kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Akibat nafsu yang menguasai akal

ISU kebocoran kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendatangkan cemar yang bukan sedikit. Maruah dunia pendidikan tercalar. Emosi dan motivasi pelajar tergugat. Perancangan ibu bapa tergendala. Kos ditanggung kerajaan pula berganda. Ringkasnya, seluruh negara tertimpa kesulitan dan kerugian.

Kebocoran kertas peperiksaan khabarnya agak sering berlaku. Bukan sahaja pada era kepesatan teknologi maklumat kini tetapi juga sejak lama dahulu. Antara yang paling menimbulkan kekecohan termasuklah kebocoran kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek Bahasa Malaysia pada tahun 1989.

Kebocoran kertas peperiksaan ini hakikatnya hanya menambah bilangan kes salah laku dan tindakan tidak beramanah yang telah kerap didedahkan. Bukan sahaja peringkat bawahan tetapi juga atasan. Tidak hanya organisasi bahkan juga negara.

Kes ini juga memberikan gambaran tentang kelunturan akhlak luhur dan nilai mulia yang seharusnya menjadi amalan dalam menjalankan tugas. Lebih mendukacitakan kerana ia membabitkan penjawat awam yang selama ini didedahkan dengan himpunan besar nilai dan etika perkhidmatan.

Terdapat pelbagai kemungkinan yang mendorong kebocoran itu berlaku. Antaranya tekanan atau desakan yang didorong kepentingan tertentu bagi mencapai keputusan yang bukan sahaja baik malah cemerlang. Justeru, segelintir pihak menjadi begitu obses dengan peperiksaan sehingga lupa tujuan atau matlamat sebenar peperiksaan dijalankan.

Manusia yang dikuasai nafsu akan cuba merosakkan yang baik. Berbeza dengan akal, nafsu tidak menghitung betul atau salah. Nafsu juga tidak mengambil kira sama ada tindakan yang dilakukan itu adalah pengkhianatan yang akhirnya mendatangkan keaiban, kerugian, mahupun kesusahan kepada orang lain. Apa yang lebih dipentingkan nafsu dalam kes seumpama ini barangkali hanyalah untuk dilihat berjaya meraih prestij serta kemasyhuran.

Kesan buruk yang diakibatkan nafsu membuktikan kebenaran sifatnya yang dikhabarkan al-Quran, "…Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan…." (Surah Yusuf 12 : 53).

Dalam ayat lain, Allah SWT menggambarkan keadaan orang yang menurut hawa nafsunya, "Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya; Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah kamu menjadi pengawas yang menjaganya agar tidak sesat?" (Surah al-Furqan 25 : 43)

Berasaskan gambaran buruk yang diberikan al-Quran ini, maka Nabi SAW memberikan gesaan demi gesaan agar umat baginda berjuang menundukkan nafsu. Baginda menegaskan misalnya dalam sebuah hadis daripada Ibn 'Abbas R.A., "Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu." (Al-Baihaqi).

Malah dalam sebuah hadis lain, baginda menjelaskan salah satu ciri kebijaksanaan seseorang terletak pada kemampuannya menundukkan nafsunya. "Orang yang bijaksana ialah yang berusaha menundukkan nafsunya dan beramal (dengan bersungguh-sungguh bagi menyediakan) bekalan sesudah kematian. Manakala orang lemah ialah yang membiarkan dirinya menuruti (kehendak) nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (mengharapkan rahmat-Nya). (Al-Tirmizi).

Individu yang gagal mengawal nafsu dan bertindak menurut kehendak nafsunya itu pasti tidak akan dapat menghalang dirinya daripada melakukan kezaliman. Dengan kata lain, nafsu jahat dalam diri manusia itu sering kali akhirnya menyebabkan ia terjebak dalam perbuatan dosa dan zalim.

Mekanisme menghalang dan melenyapkan kemungkaran serta kezaliman boleh dilakukan sama ada melalui kuasa yang dimiliki atau pula dengan teguran, kritikan atau nasihat. Jika kedua-dua kaedah ini tidak mampu dilaksanakan, maka kezaliman tersebut hendaklah dibenci.

