SEMASA Majlis Penerangan Perdana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tempoh hari, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyatakan bahawa purata pendapatan 40 peratus golongan berpendapatan terendah merekodkan peningkatan. Ini satu kemajuan yang cukup baik bagi ekonomi rakyat bawahan!
Menurutnya lagi, golongan ini sentiasa mendapat keutamaan Kabinet kerana tiada gunanya Malaysia menjadi negara maju jika ramai rakyatnya tidak mampu mengharungi kehidupan serba mahal kerana kos sara hidup yang tinggi.
Dalam konteks ini bolehlah dihuraikan bahawa Kabinet berperanan sebagai 'Ahli Lembaga Pengarah' yang diamanahkan oleh rakyat sebagai pemegang saham utama dalam mengurus risiko atau untung rugi ekonomi rakyat. Ini dibuktikan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai 'Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah' memberi penerangan mengenai GST kepada 4,000 orang dalam majlis itu.
Beliau boleh sahaja mengarahkan orang bawahannya dalam Kementerian Kewangan mahupun Jabatan Kastam Diraja Malaysia tetapi tetap mengambil tanggungjawab untuk menerangkan sendiri kepada rakyat.
Terlalu banyak kekeliruan berlaku mengenai GST. Buktinya, sehari selepas majlis itu terdapat laporan media bahawa harga rumah dijangka naik 3-4% selepas pelaksanaan GST.
Kenyataan sebegini amat meresahkan rakyat. Mujurlah pihak Kastam lekas menafikan dakwaan itu.
Secara rasionalnya, penjelasan yang dibuat oleh pihak Kastam lebih kukuh memandangkan terdapat bahan binaan yang pada masa ini dikenakan cukai jualan 10 peratus akan hanya dikenakan GST 6 peratus bermula 1 April 2015.
Jadi secara logiknya, harga rumah semakin murah sebab berlaku penjimatan. Ini yang diharapkan oleh rakyat, namun adakah ia benar-benar berlaku kerana kita mengetahui dalam soal rumah, harga yang ditawarkan terlalu banyak dipengaruhi faktor tamak.
Ini baharu satu kes. Belum lagi melibatkan barangan dan perkhidmatan lain.
Apabila rakyat masih kabur, mulalah pelbagai spekulasi dan maklumat palsu disebarkan oleh pihak-pihak tertentu. Tidak mustahil akan ada yang percaya bulat-bulat.
Kerajaan dan pihak yang diberi tanggungjawab untuk menjelaskan GST perlu memudahkan sesi penerangan. Usahlah menerangkan secara teknikal kepada rakyat. Kalau kepada orang korporat tidak mengapalah. Perjelaskan kebaikan GST dan berikan jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran rakyat.
Setiap 'serangan' perlu dijelaskan sampai rakyat faham. GST bukan sahaja membabitkan syarikat korporat dan usahawan tetapi merangkumi seluruh rakyat Malaysia. Kalau GST tidak dijelaskan dengan bahasa yang mudah difahami secara menyeluruh, maka akan berlaku pelbagai tohmahan dan fitnah kepada pihak kerajaan.
Risiko sebegini perlu diurus dengan baik. Jika tidak, akan berlakunya krisis yang pada awalnya dijangka boleh diselesaikan, rupa-rupanya berpanjangan dan akhirnya memudaratkan semua orang.
Rakyat sebenarnya cukup sensitif apabila mendengar sahaja harga barangan dan perkhidmatan meningkat. Tetapi kalau setakat meningkat sedikit sahaja tidak mengapalah. Mungkin boleh diterima. Tetapi kalau harga barangan dan perkhidmatan meningkat keterlaluan, inilah yang rakyat berasa mereka tidak dijaga dengan baik.
Sebab itu apabila diumumkan bahawa purata pendapatan rakyat Malaysia meningkat daripada RM5,000 kepada RM5,900, rakyat tidak nampak impak positifnya kepada mereka. Bagi mereka terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, kos sara hidup meningkat tinggi dan cukup menekan.
Mengulas kritikan berhubung isu purata pendapatan rakyat Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjelaskan ia adalah perkiraan mudah yang melihat pada median pendapatan rakyat Malaysia, iaitu sebanyak RM4,258 sebulan. Ini bermakna sebahagian rakyat berada di bawah RM4,258 sebulan dan sebahagiannya pula melebihi paras itu.
Dalam pada itu, pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa sebanyak 69 peratus pencarum yang berumur 54 tahun mempunyai caruman di bawah paras RM50,000 memang menggerunkan.
Jumlah RM50,000 terlalu sedikit untuk menempuh kehidupan selepas bersara dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi. Lagipun jangka hayat penduduk Malaysia semakin panjang. Apakah akan terjadi selepas caruman habis digunakan?
Sebab itulah, kerajaan perlu mengukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial meliputi perlindungan kepada seluruh golongan yang memerlukan termasuk yang berpendapatan rendah, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.
Dengan mengukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial, bantuan kepada golongan sasar dapat disampaikan dengan segera sekali gus mengurangkan gejala sosial kesan masalah ekonomi dan kewangan yang dihadapi oleh mereka.
Baharulah kelihatan bahawa pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat sentiasa mengurus risiko ekonomi mereka dengan baik seiring kemakmuran Malaysia. Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM). Utusan/Rencana/20140918