kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

5 kali terlepas perangkap komunis

Kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) membunuh rakyat tempatan demi mewujudkan kerajaan komunis menyebabkan negara terpaksa melalui zaman darurat yang panjang antara 1948 hingga 1960.

Ini paling ketara apabila mereka bermaharajalela secara terbuka dalam tempoh itu selepas Jepun menarik diri dan sebelum British menyusun semula pentadbiran negara pada 12 September 1945.

Dalam tempoh kira-kira tiga minggu, PKM keluar dari hutan, menawan balai polis dan membunuh orang tempatan terutama Melayu yang dianggap membantu Jepun.

Veteran Angkatan Tentera British ketika Perang Dunia Kedua (PD2) Clifford Gerald Standley, 88, mempunyai pengalaman tersendiri berhadapan dengan kumpulan pengganas itu.

Sebagai askar British, Standley pernah berkhidmat di India, Pakistan dan Burma sebelum menamatkan khidmat ketenteraan pada 1948 menentang Jepun di Tanah Melayu.

Beliau menyertai pasukan polis negara di Singapura pada tahun yang sama.

“Saya tidak ingat berapa ramai rakyat tempatan yang terkorban tetapi yang pasti jumlahnya ramai,” kata­nya sambil mengakui keadaan waktu itu amat sukar untuk rakyat mencari sesuap nasi buat keluarga.

Dalam komuniti militan komunis di bawah Chin Peng, terdapat kumpulan khas anti-Eropah yang berperanan mencari, memburu dan membunuh pegawai berbangsa Eropah.

Dalam tempoh beberapa tahun pertama komunis bermaharajalela, lebih 100 peladang Eropah dalam kalangan rakan Standley dibunuh.

Pertempuran berterusan antara pasukan keselamatan negara dengan komunis terus memuncak dengan pembunuhan beberapa pegawai penting pentadbiran British hingga memaksa perisytiharan Darurat Tanah Melayu 1948.

Standley menerima jawatan sebagai Pengurus Ladang Getah Anglo-Johore di Bekok, berdekatan Labis pada tahun 1950 selepas peristiwa Tragedi Natrah.

Meskipun meninggalkan pasukan polis, beliau tetap membantu rakan-rakannya dalam operasi memburu komunis di hutan.

Katanya, setiap kali membuat perjalanan jauh atau dekat, terutama ke Singapura untuk beberapa hari, pemberontak pasti menunggu me­nyerang di laluan jalan balik.

“Jadi kami perlu sentiasa mengenalpasti laluan alternatif,” katanya yang berasal dari Yorkshire, Britain.

Menurutnya, komunis yang bergerak dalam kumpulan kecil dikenali ‘Bintang Tiga’ atau ‘Reds’, amat mahir dengan selok belok hutan tebal, dari Singapura, Johor hing­ga selatan
Thailand.

Ladangnya di selatan tanahair sering menjadi lokasi serang hendap komunis.

“Mereka sering menjadikan lori, kereta dan kenderaan lain yang keluar masuk sebagai sasaran membunuh peladang Eropah.

“Saya masih ingat pe­ngalaman pada 1950, ketika keluar mengayuh basikal seawal jam 5 pagi di kawasan perintah berkurung semata-mata mahu melancong ke Melaka.

“Rakan-rakan dalam pasukan polis membantah pengembaraan itu tetapi saya selamat pergi dan kembali ke ladang,” katanya.

Selaku pengurus ladang, Standley bimbang keselamatan pekerja yang terpaksa berhadapan serang hendap dan rompakan dari hutan sehingga menyebabkan banyak kematian dan kecederaan.

“Kami boleh mendengar bunyi tembakan hampir setiap malam apabila mereka datang dan menembak sesiapa saja termasuk polis yang berkawal di pos keselamatan,” katanya.

Beliau sendiri beberapa kali terlepas daripada cubaan komunis membunuhnya sehingga Standley menjadi sasaran khas dendam komunis. Kisahnya terselamat daripada lima cubaan membunuh antara 1951 dan 1955, terpampang di muka depan akhbar The Straits Times pada 1955.

Katanya, serangan pertama berlaku pada usia 25 tahun yang menyebabkan beliau terlantar di hospital selama empat bulan dengan kecederaan pinggul.

“Saya juga terselamat ketika serangan kedua dan ketiga yang berlaku berhampiran kawasan ladang,” katanya.

Namun, cubaan membunuhnya pada serangan hendap seterusnya paling diingati sampai bila-bila.

Ketika itu beliau melawat Ladang Getah Kempas kira-kira dua jam perjalanan dari Bekok tetapi sebelum memandu keluar dari banglo pejabat ladang itu, seorang pekerja ladang menghalangnya.

“Rupa-rupanya, sekumpulan pengganas menumbangkan pokok di laluan keluar ladang dan menunggu kemunculan kenderaan Land Rover saya,” katanya.

Namun, bantuan polis tiba dan komunis melarikan diri.

Komunis tidak berputus asa, hanya 14 hari kemudian mereka menggunakan modus operandi yang sama untuk serang hendap seterusnya.

Peristiwa pada 21 Oktober 1955 itu, beliau cedera parah dan pekerjanya, Special Constable (SC) Abu Somaa, maut.

Ketika bercerita mengenai peristiwa itu, tiba-tiba raut wajah Standley berubah, matanya berkaca dengan air mata dan perlahan-lahan beliau menggunakan jari untuk mengesat air mata dari menjurai jatuh ke pipi.

“Kami keluar seawal Subuh untuk membawa anak pekerja ke sekolah di Pekan Baru Bekok kira-kira tiga kilometer dari ladang.

“Dalam perjalanan ke sekolah, ada beberapa lelaki berpakaian seperti orang kampung memerhati kami di tepi jalan,” katanya.

Apabila sampai di kawasan berbukit, laluan itu disekat. Abu yang memandu kenderaan Land Rover cuba me­nyimpangkan kenderaan tetapi terbabas kerana komunis menembaknya bertalu-talu.

“Abu cedera parah dan terjatuh dari kereta, tetapi pengganas tetap menembak kepalanya,” kata­nya dengan wajah yang meng­gambarkan perasaan marah dan geram.

Standley turut terkena beberapa tembakan yang menembusi peha kirinya serta cedera di rusuk tetapi berjaya melarikan diri ke kawasan lebih selamat.

Dengan berlumuran darah, beliau masuk kembali ke kawasan ladang kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Beliau kemudian dibawa ke Hospital Tentera British di Kluang sejauh 65 kilometer, sekaligus terpaksa menyambut ulang tahun kelahirannya di hospital.

Bagi mengelak peristiwa lebih buruk, Standley dihantar pulang ke Britain untuk rawatan kecederaan.

Namun, Standley tidak betah menetap di Britain dan kembali ke Malaysia pada 1956.

Beliau men­dapatkan kerja de­ngan syarikat komersial selain mendapat taraf warganegara.  - BERNAMA myMetro Nuansa 12/09/2014

Tags: komunis, malaysia
Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments