kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penjelasan elak rakyat keliru hasil kajian ekonomi

Ramai yang teruja mendengar angka awal Kajian Pendapatan Isi Rumah 2014 yang menunjukkan taraf hidup rakyat negara ini meningkat apabila purata pendapatan isi rumah negara sudah melepasi RM5,900 sebulan. Apatah lagi, perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang sememangnya arif soal kewangan.

Ia menunjukkan dalam tempoh dua tahun sahaja, purata pendapatan isi rumah naik RM900, berbanding RM5,000 pada tahun 2012. Secara kasarnya, maksud mudah purata pendapatan isi rumah ialah jumlah pendapatan suami dicampurkan pendapatan lain, sama ada pendapatan isteri atau anak-anak yang sudah bekerja, tetapi belum berumah tangga. Jika ayah atau isteri sahaja yang bekerja, maka pendapatan yang diperolehnya itulah pendapatan isi rumah keluarga berkenaan.

Namun, bagi menentukan kelayakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), definisi pendapatan isi rumah ditetapkan ialah lelaki atau wanita yang menjadi ketua keluarga dan memperoleh pendapatan kasar kurang RM3,000. Setiap anak berkahwin yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah RM3,000 ke bawah, tetapi tinggal serumah dengan ibu bapa, dikira sebagai satu isi rumah yang berlainan.

Peningkatan purata isi rumah itu menggambarkan taraf hidup rakyat kita bertambah baik, malah lebih baik daripada kebanyakan negara lain khasnya negara dunia ketiga dan di rantau ini. Ia dengan sendirinya menunjukkan rakyat mempunyai wang yang lebih untuk berbelanja. Ini tidak boleh dinafikan apabila boleh dikatakan kebanyakan rumah khasnya di bandar utama, pemandangan setiap rumah mempunyai lebih daripada dua buah kereta adalah fenomena biasa.

Keyakinan pelabur bertambah

Keadaan ini akan memberi keyakinan lebih tinggi kepada pelabur untuk melabur di negara ini. Peningkatan perbelanjaan memberikan impak yang besar kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun, timbul persoalan siapakah dalam kumpulan isi rumah yang mendapat purata pendapatan RM5,900 itu? Adakah mereka dalam golongan penjawat jawatan besar di Kuala Lumpur dan bandar besar lain atau yang tinggal di kampung.

Pengiraan purata pendapatan isi rumah tidak dibuat mengikut kawasan geografi. Ia mengambil kira pendapatan rakyat seluruh negara tidak kira jawatan; di kampung atau desa; di bandar atau luar bandar; sektor awam atau swasta, mereka yang berpendapatan berpuluh-puluh ribu ringgit atau yang hanya meraih pendapatan sekadar cukup makan dan pakai sahaja.

Apabila pendapatan dicampurkan dan dibahagikan mengikut bilangan semua mereka, maka terhasillah angka RM5,900 itu. Secara matematiknya, mereka yang mendapat pendapatan lebih besar, jumlahnya menjadi kecil, manakala yang mendapat pendapatan kecil berasakan pendapatan purata mereka sepatutnya berjumlah RM5,900 sebulan. Sebaliknya, jika pendapatan mereka jauh lebih rendah daripada purata pendapatan isu rumah, mereka akan kecewa. Pendapatan mereka tidak sampai ke tahap sebenarnya.

Jika konsep pendapatan purata isi rumah ini difahami rakyat, ia tidak menimbulkan masalah sebaliknya ada pihak menganggap keadaan mereka sebenarnya bak kata perumpamaan 'indah khabar dari rupa.'

Penerangan terperinci

Dalam memberi maklumat ekonomi kepada rakyat, pihak berkenaan perlu memberi penjelasan dengan mudah bagi mengelakkan rakyat keliru, apatah lagi berasa tertipu. Ini berlaku kepada banyak isu termasuk isu Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dieksploit oleh kumpulan berkepentingan.

Ketika kerajaan menguar-uarkan hasrat menjadikan Malaysia negara maju dan negara berpendapatan tinggi, ia sebenarnya meletakkan harapan yang tinggi kepada rakyat bahawa mereka juga akan mendapat pendapatan tinggi. Mereka menterjemahkan pendapatan tinggi negara itu diturunkan kepada pendapatan tinggi untuk rakyat.

Tetapi selepas melihat pendapatan mereka tidak berubah untuk beberapa tahun, mereka mula mempersoalkan kewajaran matlamat kerajaan dan bagaimana negara boleh mencapai sasaran negara maju dan berpendapatan tinggi sedangkan gaji mereka masih di takuk lama.

Mereka keliru dengan pemahaman sendiri. Sebenarnya, pendapatan negara yang tinggi akan membolehkan kerajaan membangunkan negara dengan lebih berkesan, melaksanakan pelbagai program dan kemudahan diperlukan serta menyediakan peluang pekerjaan lebih luas kepada rakyat.

Hakikatnya, ia tidak boleh diterjemahkan secara terus kepada setiap individu berasaskan prinsip ringgit ke ringgit. Seorang petani yang berpendapatan RM3,000 sebulan dengan mengusahakan sekeping tanah umpamanya, tidak akan dapat meningkatkan pendapatannya jika tidak cuba menggunakan teknologi baru yang boleh meningkatkan hasil dan pendapatan.

Peningkatan peluang pekerjaan juga mungkin memberi peluang kepada anak mereka yang berpendapatan rendah dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan isi rumah, jika anak masih menetap bersama keluarga. Setidak-tidaknya, anak itu boleh membantu keluarga dan meringankan beban keluarga.

Pelbagai takrifan boleh dibuat mengenai peningkatan pendapatan negara. Adalah mustahil untuk menjadikan setiap isi rumah mendapat pendapatan RM5,900 sebulan. Mior Kamarul Shahid Berita Harian Kolumnis JUMAAT, 12 SEPTEMBER 2014 @ 5:24 AM
Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments