Banyak juga cabaran perlu difikirkan dan dikaji sedalam-dalamnya. Hal penting ialah ada lagikah orang membaca buku hari ini? Ramai lebih gemar baca bahan-bahan ringkas dalam Facebook, Twitter, tengok gambar Instagram. Baca tajuk saja, kemudian terus bagi ulasan. Mereka tidak peduli topik keluar tajuk.
Buku yang laris pun hanya berbentuk soalan serkap jarang peperiksaan atau 'mirip-mirip' soalan sebenar peperiksaan. Tetapi soalan seumpamanya diedar menerusi WhatsApp. Itu yang senang dikesan pihak berkuasa. Sangat kurang pandai.
Hal kedua ialah memilih tajuk dan jalan cerita. Formula mudah sekarang ialah menulis tentang isu politik atau kisah cinta remaja. Mana tahu dapat terjual 10,000 unit, hasil jualannya sudah boleh sediakan bayaran wang pendahuluan beli Alfa Romeo Geulietta.
Kena ada watak hero, heroin dan dua watak pembantu. Dan dua samseng Kampung Dusun. Satu watak pelawak spontan. Satu watak pekerja asing. Bangladesh lagi bagus sebab cara mereka bercakap, berjalan dan berpakaian memang ada ciri-ciri yang tiada kedapatan pada kumpulan warga asing lain di Malaysia.
Mana tahu dengan jualan laris buku ini, akan dapat menarik perhatian David Teoh untuk menerbitkan filem adaptasi daripada novel ini. Jangan bimbang, satu watak disediakan untuk beliau. Cuma watak kena lain daripada kelaziman. Mungkin jadi Wakil Rakyat di kawasan pengundi Melayu. Oopsss... filem cinta mana boleh selit cerita politik. Sila backspace. Padamkan.
Bermakna jika sudah berangan buku tulisan saya ini disasarkan jadi filem, saya harus membangunkan watak dalam cerita dengan wajah pelakon yang khusus. Orang nasihatkan saya supaya memilih artis yang ada aura, yang dapat menarik penonton ke panggung. Siapakah pelakon terlaris hari ini? Aaron Aziz semestinya.
Tetapi untuk projek angan-angan saya ini, tidak boleh ambil Aaron Aziz. Saya tiada isu dia berasal dari Singapura. Itu isu orang lain. Saya pun tiada isu dia jadi model mi segera. Sekali-sekala makan mi kari memang terbayang muka Aaron.
Cuma masalah pemilihan Aaron untuk filem adaptasi buku saya nanti, tidak sesuai disebabkan dia lebih dikenali dalam filem samseng. Banyak sungguh filem samseng lakonan Aaron hinggakan sudah tidak boleh dibezakan filem mana. Seelok-eloknya Aaron amalkan pemilihan skrip supaya dapat bawa watak yang bukan cliche.
Diperlakukan
Jadi tidak mengapa. Aaron Aziz tiada dalam senarai. Lagipun buku yang bakal saya tulis ialah novel cinta remaja. Kena cari muda sikitlah. Azizan Raja Lawak tidak boleh jadi hero. Mungkin sesuai bawa watak Bangla. Tetapi Shahrol Shiro amat efektif bawa watak Mujibur. Tak susah. Wujudkan dua watak Bangla.
Nanti sekejap, watak hero belum dimuktamadkan. Bagaimana kalau buat luar biasa sikit? Ambil pelakon Korea, Song Joong Ki sebagai pelajar kolej swasta. Jangan bimbang Joong Ki tidak fasih bahasa Melayu. Ramai lagi yang tidak fasih bahasa Melayu, tidak hormat Negaraku dan Raja Melayu tetapi dapat jadi pengarah filem dan ahli politik di negara ini.
Watak Joong Ki akan jatuh cinta dengan rakan sekelas yang berasal dari Kampung Baru. Watak itu sesuai Nora Danish bawa. Cuma pastikan dia tiada adegan dalam lif.
Kalau tidak mahu kisah cinta remaja, bagaimana kalau tulis tentang politik? Macam-macam boleh difikirkan jika hendak menulis perihal politik. Satu daripadanya ialah adegan presiden parti diperlakukan tidak ubah sekadar bertaraf ahli politik kedai kopi oleh timbalan parti.
Dalam mana-mana struktur organisasi (kecuali DAP yang teras kuasanya terletak pada Setiausaha Agung), kata-kata presiden adalah berbentuk kenyataan rasmi pendirian parti. Senang-senang pula ditepis oleh timbalan sebagai 'kenyataan peribadi' presiden.
Plot cerita dalam buku boleh didramakan bila wujud dua puak dalam parti. Satu penyokong setia parti dan satu lagi penyokong setia parti lain. Apa sahaja presiden parti sendiri cakap, semua dipertikai dan dibandingkan dengan pendirian parti lain.
Boleh juga sentuh aspek 'kebebasan bersuara.' Selalu meneriak pada orang lain agar mansuhkan Akta Hasutan, maka terimalah kebebasan bersuara dalam parti sehingga ada kalangan pemimpin sendiri menyatakan presiden tiada kuasa veto dalam parti. Kalau ini bukan insubordination (ingkar), apakah ini praktis kebebasan bersuara yang sihat kepada parti? Lagi sakit hati, individu yang berucap itu sepatutnya menasihatkan presiden secara tertutup, bukan terbuka dalam mesyuarat agung depan khalayak ramai.
Siapa boleh saya bayangkan memegang watak presiden dan timbalan bila buku saya ini dijadikan filem kelak? Mungkin watak presiden boleh dipegang oleh Rahim Mat Ali atau dulunya dikenali sebagai Rahim R2; dan timbalannya dilakonkan Yussry Edoo atau Yus Jambu. Kedua-duanya memiliki skil meniru percakapan ahli politik. Mereka diyakini akan membawa dimensi baharu dalam kebebasan bersuara dan kebebasan buat lawak ke atas ahli politik di Malaysia.
Ok, watak dah ada. Pilihan plot cerita pun ada. Esok selepas mandi saya tetapkan sama ada hendak menulis kisah politik atau cinta remaja. Memang saya tidak ikut tertib penulisan novel. Patut mulakan dengan plot cerita, kemudian kembangkan watak. Ini songsang. Ah, suka hati sayalah. Angan-angan saja pun.
Johardy Ibrahim johardyibrahim@twitter.com Utusan/Rencana/20140921