kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Imbauan 16 September 1963

Lucas Johnny tidak dapat melupakan detik bersejarah pada Isnin, 16 September 1963, iaitu hari Semenanjung, Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia.

Lucas, yang ketika itu berusia 19 tahun antara mereka yang menyaksikan majlis pengisytiharan Persekutuan Malaysia di Padang Central di Kuching, yang kini dikenali Padang Merdeka.

Majlis bersejarah itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri yang pertama iaitu Allahyarham Datu Abang Openg Abang Sapiee.


Ketua Menteri Sarawak pertama, mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Menteri Pelajaran, Tan Sri Mohd Khir Johari antara orang kenamaan yang hadir.


“Saya masih ingat lagi ketika itu saya tinggal di Kampung Astana dan hendak ke Padang Merdeka dengan menyeberangi sungai menggunakan perahu tambang.”


“Tambang menyeberangi sungai 10 sen seorang dan jika membawa basikal, bayarannya 20 sen,” katanya yang mengakui keadaan pada ketika itu ibarat pesta.

Kawasan Padang Merdeka pada hari itu penuh sesak dan Lucas hanya dapat melihat dan mendengar dari jauh orang kenamaan di atas pentas.

“Saya cuba mencari lokasi sesuai melihat wajah pemimpin yang berucap dengan pergi ke Hotel Aurora yang kini dikenali sebagai Merdeka Palace Hotel and Suites,” katanya.

Selepas acara berakhir, orang ramai bersurai namun suasana tetap meriah kerana pelbagai acara hiburan masih diteruskan serta banyak gerai jualan dibuka.

Lucas bukan saja mengabadikan detik bersejarah di Padang Merdeka itu malah turut memiliki sampul surat hari pertama sempena pembentukan Persekutuan Malaysia.

Dia juga pernah memiliki koleksi lagu lama, antaranya Negaraku yang pertama kali diabadikan dalam bentuk piring hitam dan dihasilkan lewat 1950-an.

Lucas adalah sepupu kepada Rosli Dhoby yang dikaitkan dengan konspirasi pembunuhan Gabenor Sarawak Duncan George Stewart pada 3 Disember, 1949 di Sibu.

Bermula 1970-an, dia merantau ke seluruh dunia dan menetap di Singapura bagi tempoh lebih dua dekad sebelum kembali ke Sarawak pada 1992.

Dia yang kini menetap di Miri, tidak sabar menanti ketibaan 16 September 2014 kerana sambutan peringkat kebangsaan Hari Malaysia bakal berlangsung di bandaraya Miri.

Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai berkata, acara tahunan tarian Jalan 916 (Street Party 916) tidak akan diadakan tahun ini dan akan diganti acara ‘916 Malaysia Day Countdown’ dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menjadi tetamu utama acara itu.

“Acara 916 Malaysia Day Countdown akan berlangsung pada 15 September, tiga jalan utama di bandar raya ini - Jalan Post, Jalan Merpati dan Jalan Parry - akan ditutup pada hari dan waktu tertentu secara berperingkat-peringkat dari 13 hingga 16 September”, katanya.

Lai berkata, sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan bakal berlangsung di Dataran Kipas (Miri City Fan) pada jam 8 malam, 16 September 2014. - BERNAMA Rudy Rukimin Rambli myMetro Nuansa 12/09/2014

Tags: malaysia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments