kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perginya Pak Jamil

Masih jelas terbayang wajah ceria dan bahagia pasangan ini ketika diraikan keluarga dan teman sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-60 pada 9 November tahun lalu.

Dua insan bertuah yang melangsungkan perkahwinan pada 12 November 1953 ini ialah Datuk Jamil Sulong dan Datuk Rosnani Jamil.

Undangan daripada Rosnani yang mesra dengan panggilan Mak Nani ke majlis yang berlangsung di Restoran Saloma Bistro, Jalan Ampang itu ibarat satu perhormatan buat saya untuk turut sama meraikan hari bersejarah mereka bersama tetamu lainnya.

Duduk di kerusi roda dan dikelilingi tetamu, Pak Jamil tetap ramah dan sabar melayan tetamu yang i­ngin mengabadikan gambar bersama.

Dikurniakan empat anak iaitu Murniaty, Arjunaidi, Anwardi dan Asnadi, pasangan ini mempunyai impian tinggi menggunung untuk melihat anak mereka belajar hingga ke peringkat lebih tinggi.



MAK Nani dan Pak Jamil ketika diraikan sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-60, tahun lalu.
Bagi saya, pasangan ini sungguh istimewa. Bukan hanya kerana mampu mempertahankan ikatan perkahwinan lebih 60 tahun, malah membuktikan anak seni mampu membesarkan anak menjadi insan berguna.

Dikurniakan empat anak iaitu Murniaty, Arjunaidi, Anwardi dan Asnadi, pasangan ini mempunyai impian tinggi menggunung untuk melihat anak mereka belajar hingga ke peringkat lebih tinggi.

Tidak ramai anak rakan mereka berjaya melanjutkan pelajaran, malah ramai menjadi pelakon tambahan ketika itu.

Kata Mak Nani, mereka dicemuh rakan apabila tidak membenarkan anak menjadi pelakon tambahan sebagaimana anak rakan lain.

Walau sesibuk mana pun, Mak Nani dan Pak Jamil sanggup bergilir-hilir menghantar anak mereka ke sekolah dan tidak sekali-kali melepaskan mereka menaiki bas sendirian.

Berkongsi detik bahagia hidup bersama, Mak Nani mengatakan mereka adalah dua individu yang sangat berbeza, ibarat siang dan malam. Pak Jamil yang dipanggil abah, suka duduk di rumah dan tidak suka berkawan, berbeza de­ngannya.

Mak Nani yang dilahirkan di Kampung Sungai Geringiang, Padang, Indonesia pada 20 Januari 1936, disatukan dengan Pak Jamil dari Parit Sulong, Johor di Boon Teck Road, Singapura pada 12 November 1953 selepas lebih setahun mengenali hati budi.

Ketika itu usia Mak Nani baru 18 tahun dan meniti zaman kegemilangan sebagai bintang filem, manakala Pak Jamil yang beza usia 10 tahun adalah penolong pengarah.

Kata Mak Nani, ia bukan cinta pandang pertama atau cinta agung seperti kisah Uda dan Dara, tetapi mereka saling mengenali kerana tinggal berjiran di kawasan perumahan yang menempatkan anak seni.

Sebagai bintang filem diminati ramai, Mak Nani diberi satu lot rumah sebaris dengan pelakon wanita lain seperti Kasma Booty, Siput Sarawak dan Maria Menado (Datuk) manakala Pak Jamil tidak jauh dari rumahnya yang dihuni bersama rakan bujang lainnya.

Rumah Mak Nani sering menjadi tempat mereka melepak, termasuk Pak Jamil, kerana neneknya suka memasak. Apabila Mak Nani belajar kelas malam, Pak Jamil sanggup menemaninya kerana bimbangkan keselamatannya.

Abangnya menyarankan mereka disatukan memandangkan ketika itu ramai melamar adiknya. Mereka akur dan disatukan di kuarters itu. Ketika itu Mak Nani berlakon filem Airmata dan Pak Jamil sebagai penolong pengarahnya.

Pada usianya kini, Mak Nani bersyukur diberi kesihatan yang baik supaya dapat menjaga suami yang kurang sihat. Katanya, segala suka duka dilalui bersama, segala jerih payah diharungi jua dalam memastikan ikatan suci yang terjalin terus mekar.

Mereka juga saling melengkapi satu sama lain dalam meniti usia senja. Doa dan harapannya cuma satu, supaya perkahwinan mereka kekal hingga ke akhir hayat.

Tanggal 26 September 2014 menjadi detik perpisahan buat dua insan ini apabila Pak Jamil menghembuskan nafas terakhir di sisi Mak Nani dan anak di rumah Arjunaidi di Bukit Utama, Damansara akibat serangan angin ahmar.

Allahyarham yang berusia 88 tahun menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 28 Ogos lalu dan koma sejak tiga minggu lalu. Bagaimanapun, doktor membenarkan keluarga membawanya pulang dari PPUM jam 11 pagi, Khamis lalu.

Ketika itu difahamkan, ke­adaannya stabil walaupun dalam keadaan koma tetapi tiba-tiba sesak nafas dan meninggal dunia jam 9.35 malam dalam keadaan tenang.

Jenazah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Al-Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Bentong, Pahang, selepas solat Jumaat.



MAK Nani menyiram pusara suaminya di Tanah Perkuburan Janda Baik.
Anak kedua, Anwardi, 55, reda dengan pemergian ayahnya yang disifatkan pergi dengan cara yang baik, sangat mudah dan pada malam Jumaat, 1 Zulhijjah.

“Kami terima seadanya kerana Allah SWT lebih sayangkannya,” katanya.

Jenazah dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan di Masjid Al-Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Bentong, Pahang, selepas solat Jumaat.

Difahamkan, Allahyarham mahu bercuti di rumah mereka di Janda Baik tetapi tidak kesampaian apabila diserang penyakit angin ahmar.

Dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor pada 6 Ogos 1926, Allahyarham adalah anak Melayu ketiga diberi kepercayaan mengarahkan filem Melayu di MFP, Si­ngapura selepas P Ramlee dan Haji Mahadi.

Filem pertamanya, Batu Belah Batu Bertangkup dihasilkan pada 1957, diikuti filem klasik Si Tanggang dan Lela Manja.

Allahyarham adalah pengarah filem Melayu kedua paling ba­nyak mengarah filem (26 filem) dan karyanya paling banyak merangkul anugerah di persada antarabangsa.

Antara filemnya yang terkenal ialah Bidasari, Raja Bersiong, Gerak Kilat, Jiwa Remaja, Sayang Anakku Sayang, Jasmin dan Ranjau Sepanjang Jalan. Filem lain ialah Batu Belah Batu Bertangkup, Raja Laksamana Bentan, Si Tanggang dan Lela Manja.

Selain bidang perfileman, Allahyarham dikenali sebagai penulis lirik untuk lagu nyanyian Seniman Agung Tan Sri P Ramlee. Antaranya Berkorban Apa Saja, Tiru Macam Saya, Engkau Laksana Bulan, Merak Kayangan, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Azizah.

Allahyarham menerima gelaran Datuk pada 2001 dan pernah menghasilkan buku memoir Kaca Permata yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hanya Anwardi mengikut jejaknya sebagai pengarah manakala seorang cucunya, Diandra Arjunaidi meminati muzik. Arjunaidi menjadi kapten pesawat Penerba­ngan Malaysia (MAS) manakala Asnadi jurutera dan bermastautin di New Jersey, Amerika Syarikat.

Kepulangan Allahyarham satu kehilangan besar dalam industri seni negara dan sukar dicari ganti. Semoga ditempatkan bersama orang beriman. Harian Metro Selebriti 28/09/2014
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments