Tindakan khianat pembocor kertas soalan ini tentunya satu kesalahan di sisi undang-undang dan di bawah Akta Rahsia Rasmi jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya.
Begitu juga dengan tindakan sesiapa juga sama ada pentadbir sekolah, guru atau ibu bapa menyebarkan dan menggunakan kertas soalan bocor itu untuk 'membantu' calon - juga adalah satu kesalahan. Malah dosa kesalahan itu lebih besar kerana bersubahat dan mencambah biak budaya menggunakan jalan pintas yang salah dari segi undang-undang dan moral untuk mencapai kejayaan.
Amat malang apabila terdapat segelintir pentadbir sekolah dan guru, tanpa rasa bersalah menggunakan kertas soalan bocor ini untuk meramaikan bilangan murid yang mendapat semua A dalam peperiksaan. Matlamatnya untuk melonjakkan prestasi dan seterusnya menerima status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) manakala bagi guru pula untuk memenuhi KPI peribadi agar mendapat kenaikan pangkat.
Bilangan mereka yang terlibat tidak ramai tetapi cukup untuk merosakkan reputasi dan integriti profesion perguruan. Mereka yang terbabit ini sama dengan penjawat awam lain yang terlibat dengan salah laku disiplin. Perlu diambil tindakan tegas mengikut peraturan yang ditetapkan.
Untuk mengenal pasti tindakan bejat ini tidak sukar iaitu melalui perbandingan Gred Purata Sekolah (GPS) antara peperiksaan percubaan terakhir yang diadakan di peringkat sekolah dan peperiksaan sebenar. GPS adalah nilai pencapaian gred secara keseluruhan yang melibatkan semua mata pelajaran yang diduduki oleh semua murid dalam sesuatu peperiksaan. Penentuan GPS dibuat melalui satu rumus khas. Semakin kecil nilainya semakin bagus prestasi sekolah secara keseluruhan.
Melalui perbandingan itu, dalam keadaan yang normal, perubahan sama ada peningkatan atau pengurangan dalam nilai GPS adalah sangat kecil atau minimum. Hal ini kerana selang masa antara peperiksaan percubaan dan yang sebenar adalah agak singkat justeru tidak mungkin keajaiban yang besar berlaku dalam sekelip mata melainkan ada udang di sebalik batu. Lebih mencurigakan jika terdapat peningkatan yang luar biasa terutama melibatkan sekolah yang prestasinya sentiasa kurang memberangsangkan dan lonjakan saujana itu hanya berlaku pada tahun itu sahaja. Pencapaian tidak konsisten ini membuktikan bahawa segala program yang didakwa berkesan dalam melonjakkan prestasi murid hanya omong kosong.
Kementerian Pendidikan perlu membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya, bukan terus memberi anugerah sekolah kluster kecemerlangan apatah lagi SBT.
Pemberian insentif ini amat digalakkan namun biarlah penerimanya dinilai melalui persaingan secara adil dan bukan dengan cara tidak beretika. Hakikatnya, persaingan untuk menjadi yang terbaik dengan cara sihat adalah tidak salah malah digalakkan sama ada melibatkan sekolah, dalam kalangan guru mahupun sesama ibu bapa. Bagaimanapun, ada sesetengah ibu bapa yang tidak mahu kalah dalam pencapaian akademik anak-anak mereka terutama apabila dibandingkan dengan anak jiran, anak rakan sepejabat dan anak saudara yang sebaya.
Maka, banyak ibu bapa yang menghantar anak ke pusat tuisyen, memanggil guru tuisyen ke rumah, menyediakan bahan pembelajaran tambahan dan melanggan sistem pembelajaran dalam talian (online). Ironinya, ada segelintir ibu bapa yang sanggup berbelanja besar untuk pendidikan anak ini 'tumpas' dengan kertas soalan bocor. Tergamak mereka memberikan soalan bocor yang diterima daripada aplikasi WhatsApp kepada anak masing-masing semata-mata mahu dapat A.
Dengan semua A ini, senang masuk asrama penuh dan paling penting tidak malu dengan kawan dan jiran walaupun diperoleh dengan cara yang memalukan.
Sikap ketam mengajar anak berjalan betul ini sudah lama membarah dan kesannya boleh kita lihat bukan sahaja dalam bidang akademik malah menyeluruh meliputi aspek kehidupan sosial dan ekonomi.
Dalam bidang pendidikan, akibat sikap ingin cepat berjaya melalui saluran salah ini terbukti dengan berleluasanya isu pembelian ijazah palsu dari institusi pengajian tinggi yang tidak wujud sama ada di dalam mahupun luar negara.
Isu pembelian ijazah palsu dari peringkat sarjana muda, sarjana hingga doktor falsafah ini melibatkan semua pihak termasuk orang kenamaan yang mempunyai gelaran. Begitulah hapraknya natijah apabila tekanan untuk cemerlang tidak dikawal dengan iman.
Sikap yang kita semai kepada generasi muda dengan memberi kertas soalan bocor sebagai cara mudah mendapat A dalam peperiksaan.
Bukan itu sahaja, sikap mahu berjaya dengan pantas ini juga telah menjebakkan ramai warga kita sebagai mangsa keldai dadah dan cinta siber. Gejala sosial ini bukan sahaja melibatkan kerugian wang ringgit tetapi kehilangan modal insan serta tenaga kerja produktif kepada negara.
Oleh itu, sementara pihak berwajib mencari dalang kepada kes kertas soalan bocor ini, kita perlu muhasabah diri sendiri untuk tidak terjebak kepada penyebaran amalan dan budaya mahu berjaya tanpa berusaha.
Jika kita telah berusaha, yakin dan tawakal kepada-Nya. Usah kita menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada sikap memperoleh kecemerlangan secara tidak beretika. AZMY MOHAMED pendidikan@utusan.com.my ialah Penolong Pengurus Unit Pendidikan Utusan Malaysia. Utusan/Rencana/20140915