Cara terakhir ini ditegaskan baginda sebagai selemah-lemah iman. Hal ini disebabkan kebenciannya itu hanya bermanfaat untuk menghalang dirinya untuk turut melakukan kesalahan atau kezaliman tersebut. Keimanan teguh yang dimiliki umat Islam; pemimpin dan anggota masyarakat, mendorong mereka bertindak menggunakan kuasa yang dimiliki untuk menghentikan kezaliman.

Penghapusan kezaliman yang dilaksanakan melalui pelbagai cara disasarkan untuk membanteras kezaliman, menginsafkan pelakunya dan seluruh anggota masyarakat, selain mengembalikan ketertiban dalam kehidupan bermasyarakat.

Di samping kuasa, umat Islam memiliki alternatif untuk menggunakan nasihat dan teguran melalui pelbagai wadah bagi menjayakan tanggungjawab menghalang dan menghapuskan kezaliman. Tidak hairanlah mengapa kedua-dua kaedah atau mekanisme kuasa dan nasihat atau kritikan itu lebih utama.

Hal ini disebabkan kedua-duanya melibatkan usaha besar lagi bersepadu segenap lapisan masyarakat untuk mengekalkan kesejahteraan kehidupan bermasyarakat melalui penyuburan akhlak mulia dan pengislahan pelaku kezaliman.

Permasalahan akhlak yang melanda masyarakat kita, tidak terkecuali pemimpinnya, khusus melalui kes terkini itu sewajarnya menyedarkan kita untuk mengambil pengajaran. Faktor utama yang mencetuskan permasalahan akhlak tersebut perlu diteliti dengan mendalam.

Terbukti, hukuman bagi kesalahan yang dilakukan itu semata-mata tidak berupaya mengekang kerakusan hawa nafsu individu yang terbabit untuk bertindak demi kepentingan peribadinya. Sudah tentulah sesuatu yang lebih besar pengaruhnya daripada hukuman diperlukan oleh individu berkenaan untuk membuat ia sedar akan tanggungjawabnya.

Tanggungjawab dan amanah yang kelak dituntut Allah untuk diberi penjelasan serta pertanggungjawaban. Sesuatu itu sudah tentu berkaitan dengan tarbiah (pendidikan) yang akhirnya membuahkan islah (perubahan) terhadap jiwa dan akhlak. Dalam hubungan ini, ibadah merupakan persoalan yang sangat berkaitan.

Pelaksanaan ibadah yang sempurna dan penghayatan terhadap matlamat pensyariatannya membolehkan pengislahan terlaksana dengan sempurna. Sebagai contoh ialah ibadah puasa. Maqasid atau matlamat pensyariatannya bertujuan menyedarkan insan akan kehadiran Allah, memupuk ketaqwaan, dan menundukkan keinginan nafsu yang bersifat infiniti.

Jelas bahawa petunjuk dan jalan telah pun tersedia, ketika kita terbimbing mahupun tersasar. Maka sebaik-baiknya ia dimanfaatkan agar akal sentiasa menguasai nafsu. Demikianlah caranya kita memartabatkan kedudukan akal yang merupakan salah satu kurniaan terbesar Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Wan Roslili Abd. Majid ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan/Rencana/20140923

Tags: nafsu
Subscribe

  • Kaligrafiti Islam 
– luahan generasi muda

    KALIGRAFI dan grafiti merupakan dua jenis seni yang berbeza. Apabila kedua-duanya digabungkan ia menghasilkan satu jenis seni lain yang dipanggil…

  • Journalism: Science, Art and Deadline

    THEY say that the journalist is the first historian and that the writing of the scribe is the first draft of history. In recent weeks, I was engaged…

  • Seni aliran ekspresionisme

    Ekspresionisme adalah kecenderungan seorang seniman untuk merealisasikan kenyataan dengan efek-efek emosional. Istilah emosi ini biasanya lebih…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments