kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Gantikan sahaja Akta Hasutan 1948?

HARI ini berlaku polemik di peringkat kebangsaan mengenai sama ada perlu atau tidak Akta Hasutan 1948 dikekal seperti sedia ada, dipinda untuk diperkemaskan, dimansuh sama sekali atau digantikan dengan suatu undang-undang baru seperti Akta Keharmonian Kebangsaan. Semua sudut pandangan mempunyai hujah sokongan yang kuat dan penyokong tegar masing-masing.

Ordinan Hasutan 1948 mula diperkenalkan oleh kerajaan penjajah Inggeris bagi menangani Darurat 1948 yang diakibatkan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) dan kali terakhir ianya dipinda ialah pada 1969 pasca tragedi rusuhan kaum 13 Mei.

Hakikatnya semenjak itu masyarakat Malaysia telah mengalami perubahan yang pesat dari segi landskap politik, sosial dan ekonomi. Sebagai sebuah negara demokrasi dalam transisi yang semakin matang, persoalan mencari perimbangan antara kebebasan bersuara dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama perlu menjadi matlamat semua pihak.

Saya kira apa pun pendirian warga Malaysia tentang isu ini, majoriti rakyat bersetuju bahawa sebuah negara majmuk seperti Malaysia memerlukan undang-undang khusus yang bersifat saksama, jelas dan berkesan bagi menghalang mana-mana pihak menggunakan isu kepelbagaian yang ada sebagai penyebab sengketa sesama rakyat.

Langkah ini telah dimulakan kerajaan pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak berlatarkan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969. Beliau telah bertindak tegas meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara sedia ada seperti Akta Hasutan 1948 pasca tragedi tersebut.

Pindaan ini bagi memastikan kebebasan bersuara yang dijamin undang-undang tertinggi negara ini di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tidak disalah guna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Melalui pindaan ini isu-isu sensitif yang melibatkan Kontrak Sosial dipastikan bersifat lampau polemik. Antara pindaan yang paling penting ialah dengan memasukkan Fasal 4 kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan;

Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2)(a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181 melainkan yang berhubungan dengan pelaksanaannya sebagaimana dinyatakan dalam undang-undang itu.

Penambahan fasal ini ialah pemerincian kepada kuasa sedia ada yang yang diberikan kepada Parlimen di bawah Perkara 10 Fasal 2;

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

1. Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) - (a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

2. Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan - (a) ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah atau pengapian apa-apa kesalahan.

Namun ketika itu walaupun Perkara 10 Fasal 4 memberi kuasa kepada penggubalan suatu undang-undang khusus bagi menghalang mana-mana pihak mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan (peruntukan yang berkaitan kewarganegaraan), Perkara 152 kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Perkara 153 Perizaban Kuota berkenaan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan Perkara 181 kecualian bagi kedaulatan, raja-raja namun ia tidak dilakukan apabila Parlimen kembali bersidang pada 1971.

Sebaliknya hanya Akta Hasutan 1948 telah dipinda semasa darurat 1969 dengan memasukkan definisi 'kecenderungan menghasut' yang baru iaitu Seksyen 3 (1) (f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini telah tiba masanya kerajaan menggunakan 'kuasa' yang diberi kepada Parlimen melalui Perkara 10 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan ini. Ia bagi memastikan sebarang polemik politik masa depan tidak akan melibatkan mana-mana pihak menyoal peruntukan teras atau apa yang digelar peruntukan Kontrak Sosial untuk selama-lamanya.

Untuk tujuan ini Akta Hasutan 1948 perlu dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Kebangsaan yang perlu digubal di bawah Perkara 10 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan.

Apakah istimewanya suatu akta yang digubal di bawah Perkara 10 (4) berbanding Akta Hasutan 1948?

Pertama, akta yang digubal di bawah Perkara 10 (4) tidak boleh dipinda atau dimansuhkan kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Fasal 5. Bukan itu sahaja, untuk meminda akta yang bakal digubal di bawah peruntukan ini kelak akan memerlukan undi dua pertiga ahli Parlimen untuk bacaan kali pertama dan kedua, bukan majoriti mudah sebagaimana akta-akta biasa yang lain termasuk Akta Hasutan.

Bagaimanapun untuk meluluskan undang-undang ini buat kali pertama, ia hanya memerlukan undi majoriti sahaja di kedua-dua Dewan Parlimen seperti mana undang-undang biasa.

Jika Akta Hasutan 1948 diganti dengan suatu undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10 Fasal 4, ia akan melindungi secara lebih kuat lagi peruntukan-peruntukan Kontrak Sosial yang hari ini hasil jasa Tun Razak tidak boleh dipinda kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja (Rujuk Perkara 159 Fasal 5 Perlembagaan Persekutuan).

Namun jika terdapat kelemahan kepada sebarang undang-undang baru yang akan digubal di bawah Perkara 10 Fasal 4 ini ialah ia tidak merangkumi perbuatan mempersoalkan kedudukan Perkara 3 Fasal 1 iaitu kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan perbuatan menggunakan isu-isu kaum serta agama yang tidak sampai kepada peringkat mempersoalkan kedudukan Kontrak Sosial.

Kelemahan ini boleh diselesaikan melalui pindaan Perlembagaan yang meletakkan Perkara 3 Fasal 1 iaitu kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagai dilindungi di bawah Perkara 10 Fasal 4 dan ditambah kukuh lagi dengan diletakkan juga di bawah Perkara 159 Fasal 5, iaitu sebarang pindaan kepada kedudukan Islam memerlukan juga persetujuan Majlis Raja-Raja.

Untuk melengkapkan lagi langkah penambahbaikan ini, peruntukan Perkara 4 Fasal 1 yang memberikan kedudukan undang-undang utama Persekutuan kepada Perlembagaan Persekutuan juga perlu diletakkan di bawah Perkara 159 Fasal 5 agar sebarang pindaan kepada Perkara ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenang.

Mungkin ada pihak yang akan mengajukan bahawa Perkara 4 Fasal 1 sedia dilindungi di bawah Doktrin Basic Structure namun harus diingat walaupun doktrin ini diterima di India tetapi ia belum lagi diterima di Malaysia.

Bagi perbuatan menggunakan isu-isu agama dan perkauman yang memecahbelahkan masyarakat tetapi tidak sampai kepada mempersoalkan kedudukan peruntukan Kontrak Sosial, ianya lebih elok diletakkan sebagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Bagi isu-isu agama misalnya ianya telah sedia ditangani di bawah Seksyen 295 hingga 298A yang sedia ada sekarang. Jika peruntukan-peruntukan ini didapati tidak mencukupi, perkemaskan sahaja, begitu juga eloklah masukkan peruntukan baru yang menjenayahkan penggunaan isu-isu perkauman yang tidak sampai kepada mempersoalkan Kontrak Sosial di bawah Kanun Keseksaan.

Semenjak negara mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia lebih 50 tahun yang lalu kita telah mencapai kemajuan yang begitu pesat dari pelbagai segi, ditambah lagi dengan perkembangan pantas dan meluas teknologi maklumat dan komunikasi global yang telah mengubah secara radikal citarasa dan pandangan generasi Malaysia pasca merdeka.

Dalam menangani persoalan Akta Hasutan, sebarang kegagalan untuk mendengar suara rakyat dalam mengimbangi antara keperluan meraikan kebebasan bersuara dan memelihara keharmonian sebuah masyarakat yang majmuk akan hanya mendatangkan tentangan yang berterusan.

Sikap keras dan gopoh dalam usaha mencari titik perseimbangan antara kedua-duanya akan hanya menjejaskan wibawa kerajaan untuk jangka panjang namun bahaya tindakan yang tidak mencukupi pula ialah ianya berkemampuan membahayakan masa depan nasional.

Oleh itu tindakan kerajaan tidak boleh sama sekali bersifat knee jerk dan satu dimensi sebaliknya perlu bersifat measured dan mengambil kira semua sudut pandangan.   MAZRI MUHAMMAD ialah penganalisis politik.   Utusan/Rencana/20140918

Tags: akta
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments