kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina

ELAK KEBOCORAN BERULANG

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 17 September 2014 menyiarkan artikel mengenai isu kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Artikel bertajuk 'Kementerian Pendidikan hampakan rakyat?' yang ditulis oleh Mung Lun Yong disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lun halaman W3.

Kebanyakan orang ramai beranggapan, peperiksaan adalah satu cara terbaik untuk menilai pengetahuan seseorang.

Ketika pemerintahan Dinasti Chang He di China lebih 5,000 tahun dahulu, tahap ketahanan dan kemampuan seseorang itu dinilai berasaskan kepada berapa banyak tangkapan binatang buruan mereka.

Pada zaman Dinasti Han Selatan, individu yang diuji dan didapati mempunyai budi pekerti mulia telah diangkat menjadi pendeta manakala ketika Dinasti Tang, peperiksaan diadakan bagi menilai penulisan seseorang itu dan jika lulus, akan diiktiraf sebagai cerdik pandai.

Sistem pendidikan di Malaysia pula mencontohi pendidikan di Britain apabila beberapa siri peperiksaan diadakan sejak sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti bagi menilai tahap kecerdasan seseorang.

Antara yang diadakan adalah peperiksaan UPSR yang melibatkan murid sekolah rendah berusia 12 tahun.

Bagaimanapun, yang berbeza tahun ini ialah apabila 473,000 murid perlu kembali semula ke meja peperiksaan setelah berlaku kebocoran kertas soalan beberapa mata pelajaran.

Dalam pada itu, menteri terlibat pula dengan segera meminta maaf kepada ibu bapa, guru dan murid yang mengambil peperiksaan dan bertindak menggantung tugas dua pegawai kanan Lembaga Peperiksaan.

Pihak berkuasa kini memerah otak untuk menyiasat siapakah yang terlibat menyebarkan salinan kertas soalan berkenaan.

Sebenarnya terdapat banyak peringkat yang boleh menyebabkan kebocoran itu berlaku. Tindakan tegas terhadap pihak berkenaan adalah perlu selaras dengan hakikat kemakmuran dan kemunduran sesebuah negara bergantung kepada pendidikan.

Sebab itu masyarakat Cina amat pentingkan pendidikan dan mereka sanggup berkorban apa sahaja bagi membolehkan anak mereka mendapat pelajaran yang terbaik.

Hukuman terhadap pihak tidak bertanggungjawab adalah bagi memastikan keagungan dan kewibawaan negara tidak dimusnahkan oleh segelintir individu yang sanggup melakukan apa sahaja kerana mendapat sedikit habuan.

Kerajaan juga perlu mewujudkan satu mekanisme baharu yang lebih baik bagi mengelak kejadian kebocoran kertas soalan berulang.

PENGARUH TUN M

AKHBAR China Press bertarikh 15 September 2014 mengulas kekecewaan diluahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini berikutan kegagalannya untuk mengubah sikap orang Melayu walaupun telah memerintah negara ini selama 22 tahun.

Artikel yang ditulis oleh Tan Guan Fong bertajuk 'Hasil peninggalan Mahathir yang teruk' disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C11.

Semasa Dr. Mahathir meluahkan kekecewaannya, sudah pasti dirinya merasa cukup selesa, kerana menganggap beliau seorang pahlawan bangsa yang berani menyebut perkara yang orang lain tidak berani sebut dan mampu mengherdik kaumnya sendiri.

Beliau boleh memberi pandangan mengikut apa yang dirasakannya betul dan tidak takut kena marah. Beliau juga tidak gentar didakwa di bawah Akta Hasutan. Inilah orang yang bernama Tun Mahathir!

Baru-baru ini, Dr. Mahathir telah mengumumkan beliau tidak menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak. Dikhabarkan kenyataan itu ada kaitannya dengan langkah kerajaan mahu menggunakan Akta Hasutan untuk mengambil tindakan kepada pihak penentang.

Apabila Dr. Mahathir mengeluarkan sesuatu kenyataan, memang susah untuk diatasi. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, memang boleh menjadi kenyataan. Sebab itu, pada masa akan datang jika lahir seorang lagi Perdana Menteri daripada keluarga Dr. Mahathir, dikhuatiri itu juga rancangan daripada beliau.

Seorang yang mempunyai pengaruh begitu kuat, kenapa selepas 22 tahun masih lagi tidak dapat mengubah sikap orang Melayu? Sebabnya amat mudah kerana terdapat kelemahan pada dasar yang dilaksanakan Dr. Mahathir bagi membantu orang Melayu.

Contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menyebabkan orang Melayu menjadi manja dan tidak mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun kita akui ia juga bermanfaat bagi membasmi kemiskinan dan menstabilkan negara.

DI MANA KEADILAN PAKATAN RAKYAT?

Akhbar sama bertarikh 12 September 2014 turut mengulas tentang dasar pemerintahan kerajaan negeri Selangor yang dilihat berat sebelah.

Artikel bertajuk 'Di hari raya kaum Cina kenapa tidak beri hadiah secara adil' yang ditulis oleh Lai Shao Kuang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C19.

Hari Raya Haji adalah hari raya korban dan penyembelihan binatang ternakan. Orang Islam akan membahagi-bahagikan daging lembu dan kambing kepada orang fakir dan miskin.

Perkara sama dilakukan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila mengumumkan tujuh syarikat kerajaan negeri Selangor akan menyumbang sebanyak RM2.6 juta untuk membeli 763 lembu untuk tujuan korban bagi diagihkan kepada orang Islam.

Cuma yang menjadi persoalan kita kenapa perkara sama tidak dilakukan ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina dengan menghadiahkan 500 khinzir untuk upacara sembahyang?

Jika dianggap menghadiahkan khinzir itu terlalu sensitif, kerajaan negeri boleh menghadiahkan 5,000 ayam dan itik untuk kaum Cina miskin bagi menunjukkan kerajaan pembangkang prihatin dan telah membuat pembaharuan dalam pentadbiran berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Lebih 90 peratus orang Cina di Selangor telah mengundi pihak pembangkang, tetapi tidak kelihatan pun kerajaan negeri menderma jutaan ringgit atau bunga dan kuih kepada kuil Buddha sempena Tahun Baru Cina.

Semasa susah sama-sama pikul, tetapi masa senang tidak nampak sama-sama menikmatinya. Jangan kata seekor khinzir, sebiji limau Mandarin pun tidak pernah dihadiahkan ke kuil-kuil. Utusan/Rencana/20140918

Tags: lpm, politik, upsr
Subscribe

  • Latah Wilayah atau Negeri

    Adalah saya merujuk kepada artikel ‘ Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’? ’ bertarikh…

  • Jujur kepada diri sendiri dalam hidup

    Kejujuran atau bersikap jujur adalah suatu perkara yang paling penting. Sentiasalah bersikap jujur dengan diri anda tanpa ragu-ragu mengenai…

  • Menghormati

    Menghormati atau memberi hormat adalah sesuatu yang membawa banyak kekuatan dan kelebihan. Ia mempunyai kekuatan untuk menyatukan atau memisahkan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments