Koperal (B) Ayub Abdullah, bekas anggota polis dari Batalion 17 Pasukan Polis Hutan (PPH) sanggup menyabung nyawa bertempur beberapa kali dengan komunis di Sarawak sekitar awal 1970-an demi keamanan dan kedaulatan negara.
Dengan menyanjung semangat perjuangan tinggi, apa yang penting baginya ialah memastikan rakyat dapat hidup aman selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.
Ayub kelihatan masih bersemangat menceritakan saat getir dia dihantar ke Sarawak untuk mempertahankan negara daripada pencerobohan komunis yang didalangi anggota Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang ingin merampas kuasa di Sarawak ketika itu.
“Saya masih ingat sekitar pertengahan 1973 ketika bersama 36 anggota PPH dari Platun 11, Kompeni C sedang berehat di Kem Semuja, Serian apabila secara tiba-tiba kami diserang selama 20 minit oleh gerombolan komunis dari atas bukit,” katanya.
Dalam pertempuran itu kami dengar pihak komunis melaungkan kata-kata supaya kami menyerah diri dan tinggalkan Sarawak kerana tanah di situ kononnya milik mereka.
SERANGAN DEMI SERANGAN
Bagaimanapun, dengan laungan ‘Allahhuakhbar’ mereka terus bertahan dan membalas serangan dengan tembakan hingga ramai musuh cedera dan melarikan diri ke sempadan Kalimantan.
“Kami menjejaki mereka dari jam 11.30 pagi hingga waktu Maghrib, tetapi gagal kerana musuh sudah menyeberangi sempadan,”
katanya.
AYUB (dua dari kiri) bersama rakan ketika menyertai operasi menentang komunis di Sarawak pada 1970-an. |
Dia turut terbabit dalam pertempuran dengan kumpulan kecil komunis di kawasan Hutan Simpan Sempadi, Lundu pada 1974 dan Biduk, Sibu pada 1976 apabila komunis menyerang kem secara mengejut pada waktu pagi.
“Paling getir ketika cuti Krismas di Sungai Rusa, Sarikei apabila pasukan kami membunuh 15 anggota komunis termasuk wanita dalam satu serangan balas pada Disember 1976,” katanya.
Selepas peristiwa itu, kejadian serangan komunis semakin reda di Sarawak.
BETAPA SUSAH BERTUGAS
“Saya berpuas hati dengan tugas yang dilaksanakan, tetapi sayang tidak ramai tahu perjuangan kami ini demi cintakan negara,” katanya yang mempunyai empat anak.
AYUB (kiri) menunjukkan gambar ketika menjalani operasi menentang komunis di Sarawak kepada Timbalan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Hussin Awang. |
Dia berharap kegigihan anggota keselamatan menjaga keamanan negara daripada ancaman komunis dapat dibukukan untuk bacaan generasi muda masa kini.
Ramai generasi muda tidak tahu betapa susahnya pasukan keselamatan bertugas menjaga keamanan negara daripada ancaman musuh.
Ayub kembali ke Semenanjung pada 1982 dan ditempatkan di Batalion 2, Kompeni D, Hulu Kinta, Perak sebelum ditugaskan di Selatan Thailand dua tahun kemudian di bawah pasukan risik berpusat di Songkhala, Thailand.
“Di sini saya menjadi pengiring kepada pegawai kanan polis untuk perundingan dengan pemimpin tertinggi komunis membabitkan Chin Peng, Abdullah Sidi dan Rashid Maiden di Haadyai, pada 1989,” katanya.
PINGAT DARIPADA KERAJAAN
Ayub puas apabila dapat bertugas dalam pasukan mempertahankan negara dan menamatkan perkhidmatannya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, Alor Setar, Kedah selepas berkhidmat selama 26 tahun 6 bulan pada 1 Jan, 1998.
Dengan kecekalan dan keberanian itu, Ayub dikurniakan Pingat Berjasa daripada kerajaan dan Sijil Kecemerlangan Perkhidmatan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor pada 1993. - BERNAMA myMetro Nuansa 12/09/2014