merupakan idaman dan matlamat setiap individu yang bergelar pelajar. Sebahagian besar ibu bapa juga sanggup berbelanja besar untuk menghantar anak ke pusat tuisyen bagi memastikan anak mereka mendapat gred A bagi semua mata pelajaran kerana hanya dengan 5A akan menjamin tempat mereka untuk ke sekolah berasrama penuh.

Dalam banyak peperiksaan, UPSR dianggap peperiksaan 'hidup atau mati' bagi sesetengah daripada masyarakat kita.



CALON UPSR perlu kembali ke bilik peperiksaan untuk menjawab kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini. - Gambar hiasan.

Itulah sistem kita yang ada pada hari ini, seandainya seseorang pelajar itu cemerlang sepanjang tahun sehingga peperiksaan percubaan tetapi jika dalam UPSR dia tidak mendapat kesemua A maka pelajar tersebut tidak boleh memohon untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

Oleh sebab itulah 'memaksa' semua pihak terlalu obses untuk mendapatkan gred A bagi setiap mata pelajaran yang diambil dan bukannya kepada pencapaian holistik yang benar-benar membina individu yang kamil secara keseluruhannya.

Pihak sekolah termasuk guru-guru dan pentadbiran akan merasa bangga jika ramai muridnya mendapat 5A. Malah, ranking dan prestasi akan dinilai berdasarkan gred yang diperolehi oleh murid.

Apabila keputusan diumumkan semua mata tertumpu untuk mengetahui sekolah mana yang mendapat tempat terbaik di Malaysia, sekolah mana yang terbaik dalam negeri dan sebagainya. Sekolah yang mendapat tempat yang kurang baik akan merasa rendah diri.

Oleh kerana sistem atau proses yang ada begitu menjulang ranking dan prestasi berdasarkan keputusan gred maka pihak yang berkenaan akan terlalu obses untuk memastikan murid-murid mereka mendapat gred A.

Dalam keghairahan kita mengejar gred A, ranking dan prestasi, kita kadang-kadang terlupa soal integriti dan nilai kejujuran serta nilai-nilai murni yang perlu kita tanamkan dalam setiap diri anak-anak.

Tidak perlu kita menuding jari kepada mana-mana pihak mencari siapa yang harus dipersalahkan? Ibu bapa juga kadang-kadang alpa dalam mencorak masa depan anak-anak sehinggakan kita sanggup mencari soalan ramalan, 'soalan bocor' dan sebagainya sehingga terlupa apalah ertinya 5A kalau sekadar anak-anak menghafal, membuat latih tubi soalan ramalan dan akibatnya ada sesetengah pelajar tidak boleh mengekalkan prestasi mereka apabila melangkah ke peringkat menengah.

Sistem yang terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata ternyata akan 'membunuh' kreativiti dan minda anak-anak kita kerana fikiran mereka diracuni dengan hanya fokus kepada peperiksaan dan gred A semata-mata.

Pihak sekolah juga kadang kala alpa dalam menjaga ranking dan prestasi sehingga kita sanggup melakukan apa sahaja, tetapi yang menjadi mangsa ialah mereka yang betul-betul menumpukan kepada peperiksaan tanpa ambil peduli soalan ramalan, bocor dan sebagainya. Dek kerana seekor atau dua kerbau membawa lumpur habis terpalit kesemuanya.

Integriti dan kejujuran sangat penting ditanam dalam diri kita terutamanya anak-anak. Generasi anak-anak ini merupakan generasi pelapis yang akan menerajui negara suatu hari nanti.

Tertipu

Jangan kita dibutakan dengan sistem yang mementingkan gred dan ranking sehingga terlupa soal integriti yang lebih penting daripada segalanya. Bayangkan jika pelajar ini berjaya dengan soalan bocor dan seterusnya suatu hari nanti mendapat pekerjaan hasil daripada soalan bocor, rezeki yang tidak berkat itu bukan sahaja dimakan oleh mereka tetapi seluruh keluarga mereka. Siapa yang akan bertanggungjawab dan menjawab di akhirat kelak?

Apa yang penting sekarang kita semua terutamanya guru-guru, guru-guru kaunseling, ibu bapa dan masyarakat harus menenangkan seramai 473,175 orang calon UPSR 2014. Pastinya ada sebahagian daripada mereka yang tertekan, rasa kecewa, rasa tertipu dan sebagainya. Bantu mereka untuk menduduki peperiksaan semula untuk subjek Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September nanti dengan tenang.

Sudah sampai masanya sistem kemasukan ke sekolah berasrama penuh perlu diubah yang bukan sahaja dinilai berdasarkan gred tetapi gred hanyalah sebagai salah satu syarat. Perlu juga dinilai keputusan percubaan murid, laporan dan cadangan daripada pihak sekolah serta satu ujian saringan khas. Ini untuk mengelakkan pelajar yang tidak berkebolehan semasa peperiksaan disebabkan perkara tertentu, tercicir sedangkan mereka sebenarnya cemerlang.

Kita semua perlu ingat, gagal UPSR bukan bererti dunia sudah kiamat. Belum ada sejarah murid yang mendapat 5A terus menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO), terus menjadi doktor, peguam, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Sebaliknya ada yang tidak cemerlang semasa UPSR tetapi bangkit daripada kegagalan dan akhirnya mereka berjaya di peringkat universiti.

Perjalanan hidup anak-anak kita masih jauh, jangan kita terlalu jumud dan dibutakan oleh sistem yang kita cipta. Berlapang dadalah dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT walaupun anak-anak kita tidak mendapat keputusan cemerlang. Bersamalah kita menegakkan dan menanamkan sifat integriti kerana nilai kejujuran dan integriti ini telah lama dibocorkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 27 yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan rasulnya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui."

Junjunglah tugas yang diberikan sebagai satu amanah dengan penuh integriti kerana integriti bukan satu opsyen tetapi wajib diamalkan dalam memikul amanah Allah SWT yang diberikan. Kegagalan mengamalkan integriti mengakibatkan pelbagai masalah timbul dan berlakulah apa yang terjadi pada hari ini. Jangan disebabkan nilai setitik, habis rosak susu sebelanga. Jangan sampai matlamat menghalalkan cara. Dr. Mohammad Ismail  ialah Prof. Madya dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Utusan/Rencana/20140914

Tags: integriti, mentaliti, ranking, upsr
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments