kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Persaingan sihat yang menguntungkan rakyat

MINGGU lalu, kita menyaksikan pelancaran model terbaharu kereta Axia, keluaran syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua). Minggu ini pula atau dengan lebih tepat lagi esok, Proton Holdings Berhad (Proton) akan melancarkan kereta terbaharu keluarannya.

Ini bermakna, selama dua minggu berturut-turut, dua syarikat automotif Malaysia mengeluarkan kereta terbaharu mereka untuk rakyat Malaysia.

Dalam konteks lebih jauh lagi, kedua-dua syarikat ini secara berterusan sedaya upaya mengukuhkan lagi kedudukan jenama syarikat mereka di dalam sanubari rakyat Malaysia. Dunia globalisasi menuntut setiap syarikat bersaing sesama sendiri. Malah, dunia tanpa sempadan ini membuatkan setiap penduduk dunia terpaksa bersaing bagi mencapai cita-cita masing-masing.

Kita tidak boleh lari daripada persaingan. Mahu tidak mahu ini adalah rencah kehidupan masa kini. Cuma apa yang perlu diselitkan dalam persaingan sengit tatkala ini, biarlah ia berada dalam keadaan sihat. Dalam erti kata lain, setiap syarikat dan individu diberi peluang seluas-luasnya untuk bersaing tanpa adanya sekatan, penindasan mahupun halangan yang sengaja diada-adakan.

Perodua dan Proton, dua jenama Malaysia yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Jenama-jenama ikonik ini telah, sedang dan akan terus meletakkan nama negara kita bukan setakat di Malaysia tetapi juga di dunia antarabangsa. Lebih-lebih lagi, banyak syarikat automotif gergasi yang telah lama bertapak di peringkat antarabangsa.

Jenama-jenama ini datangnya daripada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman, maka mahu tidak mahu, Perodua dan Proton perlu sentiasa mengekalkan daya saing pada tahap terbaik.

Sebelum kedua-dua syarikat ini menongkah ke hadapan untuk mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa, kedudukan mereka di Malaysia perlu dipertahankan.

Persaingan secara sihat memberi keuntungan kepada pengguna dan rakyat Malaysia. Dari segi teknologi dan reka bentuk mengikut cita rasa pembeli menjadi satu kemestian bagi setiap syarikat automotif dalam mengeluarkan kereta terbaharu mereka.

Persaingan yang sihat juga akan menjurus kepada persaingan dalam bentuk perkhidmatan selepas jualan dan juga harga yang lebih kompetitif. Pengguna tidak akan memperoleh sebarang kebaikan jika produk yang dikeluarkan dimonopoli oleh sesuatu pihak sahaja.

Ini bukanlah persaingan yang sihat apabila ada segelintir syarikat, usahawan dan peniaga memonopoli rantaian bekalan sampaikan segala-galanya ditentukan oleh mereka termasuklah dalam penetapan harga produk dan perkhidmatan.

Ambil contoh di negara kita semasa di musim perayaan, ada sahaja alasan yang diberikan oleh golongan ini bagi menaikkan harga barangan terutamanya barangan keperluan pengguna. Perkara ini diulang tayang setiap kali di musim perayaan tanpa ada noktahnya.

Hakikatnya, di Malaysia terlalu banyak sektor perniagaan yang dimonopoli oleh pihak tertentu. Mereka inilah antara punca utama kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Alasan yang tidak logik pun dirasionalkan demi keuntungan diri sendiri.

Banyak syarikat berskala kecil dan baharu sahaja ditubuhkan tidak mampu memasuki rantaian bekalan dek kerana golongan monopoli ini yang terlalu kuat dalam rantaian itu. Mereka bermain dengan harga dan menekan rakyat bawahan.

Sebab itulah selain kita membantu usahawan baharu melalui dana atau sumber kewangan, usah dilupakan bantuan dalam bentuk 'rantaian bekalan' demi kelangsungan perniagaan baharu ini pada masa hadapan.

Persaingan sihat juga perlu berpaksikan dalam bentuk pelaburan yang memberi manfaat balik kepada pengguna dan rakyat. Misalnya, keghairahan syarikat-syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur di luar negara mungkin boleh memberi kesan negatif kepada negara.

Ada benarnya, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa pelaburan sedemikian perlu diteliti semula berpandukan kerisauan prospek masa hadapan.

Kita lihat China pun bakal menghadapi prospek pertumbuhan yang agak perlahan di masa hadapan. Pelaburan yang agresif di luar negara berkemungkinan mendatangkan risiko tinggi dan akhirnya memudaratkan GLC dan GLIC. Perlu diingat, pemegang saham utama GLC dan GLIC adalah rakyat Malaysia. Penilaian yang salah boleh mendatangkan kerugian kepada negara.

Lebih baik GLC dan GLIC yang mempunyai dana yang cukup banyak membantu rakyat Malaysia dengan membina rumah mampu milik dan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia. Bersaing secara sihat dengan syarikat-syarikat perumahan lain yang selama ini meletakkan harga rumah dengan keterlaluan sehingga menyusahkan rakyat Malaysia.

Daripada membeli hartanah di luar negara yang berisiko tinggi, lebih baik GLC dan GLIC yang ditubuhkan untuk membantu rakyat Malaysia membeli hartanah di Malaysia daripada jatuh ke tangan pihak lain. Pada masa sama, pelaburan membeli tanah-tanah yang strategik perlu dipergiatkan lagi agar tanah-tanah ini tidak dibangunkan demi tujuan komersial keterlaluan oleh pihak-pihak tertentu.

Dengan cara persaingan sihat, menghapuskan segala bentuk monopoli dan kartel, baharulah pihak yang terlalu pentingkan diri sendiri bertemu buku dengan ruas. Dalam tempoh jangka masa panjang, rakyat juga yang akan memperoleh keuntungan.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140924

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments