kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jamil angkat karya sastera

PEMERGIANNYA pada malam Khamis lalu akibat angin ahmar adalah kehilangan yang sangat dirasai oleh penggiat-penggiat industri filem tempatan. Allahyarham Jamil Sulong seorang pengarah perfileman Melayu yang berkaliber telah mengubah geografi industri perfileman negara sejak era Studio Jalan Ampas di Singapura tahun 1950-an. Jiwanya yang rapat dengan sastera menjadikan sebahagian besar daripada filem arahannya mempunyai nilai seni yang tinggi serta mendalam maknanya.
Jamil Sulong


  1. Born: August 6, 1926  -  September 25, 2014   (age 88), Batu Pahat, Malaysia



  2. Children: Murniaty Jamil, Arjunaidi Jamil, Dr Anwardi Jamil dan Asnadi Jamil.

Bermula sebagai penterjemah di Singapura pada 1950, Jamil semakin dikenali dan kemudiannya telah diangkat sebagai penolong pengarah pada tahun berikutnya. Barangkali banyak yang tidak tahu Jamil adalah antara ahli terawal dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

Tokoh-tokoh yang terlibat sama dalam gerakan kesusasteraan ini ialah Usman Awang, Abdul Samad Ismail, Keris Mas, Jimy Asmara, Masuri SN, dan Asraf. Walaupun Jamil tidak dikenali sebagai sasterawan, namun penglibatannya dalam ASAS 50 membuktikan bahawa beliau seorang pejuang sastera pada era tersebut.

Pengaruh sastera yang kuat dalam dirinya membuatkan setiap karya filem yang dihasilkannya berlainan jika dibandingkan dengan karya-karya pengarah-pengarah yang seangkatan dengannya. Elemen sastera menjadi kunci setiap cerita filem arahannya terutamanya yang diadaptasi daripada cerita rakyat seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Si Tanggang dan Raja Bersiong.

Ubah budaya India

Perfileman Melayu pada zaman awal banyak menggunakan format cerita dari India. Ini kerana kebanyakan pengarah terawal dibawa dari India oleh kapitalis Cina dari Hong Kong antaranya yang dibawa ke Singapura antaranya B.S Rajhan, L. Krishnan, Phandi Majundar dan banyak lagi.

Namun selepas kehadiran Jamil dalam industri filem Melayu beliau telah mengubah persepsi dari tema kasta atau darjat kepada kisah yang diangkat daripada cerita rakyat. Ini dibuktikan menerusi filem Batu Belah Batu Bertangkup yang lari jauh daripada imej filem India.

Mengambil daripada kisah sastera Melayu, Jamil bijak mengekspresikan sastera rakyat itu ke filem. Budaya Melayu semakin berkembang dalam setiap filem arahannya termasuk Si Tanggang dan Raja Bersiong. Jiwa sastera yang ada dalam dirinya membuatkan setiap filem yang diadaptasi ibarat filem ciptaannya sendiri. Ini diakui sendiri oleh pengkritik filem, A. Wahab Hamzah. Jelasnya kehebatan ilmu sastera yang ada dalam jiwa Jamil membuatkan setiap cerita rakyat yang diadaptasi beliau mempunyai nafas yang baru.

"Sekiranya filem seperti Batu Belah Batu Bertangkup dan Si Tanggang tidak diarahkan oleh Jamil, saya rasa filem tersebut tidak seperti yang kita saksikan.

"Lihat sahaja kekuatan kedua-dua filem tersebut, nilai sastera yang mendalam membuatkan kita lupa bahawa filem tersebut diambil daripada kisah rakyat dan bukannya dicipta oleh Jamil," jelas Wahab ketika dihubungi Mingguan Malaysia kelmarin.

Menghidup suasana suram

Filem Melayu pada akhir 1970-an merupakan era suram. Namun dengan kehebatan yang ada dalam diri Jamil, suasana suram itu kembali ceria dengan hadirnya filem Permintaan Terakhir. Sebelum itu kebanyakan filem Melayu masih lagi leka dengan kisah-kisah cinta dan isu-isu remeh masyarakat, namun Jamil sudah mula membuat langkah baru apabila mengetengahkan isu-isu remaja.Bermula daripada Permintaan Terakhir ini, barulah muncul filem-filem seperti Jiwa Remaja, Semalam Di Malaysia, Sayang Anakku Sayang dan Cinta Dan Lagu.

Kehebatannya dalam memperkenalkan genre baru filem tempatan bukan sahaja menjadi ikutan kepada pengarah-pengarah lain tetapi isu remaja yang dibawa melalui filem-filem arahannya sendiri telah membuka mata masyarakat terhadap isu yang dibawanya itu. Bukan itu sahaja, melalui filem-filem inilah nama-nama seperti Hail Amir, Uji Rashid dan Yusuf Haslam telah dicungkil dan menjadikan industri perfileman ketika itu kembali meriah.

Filem Ranjau Sepanjang Jalan yang diadaptasi daripada novel judul yang sama karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad juga merupakan sebuah filem yang menarik untuk diperkatakan. Walaupun Jamil mendapat kritikan yang hebat terhadap filem arahannya itu kerana dikatakan tidak meletakkan pelakon yang sepatutnya untuk memegang watak utama, namun Ranjau Sepanjang Jalan di tangannya dianggap berjaya.

Pengarah filem, Mior Hashim Manaf menyifatkan filem Ranjau Sepanjang Jalan antara filem adaptasi yang berjaya pernah dihasilkan oleh industri kita. Filem itu mendapat anugerah Cerita Luar Bandar Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-28 di Taipei 1983.

"Walaupun mendapat kritikan yang hebat terhadap filem itu, namun apa yang dilakukan oleh Jamil merupakan satu perkara yang amat membanggakan sehingga berjaya mendapat anugerah di luar negara.

"Usaha yang dilakukan oleh Jamil sepatutnya dipuji kerana beliau telah berjaya mengangkat seni sastera Melayu kepada tahap yang cukup tinggi," katanya.

Penulis lirik lagu

Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang kebolehan lain selain mengarah filem, Jamil merupakan antara penulis lirik lagu Melayu yang cukup aktif. Rata-rata lirik lagu ciptaannya dijadikan lagu-lagu tema filem antaranya Azizah yang dijadikan sebagai lagu tema filem Penarik Becha. Kebanyakan lirik lagu nyanyian P. Ramlee ialah ciptaan Jamil. Lirik lagu Berkorban Apa Saja, Tiada Kata Secantik Bahasa cukup sinonim dengan P. Ramlee.

Antara lirik lagu lain yang turut dicipta oleh Jamil ialah Selamat Hari Raya Aidilfitri, Tiru Macam Saya dan Merak Kayangan. Nama yang paling banyak tersenarai sebagai penulis lirik bagi lagu-lagu P.Ramlee ialah S. Sudarmaji diikuti oleh Jamil sendiri. Populariti lagu-lagu itu berjaya menaikkan nama P.Ramlee dan filem-filem yang memuatkan lagu berkenaan.

Sayangnya ketika lagu-lagu itu berkumandang, ramai yang tidak menyedari lirik yang puitis tersebut ialah hasil karya Jamil. Malah, hubungannya yang rapat dengan P. Ramlee membuatkan pengarah filem itu yakin karya-karya Jamil untuk dijadikan lagu tema filem-filem arahan P. Ramlee.

Jamil pernah meluahkan kesedihan apabila orang lebih mengenali P. Ramlee berbanding orang yang berkerja di sebalik tabir. Mungkin kerana populariti P. Ramlee membuatkan orang ramai menyangka lirik lagu-lagu itu ialah hasil ciptaan P. Ramlee tanpa mengetahui ia sebuah karya bermakna daripada seorang yang bernama Jamil Sulung. Dengan ilmu sastera yang tinggi, kebanyakan lirik ciptaannya cukup indah dari segi bahasa serta pengamatannya cukup mendalam, itulah kelebihan yang ada pada Jamil.

Selain itu, Jamil juga turut menulis buku. Kali terakhir beliau menghasilkan buku Jamil Sulong: Warisan dan Wawasan dan Kaca Permata : Memoir Seorang Pengarang yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2008. Beliau turut menulis cerpen, sajak dan melukis komik dan menyertai Ikatan Persuratan Melayu (IPM) di Melaka bersama dengan Usman Awang, Yusof Harun, Mokhtar Yasin dan banyak lagi.

Semasa menjadi penolong pengarah filem di Singapura pada tahun 1951, beliau bertemu dan berkahwin dengan Rosnani. Kemudian beliau dilantik menjadi pengarah filem pada November 1958. Beliau ikut menubuhkan persatuan artis PERSAMA, bersama dengan P.Ramlee dan artis lain di Jalan Ampas. Pada tahun 1967, Jamil berpindah ke Kuala Lumpur setelah 16 tahun di Singapura.

Beliau seterusnya mencatatkan pengalaman dalam bidang perfileman yang merupakan nadi kehidupannya. Jamil meneruskan perjuangannya dalam filem secara aktif hingga tahun 1997 dengan filem terakhirnya Raja Melewar.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham yang berusia 88 tahun mengarahkan 26 filem. Walaupun P. Ramlee dikatakan pengarah terhebat negara ini tetapi bagi beberapa pengkaji dan pengkritik, banyak juga filem arahan Jamil mengatasi P. Ramlee.

Jiwa sastera antara membuatkan filem-filem Jamil lebih berseni ada kehalusan berbanding sesetengah filem P. Ramlee. Jamil juga sangat menjaga bahasa dalam filem-filemnya kerana baginya bahasa itu jiwa bangsa. Tidak seperti filem P. Ramlee yang agak kasar bahasanya terutama filem-filem komedi. Jamil telah meninggalkan kepada kita khazanah sastera rakyat yang telah diangkat ke filem. RASDAN AHMAD rasdan_utusan@yahoo.comUtusan/Rencana/20140928

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments