kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sikap tak jujur susahkan semua pihak

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mencatat sejarah hitam dunia pendidikan apabila berlaku kebocoran dalam dua subjek diambil pelajar.

Soalan bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sains dikesan bocor selepas hari kedua pelajar menduduki UPSR sehingga memberi impak emosi dan mental kepada 472,853 calon UPSR seluruh negara.


Kebocoran itu juga memaksa Kementerian Pendidikan (KP) membuat keputusan supaya calon UPSR menduduki semula kedua-dua subjek itu pada 30 Sep­tember ini.

Insiden ini mengundang persoalan, adakah ia berlaku kerana kurangnya integriti dalam kalangan mereka yang diberi tanggungjawab, perbuatan sabotaj atau ada pihak mahu mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) tanpa memikirkan perasaan orang lain?




KEBOCORAN soalan berlaku mungkin didasari faktor keinginan tinggi pihak tertentu untuk memperoleh keputusan cemerlang seperti sasaran. - Gambar hiasan

Bagaimana pula calon UPSR yang menjadi mangsa keadaan?

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, kebocoran soalan UPSR tidak akan berlaku jika pihak yang diberi amanah menjalankan tugasan dengan jujur.

Beliau berkata, kebocoran itu bukan saja boleh dipersoalkan masyarakat serta meletakkan tanggapan negatif kepada kementerian terbabit, malah mengganggu emosi calon yang bertung­kus-lumus membuat persediaan intensif sejak beberapa bulan lalu.

“Dalam sesebuah organisasi, integriti mereka yang dipertanggungjawabkan adalah salah satu aspek terpenting bagi memastikan setiap amanah digalas dengan baik.

“Kebocoran soalan UPSR atau peperiksaan utama lain yang berlaku sebelum ini tidak seharusnya berlaku jika asas amanah itu dipegang dengan rapi.

“Lebih buruk ia memberi kesan buruk kepada calon yang sudah bersedia menduduki peperiksaan itu,” katanya.

Katanya, calon UPSR lebih terkesan kerana mereka bukan saja terpaksa me­ngulang semula peperiksaan, malah perlu membuat persiapan semula dari segi mental dan fizikal selain mengulang kaji pelajaran.

“Bayangkan, pada usia 12 tahun, mereka menghadapi tekanan begitu hebat hanya disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

“Apa salah calon ini? Mereka hanya mahu menduduki peperiksaan dan rasa ‘merdeka’ selepas itu.

“Impak negatif juga terpaksa ditanggung ibu bapa, guru dan sekolah,” katanya.

UPSR diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang dilalui pelajar tahun lima sebelum ini.

Menurutnya, UPSR adalah bentuk penilaian yang dianggap ‘high-stake testing’ iaitu keputusan UPSR akan dijadikan asas kepada pembuatan keputusan penting dalam pendidikan.

“Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil langkah ketat bagi memastikan keselamatan dokumen peperiksaan UPSR, bermula daripada pembinaan soalan, cetakan dan edaran.

“Setiap individu terbabit perlu menandatangani surat aku janji kerahsiaan.

“Manakala dari sudut pentaksiran, kita tidak boleh nafikan maklumat pentaksiran mempunyai kesan yang besar ke atas polisi, amalan serta peluang pendidikan pada masa depan.

IBU bapa perlu memberi sokongan kepada anak agar tidak terus tertekan.



Namun hakikatnya IBU bapa  jugalah yang memberi tekanan kepada anak untuk mendapatkan semua A - huhuhuhuu - Gambar hiasan

“Kesan ini menjadikan mereka yang terbabit berusaha mendapatkan keputusan terbaik semata-mata memastikan peluang lebih luas dalam pendidikan hing­ga wujud konspirasi dalam kalangan pihak tertentu untuk meningkatkan skor pelajar,” katanya.

Beliau mengakui keupayaan teknologi media sosial turut menjadi faktor memudahkan pihak terbabit me­nyebarkan maklumat secara meluas dan pantas.

“Bagi pelajar, ia akan menjejaskan persediaan menghadapi peperiksaan terutama aspek mental kerana mereka sudah cukup bersedia mengambil peperiksaan pada tarikh tertentu.

“Ibu bapa dan masyarakat pula akan menganggap isu ini bukti pihak yang diberi tanggung jawab tidak cekap menjalankan tugas. Ini membabitkan intergriti Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa memastikan perkara itu tidak berulang kerana jika masih berlaku, kepercayaan masyarakat terhadap penilaian nasional akan terjejas lebih teruk.

Malah, kemungkinan wujud pihak tertentu dalam masyarakat akan beralih kepada bentuk penilaian lain bagi mentaksir pencapaian dan kebolehan anak mereka.

“Jika ini berlaku, kita tidak akan mendapat satu maklumat menyeluruh mengenai prestasi pelajar di peringkat pendidikan rendah yang boleh dijadikan kayu ukur menentukan prestasi pendidikan rendah negara.

“Ini satu kerugian hanya kerana kurangnya integriti, sikap bertanggung­jawab dan tidak amanah pihak tertentu.

“Mangsa bukan saja pelajar malah keseluruhan sistem pendidikan yang diba­ngunkan dengan peranca­ngan jangka panjang,” ­katanya.

Ditanya sama ada ia turut berlaku di negara lain, beliau tidak menafikannya, namun pada skala cukup kecil atau didasari sebab tertentu.

Situasi ini, katanya, berlaku disebabkan tekanan tinggi untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik.

“Jadi akan berlaku konspirasi untuk meningkatkan skor pelajar (score-boosting conspiracy) dalam kalangan pihak tertentu yang terbabit secara langsung atau yang mempunyai kepentingan dengan penilaian UPSR.

“Konspirasi ini mungkin mendorong berlakunya pecah amanah, ketidakjujuran dan kebocoran soalan peperiksaan.

“Disebabkan kerakusan ini, calon pelajar menjadi mangsa keadaan,” katanya.

PENGULANGAN semula peperiksaan dikhuatiri memberi kesan psikologi kepada pelajar yang sudah bersedia menghadapi peperiksaan sebelumnya.



Sepatutnya biarlah realiti untuk sebenarnya realiti . - Gambar hiasan

Walaupun, isu kebocoran soalan peperiksaan pering­kat nasional turut dihadapi negara luar, ia bukan alasan untuk pihak berkuasa ­memastikan masalah itu ­tidak berulang.

“Tekanan untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang baik memang tinggi dan tiada jaminan ia tidak akan berulang.

“Jika tiada tindakan tegas diambil, pasti pihak yang mempunyai kepentingan akan melakukan sesuatu untuk memburukkan keadaan.

“Konspirasi ini mungkin mendorong berlakunya pecah amanah, ketidakjujuran dan kebocoran soalan peperiksaan,” katanya.

Mengenai kepentingan UPSR mengukur kemampuan akademik pelajar, beliau berkata, ia bergantung kepada bagaimana pentaksiran digunakan, namun perubahan dalam sistem pendidikan negara termasuk kurikulum, sistem persekolahan dan peruntukan pendidikan di peringkat pendidikan rendah banyak dilakukan berasaskan maklumat pentaksiran dalam UPSR.

“Oleh itu, perancangan dan pelaksanaan lebih teliti dan mantap perlu dilakukan bagi memastikan maklumat mengenai pencapaian pelajar yang dihasilkan daripada UPSR sah dan boleh dipercayai.

“Jika maklumat itu tidak dapat menggambarkan pencapaian dan prestasi pelajar dengan baik, ada kemungkinan keputusan dibuat berdasarkan maklumat tidak tepat dan longgar.

“Implikasinya, kita akan membuat perancangan dan perubahan yang tidak sesuai, sekali gus menyebabkan perbelanjaan yang digunakan tidak berkesan dalam perubahan yang dibuat,” katanya.

Beliau mencadangkan peperiksaan ini dijalankan di peringkat negeri untuk lebih mudah dikawal serta memerlukan satu mekanisme sesuai bagi menyelaraskan keputusan peperiksaan supaya dapat menghasilkan keputusan lebih adil dan sah.

“Di samping itu, soalan peperiksaan yang disediakan lebih berbentuk terbuka yang memerlukan pelajar menggunakan pemikiran aras tinggi untuk menjawabnya.

“Manakala penskoran lebih menumpukan kepada kemahiran berfikir generik seperti penyelesaian ­masalah, kreativiti dan penaakulan dengan skema jawapan lebih terbuka,” katanya.

Guru, Latifah Abdul Hamid berpendapat, kebocoran soalan UPSR tidak sepatutnya berlaku kerana ­menyusahkan guru serta pelajar.

“Dalam hal ini, bukan saja guru tertekan kerana dilemparkan dengan pelbagai tanggapan, malah lebih kasihan kepada calon yang sudah bersedia sepenuhnya.

“Mereka seharusnya sudah lepas daripada tekanan peperiksaan minggu lalu, tapi kerana perkara ini, terpaksa menghadapinya semula.

“Sebagai guru, kami takut ia boleh mengganggu penumpuan, sekali gus menghasilkan keputusan mengecewakan,” katanya.

Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali myMetro Bestari 15/09/2014

Tags: pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments