kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lupakan 'si nila' pulihkan semangat murid

LUPAKAN nila. Dalam isu kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor, bukan sebelanga tetapi selautan susu telah rosak. Polis akan mengurus 'si nila' terlibat. Tahulah nasib mereka setelah dibawa ke muka pengadilan nanti.


Sekarang masa untuk bergerak ke hadapan. Bukan masa untuk terus berdukacita dan meratapi apa yang telah berlaku. Menuding jari kepada Kementerian Pendidikan semata-mata tidak adil. Isu ini adalah soal amanah dan integriti. Jika setiap pegawai yang diberi tanggungjawab berpegang kepada amanah, insya-Allah perkara itu dapat dielakkan.

Sebenarnya sejak hari pertama diumumkan bocor, hampir kesemua sekolah sudah bertindak. Dalam suasana ketidaktentuan itu, kebanyakan sekolah sudah merangka perancangan untuk calon UPSR masing-masing.

Pertama, semangat murid mesti dipulihkan. Betapa ramai yang sugul setelah berhempas pulas mentelaah. Sebahagian besar khususnya yang 'menyerahkan seluruh jiwa raga' kepada peperiksaan ini 'terduduk' dan hampir berputus asa sejurus selepas mendengar berita beberapa mata pelajaran tertentu dibatalkan.

Pihak sekolah dan guru apatah lagi. Bertahun merancang dengan macam-macam program tetapi pengakhiran sebegitu jadinya. Banyak program lain yang sepatutnya dijalankan selepas ujian itu turut terbantut. Mujurlah kebanyakan sekolah tidak panik.

Di tengah-tengah kekecohan dan perbincangan tentang soalan bocor masih panas, banyak sekolah secara diam-diam sudah menganjurkan program motivasi. Tujuannya bagi mengembalikan 'semangat yang hilang' dalam kalangan murid-murid. Program makan angin yang dirancang diteruskan seperti biasa. Program itu secara tidak langsung menjadi antara aktiviti pemulihan semangat murid. Kelas-kelas tuisyen tambahan diteruskan sehingga sekarang.

Guru-guru terlibat berkorban masa dan tenaga bagi mengembalikan semangat murid untuk berhadapan dengan peperiksaan itu sekali lagi. Membaca kisah bagaimana sekumpulan guru meredah hutan bagi memujuk anak-anak murid yang tinggal di pedalaman atau perkampungan Orang Asli kembali ke sekolah amat menyentuh hati.

Sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan Sungai Mas, Sungai Lembing, Pahang dan pegawai pelajaran masuk ke perkampungan Orang Asli untuk `mencari' murid bagi memastikan mereka menduduki semula UPSR. Jumlah calon Orang Asli di sekolah tersebut tidak ramai pun, hanya 11 orang.

Bagaimanapun Guru Besar sekolah itu Saudi Jamil dan beberapa guru lain tetap menjejaki setiap rumah mereka untuk bertemu dengan ibu bapa calon. Saudi mahu kesemua 11 anak muridnya itu menduduki ujian tersebut.

Mereka tidak mahu anak murid ke hutan berburu ketika peperiksaan tersebut diadakan.

Mereka mahu memastikan kumpulan ini tidak tercicir.

Kisah yang sama juga sudah pasti berlaku di sekolah-sekolah pedalaman lain seperti di Sabah dan Sarawak. Murid-murid yang tinggal jauh di pedalaman dikumpulkan dan tinggal di sekolah masing-masing sepanjang musim peperiksaan. Guru-guru terlibat meluangkan masa memberi kelas tambahan dan tinggal bersama-sama murid sepanjang tempoh itu.

Walaupun terpaksa mengulangi sekali lagi peperiksaan yang sama, guru-guru di sekolah-sekolah sedemikian tidak mengeluh jauh sekali merungut.

Tinggal beberapa hari lagi, murid-murid akan menduduki semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris. Waktu mungkin semakin suntuk, tetapi masih tidak terlambat untuk semua pihak guru, ibu bapa untuk membantu murid-murid terlibat. Sekurang-kurangnya membantu mereka kembali kuat, bersemangat dan tenang ketika menduduki UPSR.

Sekolah, guru dan ibu bapa kena reda dengan apa yang telah berlaku. Janganlah menambah tekanan kepada anak-anak. Murid-murid pada usia seputih susu itu tidak wajar dibebani dengan harapan terlalu menggunung. Yang paling penting sekali ialah menerima apa sahaja bentuk keputusan murid nanti.   Rozaman Ismail Utusan/Rencana/20140927

Tags: assessment, pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments