kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Betullah... kerana nila setitik rosak susu sebelanga

Kerana nila setitik rosak susu sebelanga, kerana beberapa 'urang' habih yang lain tertungging sama
... kuang! kuang! kuang!




SEORANG pengawas peperiksaan sedang membahagikan kertas peperiksaan kepada sebahagian murid-murid yang menduduki Peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang di Ipoh, Perak pada 9 September lalu. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS

DALAM banyak-banyak perumpamaan Melayu, penulis paling suka yang ini. Tepat, jelas dan mudah difahami.

Berbanding perumpamaan lain yang kadangkala memerlukan kita berfikir panjang, penuh kiasan atau kena membaca maksud tersirat, perumpamaan yang satu ini bak kata orang putih, straight to the point.

Menariknya hampir semua keadaan dan isu yang berlaku di dalam negara bahkan luar negara kini boleh mengguna pakai perumpamaan ini bagi menggambarkan kesan atau impak yang terjadi secara langsung.

Kalaulah ada carta pilihan perumpamaan paling popular - kerana nila setitik rosak susu sebelanga - pasti menduduki tangga teratas. Dan ia memang paling tepat dan sesuai bagi menggambarkan apa yang berlaku sekarang.

Daripada isu kebocoran kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), penangkapan ramai penguat kuasa kastam yang terlibat rasuah sehinggalah kemelut membelakangkan jemaah dalam Pas apabila dua wakil rakyatnya lebih gemar mendengar kata pemimpin sekutu PKR dan DAP daripada ketua dalam parti sendiri.

Cuma dalam isu Pas ini, memetik kata Dr. Azhari Ariffin, wakil Wilayah Persekutuan semasa Muktamar Tahunan Kali Ke-60 parti itu di Batu Pahat, Johor pada 19 September lalu, nila yang merosakkan parti itu bukan setitik tetapi dua titik iaitu satu cap Morib dan satu cap Hulu Klang.

Kerana nila dua titik itulah, Pas yang sepatutnya memegang bargaining power atau kuasa tawar-menawar dalam penentuan calon Menteri Besar Selangor yang baharu tidak diberi layanan sewajarnya sebaliknya masih umpama melukut di tepi gantang dalam pakatan longgar pembangkang.

Dalam isu kastam pula, gerakan besar-besaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 'membersihkan' agensi itu daripada kegiatan rasuah yang menyebabkan kerugian terhadap hasil cukai negara telah menyaksikan ramai penguat kuasa termasuk yang memegang jawatan tertinggi di pejabat masing-masing ditahan untuk siasatan.

Sungguhpun bukan semua kakitangan kastam yang korup, penahanan sejumlah besar pegawai penguat kuasa boleh sahaja memberi gambaran imej dan reputasi yang salah terhadap agensi tersebut yang diberi amanah untuk mengawal kemasukan produk bernilai bilion malah trilion ringgit dari luar negara, yang akan menentukan hasil cukai untuk negara.

Begitu jugalah dalam isu kebocoran kertas peperiksaan UPSR. Kerana seorang dua yang tidak jujur dan pecah amanah, ramai guru yang komited dan penuh ikhlas dalam perjuangan mendidik anak bangsa terpalit sama, turut tercemar integriti mereka.

Lebih malang apabila perbuatan tidak jujur dan tidak amanah kita itu turut 'menghukum' sama anak-anak yang masih putih suci minda mereka dan tidak tahu apa-apa.

Tidak pasal-pasal mereka yang bertungkus-lumus belajar, membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu, yang tidak melihat pun 'soalan yang dibocorkan' itu, terpaksa mendudukinya semula.

Di peringkat antarabangsa pula, 'kegilaan' dilakukan oleh kumpulan pelampau yang mendakwa mahu menubuhkan negara Islam (IS) di Iraq dan Syria telah memberi nama buruk dan hodoh kepada agama Islam.

Walau siapa pun di belakang kelompok ini, yang jelas ia bukan nila biasa tetapi beracun yang bukan setakat mencemar nama baik agama suci ini bahkan mampu membawa kemusnahan kepada umat Islam.

Begitulah jauhnya pandangan orang dulu-dulu ketika mencipta bidalan dan perumpamaan. Mereka mampu melihat peranan nila yang berguna untuk mencantikkan warna putih kain baju agar nampak kebiruan, menjadi tidak berguna jika menitik dalam susu. Kerana nila, susu menjadi tidak berguna lagi.

Jadi beringatlah. Sebagai individu dalam sesebuah organisasi, masyarakat dan negara, sebelum melakukan sesuatu perkara itu fikir-fikirkan akan natijahnya.

Jangan jadi nila yang dikutuk kerana merosakkan susu. Sebaliknya jadilah nila yang mencantikkan putih kain dengan warna kebiruannya.   Coretan Marhaen: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140923/re_07/Betullah-kerana-nila-setitik-rosak-susu-sebelanga#ixzz3E5OFVI70

Tags: assessment, pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments