kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sistem peperiksaan UPSR mendorong kebocoran?

Apabila tercetusnya isu kebocoran kertas soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang 'menggegarkan' negara baru-baru ini, perkara paling penting ditanya adakah ini mempunyai kaitan dengan sistem peperiksaan tahap berkenaan? Kita juga mesti curiga dan tertanya-tanya apakah yang membuatkan kertas soalan UPSR menjadi begitu penting hingga ada yang sanggup memijak etika moral dan membocorkannya? Kemaruk A sangat nampaknya.


Kalau kejadian ini disebabkan tidak amanah, polis telah bertindak memburu dan menangkap 14 orang setakat ini. Tetapi bagaimana pula faktor-faktor lain misalnya kemungkinan disebabkan sistem peperiksaan UPSR yang memberikan nilai A lebih besar daripada matlamat melahirkan generasi yang tahu memanfaatkan potensi diri seawal usia 12 tahun?

Walaupun banyak tangkapan dibuat tetapi itu tidak menyelesaikan masalah kemaruk A. Sebab isunya bukan kebocoran. Ia dibocorkan kerana sistem peperiksaan memberikan 100 peratus kepada akademik yakni ujian berformat objektif. Kertas soalan tidak bocor atau kalau dibocorkan sekalipun tidak menjejaskan peperiksaan kalau sistem peperiksaan tidak sepenuhnya berteraskan format objektif.

Maka yang perlu dipersoalkan adakah sistem peperiksaan UPSR relevan dengan tuntutan semasa? Kita memerlukan generasi baharu yang bukan sahaja mendapat banyak A tetapi kualiti sahsiah dan dapat menzahirkan potensi diri. Sesetengah pihak ghairah dengan tangkap sana dan tangkap sini. Tetapi pada masa sama tidak mengkaji faktor-faktor yang memungkinkan wujud kecenderungan untuk membocorkan soalan. Sebabnya dikhuatiri kebocoran ini berpunca daripada sistem yang menekankan akademik semata-mata.

Belum pernah berlaku (berpandukan tiada laporan dalam media) tentang kebocoran soalan peperiksaan untuk murid seawal usia 12 tahun. Ini adalah kes pertama kertas soalan murid tahun enam dibocorkan. Saya berpendapat ini ada kena mengena dengan sistem peperiksaan yang memaksa sesetengah ibu bapa menjadi mangsa sindrom A yang dianggap skala kejayaan dasar pendidikan kita.

Banyak soalan yang perlu ditanya melampaui tangkapan demi tangkapan. Kerana itu, kebocoran ini bukanlah perkara besar walaupun yang melakukannya terlibat kesalahan besar. Tangkapan yang begitu banyak tidak perlu menjadi tanda aras kebertanggungjawaban pihak Kementerian Pendidikan. Sepatutnya sudah ada bedah siasat tentang sistem peperiksaan UPSR yang membuatkan sesetengah ibu bapa begitu kemaruk mahu anak mendapat A terbanyak.

Pada sudut positifnya, kebocoran kertas soalan itu boleh dijadikan satu titik mula untuk melakukan anjakan dalam sistem peperiksaan UPSR. Di sebalik kekecewaan banyak pihak ada hikmah yang jauh lebih besar iaitu membuka satu dimensi baharu menggantikan sisi lapuk sistem peperiksaan UPSR yang tidak ubah pesta sukan, siapa memenangi pingat emas terbanyak dialah yang hebat.

Tangkaplah berapa banyak sekalipun, masalah ini tidak akan selesai kalau sistemnya tetap sama. Sistem yang ada pada hari ini yang mendorong orang membocorkan kertas soalan peperiksaan. Malah sistem itu juga yang memaksa ibu bapa merasakan gelaplah masa depan anaknya kalau jumlah A dalam UPSR sedikit. Ini adalah kesan daripada penekanan yang melampau bahawa kecemerlangan hanya kepada akademik dan mendapat A adalah segala-galanya.

Sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa, ujian akademik menyumbang 100 peratus dalam UPSR sudah ketinggalan zaman. Perlu ada nisbah tertentu antara akademik dan kokurikulum misalnya 60 akademik dan 40 kokurikulum, kalau nisbah 50-50 akademik dan kokurikulum dianggap ekstrem. UPSR perlu dianjak seperti Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun ini.

Difahamkan PT3 tidak berteraskan akademik sepenuhnya tetapi turut dinilai penglibatan murid dalam sahsiah dan keterampilan dalam aspek kepimpinan. Murid yang mengambil UPSR adalah rebung yang perlu dilenturkan untuk melahirkan generasi yang intelek, cemerlang dalam akademik dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi. Wawasan 2020 tidak memerlukan manusia menjadi robot, nipis jiwa manusia, tidak kreatif dan patuh tanpa fikir. Ini bukan sifat generasi yang kita inginkan pada masa depan.

Kokurikulum juga mesti diperluaskan ruang litupnya bukan sahaja sukan dan pasukan berunifom tetapi merangkumi program bercorak debat, berteater, kegiatan apresiasi terhadap seni dan budaya kerana semua ini menyumbang kepada kecemerlangan yang lebih menyeluruh kepada kejayaan murid. Apabila dikatakan berteater, bukanlah bermaksud melatih murid menjadi artis. Tetapi kemahiran berteater boleh membina personaliti selain petah dan yakin kepada diri sendiri. Maknanya murid yang cemerlang bukan sahaja banyak A yang dikumpul tetapi celik seni dan budaya, yakin diri dan bijak memanfaatkan pemikiran.

Persepsi bahawa A ialah skala kecemerlangan adalah tidak betul. Malah ini telah memangsakan anak-anak kita seawal usia 12 tahun lagi. Hujah yang sama saya bangkitkan dalam satu mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) apabila ada sesetengah pihak memaksa murid mendapat A untuk Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) mereka.

Banyak pihak yang berkemungkinan mendapat manfaat daripada pencapaian murid-murid UPSR mengumpul A. Kita mesti memastikan anak-anak kita bukan jambatan pihak tertentu untuk mencatat KPI termasuk dalam politik. Kalau sistem tidak berubah, tahun depan bocor lagi dan tangkap lagi dan kecoh lagi.   Ku Seman Ku Hussain Utusan/Rencana/20140928

Tags: assessment, pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments