kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahaya percaya kepada purata

Pada hari Rabu yang lepas, Kunta Kinte pergi ke tiga buah kedai kopi untuk cari tempat yang sesuai baca surat khabar, layari Internet dan menulis. Bila kita jadi penulis, ada masa kepala kita kosong dan fikiran kita beku. Tak ada ilham langsung. Orang putih kata 'muse' kita lari atau merajuk.

Dalam mitos Yunani, 'muse' adalah puteri dewa Zeus yang bagi ilham kepada penulis dan penyair. Tapi yang sebabkan Kunta Kinte hampir hilang punca pada hari itu ialah pelayan asing di dua daripada kedai itu. Mereka tak faham bahasa Melayu. Cili jeruk dengan cili segar pun tak tahu. Ala carte dengan layan diri pun tak boleh sebut.

Kunta Kinte cerita hal ini sebab negara kita terus jadi syurga dan destinasi pekerja, pelarian, pelajar dan pelancong asing, hidup rakyat jelata kita sendiri nampaknya tak bertambah baik malah mungkin lebih teruk.

Orang asing boleh hidup dengan pendapatan RM500 atau RM1,000 sebulan. Mereka dibagi makan dan tempat tinggal oleh majikan atau mereka sanggup bersesak-sesak kongsi bilik. Boleh kata sebahagian besar pendapatan mereka tersimpan untuk dihantar balik ke negara masing-masing.

Lain pula dengan orang kita. Kena beli, bina atau sewa rumah. Kena ada kenderaan untuk ke tempat kerja. Kena belanja anak ke sekolah. Kena bayar macam-macam cukai, yuran dan lesen.

Pendatang asing sebenarnya mudah. Bukan saja diberi tempat tinggal, malah ramai berulang alik ke tempat kerja dengan kenderaan yang disediakan oleh majikan, yang ramai guna pengangkutan awam macam Rapid KL, LRT dan komuter pun mereka juga.

Jadi bila Kunta Kinte baca laporan media massa kata pendapatan isi rumah rakyat jelata kita naik melepasi RM5,900 sebulan, Kunta Kinte gembira, tapi pada masa yang sama Kunta Kinte tertanya-tanya, betulkah?

Pemberian BRIM ditambah

Apa yang Kunta Kinte tahu, kerajaan sendiri mengaku ramai rakyat jelata susah jadi kerajaan adakan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Bukan itu saja, bagi yang isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan, kadar dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 tahun ini.

Bujang 21 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan naik daripada RM250 kepada RM300. Ertinya kerajaan sendiri mengaku hidup rakyat jelata tambah sempit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, kata purata pendapatan isi rumah melepasi RM5,900 sebulan tahun ini berbanding RM5,000 pada tahun 2012.

Kunta Kinte ucap tahniahlah. Tapi Kunta Kinte harap orang ramai faham iaitu yang Abdul Wahid kata itu adalah pendapatan pukul rata, bukan pendapatan mutlak. Ertinya bukan semua isi rumah di nagara kita dapat pendapatan RM5,900 sebulan.

Kunta Kinte bagi contoh. Katakan dalam sebuah negara ada 10 isi rumah. Pendapatan dua isi rumah RM10,000 sebulan, lima RM5,000 dan empat RM2,000.

Jumlah pendapatan mereka RM53,000 dan apabila dipukul rata jadilah RM5,300. Jadi nampak banyaklah walaupun sebenarnya lapan isi rumah dapat kurang daripada itu. Jadi kita kenalah berhati-hati bila cakap pasal purata.

Pukul rata tak tepat

Pukul rata tak bagi gambaran sebenar. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selalu kata, kalau kita percaya purata kita boleh mati lemas dalam air yang dalam puratanya dua inci. Harus kalau jatuh tertiarap, pengsan dan tak ada orang tolong.

Tak silap Kunta Kinte, 40% isi rumah paling miskin di negara kita berpendapatan antara RM1,600 hingga RM1,800 sebulan.

Satu contoh sebenar. Baru-baru ini, Amanah Saham Didik keluarkan perangkaan. Memang cantik. Purata nilai unit adalah RM14,500 seorang. Kalau tak silap Kunta Kinte, dah lebih daripada cukup untuk biayai pengajian ijazah di universiti awam. Hooray!

Bukan itu saja. Setengah peratus daripada pemegang akaun ada simpanan RM1.5 juta setiap seorang. Yahoo! Tapi bagi 86% pemegang akaun terkebawah, purata nilai unit mereka hanyalah RM980. Adoi! Inilah erti dan realiti pukul rata.

Kunta Kinte tak mahulah kritik Abdul Wahid macam sesetengah orang. Kunta Kinte percaya dia masih berpegang kepada idealisme masa dia jadi CEO Malayan Banking dulu. Masa itu kita kerap bincang masalah ekonomi dan masa depan orang Melayu. Dia faham sebab macam Kunta Kinte juga, dia datang dari keluarga kampung yang miskin dan daif.

Abdul Wahid dan Kunta Kinte mungkin berjaya keluar daripada kancah kemiskinan kerana pelajaran dan ketekunan. Tapi bukan semua adik-beradik kira berjaya. Jadi kita tahulah keadaan sebenar. Lainlah dengan anak orang kaya, anak pemimpin politik dan anak pegawai tinggi kerajaan. Mereka dari awal lagi senang. Belajar dalam pekan lepas itu pergi ke luar negara. Jadi mereka tak rasa dan tak tahu susah payah orang miskin.

Kunta Kinte yakin Abdul Wahid masih komited dan setia kepada hal yang dia dan Kunta Kinte bincang dulu. Lebih-lebih lagi sekarang bila dia ada peluang dan kuasa untuk pengaruhi dasar, perancangan dan pelaksanaan pembangunan negara.

Ada orang kata menteri lantikan macam Abdul Wahid dan Datuk Seri Idris Jala tak boleh percaya pasal mereka dari sektor swasta dan mereka hanya fikir hal untung rugi.

Betul mereka dari sektor swasta dan mereka berfikir macam pengurus. Tapi kalau mereka mahu dan mereka ada kesedaran, mereka boleh bantu. Mereka boleh cadang cara paling baik dan berkesan laksanakan pembangunan tanpa pembaziran, tapi dengan pulangan yang tinggi.

Wallahuaklam. Emel ke rencanabh@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda. Kunta Kinte Berita Harian Kolumnis SABTU, 13 SEPTEMBER 2014 @ 5:45AM

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments