kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melebihkan tumpuan kepada kebajikan rakyat

SIAPA yang tidak mahu gaji dan elaun dinaikkan? Semua orang mahu! Jadi, apabila tersebarnya khabar angin mengenai kenaikan gaji dan elaun penjawat awam, nescaya penjawat awam tersenyum gembira mengharapkan khabar angin ini benar-benar menjadi berlaku. Dikatakan gaji penjawat awam bagi kumpulan sokongan dinaikkan sebanyak RM500 dan RM1,000 untuk golongan pegawai. Khabar angin ini dinafikan sama sekali oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam media massa.


Sebagai ahli akademik dalam bidang perakaunan dan juga kewangan, saya telah membuat pengiraan kasar berapakah jumlah wang yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada penjawat awam bagi merealisasikan kenaikan gaji dan elaun ini. Ambil sahaja jumlah RM500 dinaikkan untuk semua kakitangan awam yang berjumlah 1.4 juta orang, jadi sebanyak RM700 juta sebulan pertambahan pembayaran gaji penjawat awam. Itu untuk sebulan, kalau setahun jumlahnya RM8.4 bilion!

Jumlah ini hampir menyamai jumlah pertambahan hasil sebanyak RM9 bilion yang bakal dikutip oleh kerajaan pada tahun kedua pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Jumlah RM8.4 bilion ini mengatasi RM3 bilion yang dijangka dikutip oleh kerajaan melalui GST pada tahun 2015, iaitu tahun pertama pelaksanaan GST. Maka, selepas membuat pengiraan itu, saya tidaklah begitu yakin dengan khabar angin yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu sejak dari awal lagi.

Hakikatnya, dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, kenaikan gaji dan elaun sudah tentu membawa berita baik kepada rakyat. Pendapatan rakyat perkara penting dalam pembentukan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi. Ini diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menyampai ucapan pada akhir Mesyuarat Tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) ke-4 di New York, baru-baru ini.

Angka makro mengenai pencapaian ekonomi negara tidak membawa sebarang erti sekiranya rakyat tidak merasai kemajuan negara. Dalam konteks ini, pendapatan rakyat juga perlu dipertingkatkan ke tahap pendapatan tinggi. Tiada gunanya jumlah jutawan dan bilionair Malaysia meningkat kalau majoriti rakyat masih di paras gaji berpendapatan sederhana dan ke bawah. Itu bukan kebanggaan kepada rakyat.

Bajet 2015 perlu mengambil kira isu kos sara hidup dan pendapatan rakyat. Lagi pun, menangani kos sara hidup adalah salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Apakah perancangan-perancangan terbaharu yang akan dikemukakan oleh kerajaan melalui Bajet 2015 dalam menangani kos sara hidup?

Adakah ia berbentuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang? Isu ini kompleks kerana kelemahan penguatkuasaan membuatkan harga barangan dan perkhidmatan naik mendadak sejak kebelakangan ini. Sekali lagi, angka makro dan ekonomi seperti kadar inflasi yang rendah tidak meredakan keluh kesah rakyat betapa kos sara hidup semakin menekan mereka. Rakyat bawahan tidak peduli pun dengan angka-angka sedemikian.

Apa yang mereka pedulikan kehidupan mereka berada dalam keadaan selesa. Lebih-lebih lagi, kerajaan akan memperkenalkan GST bermula 1 April 2015. Memang benar kerajaan akan menguatkuasakan akta berkaitan bagi peniaga yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya atas alasan GST.

Namun, mengikut rekod lepas, kenaikan tetap berlaku meskipun kerajaan memberi amaran! Satu tindakan berkesan dan menyeluruh perlu difikirkan dan dilaksanakan sebelum dan selepas GST dilaksanakan. Usahlah selepas rakyat mengeluh mengenai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, baharulah tindakan dilakukan.

Satu lagi isu besar yang perlu ditangani oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan rakyat adalah berkaitan isu perumahan. Memang ada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu perumahan, namun, usaha ini tidaklah begitu menyeluruh dan konkrit dalam membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah berkualiti dan harganya berpatutan. Dibimbangi, jika isu ini tidak dapat ditangani dengan baik, akan lebih ramai lagi rakyat yang tidak mampu memiliki rumah pada masa akan datang.

Sebab itulah, Bajet 2015 perlu juga menumpukan isu keselamatan rakyat. Itu keperluan asas rakyat yang tidak boleh sesekali dipandang remeh. Suasana yang tidak selamat memberi kesan kepada rakyat dalam menjalani kehidupan seharian.

Ancaman keselamatan yang tidak ditangani dengan baik akan membawa risiko yang tinggi kepada negara. Lihat sahajalah suasana sekarang, pelbagai fitnah dan hasutan bertebaran dalam media sosial yang menggugat kesejahteraan rakyat. Ada pula pihak sanggup menghasut agar Sabah dan Sarawak dibawa keluar dari Malaysia. Rakyat perlu mengambil iktibar apa yang berlaku di Scotland tempoh hari dalam pungutan suara kemerdekaan Scotland.

Kesan ekonomi cukup parah apabila sesebuah negeri atau negara keluar dalam satu kesatuan yang besar. Bukan setakat Sabah dan Sarawak tetapi juga Sememanjung Malaysia juga akan menerima padahnya. Lihat sahajalah apa yang berlaku kepada Kesatuan Soviet selepas berpecah.

Dan lihatlah betapa kuatnya China selepas Hong Kong kembali kepada negara itu dan Jerman selepas Jerman Timur dan Barat bersatu dalam sebuah negara! Satu langkah yang mundur untuk mengeluarkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. Isu sebegini perlu ditangani kerajaan selain isu-isu lain seperti ancaman jenayah jalanan, berat, penyelewengan dan penyakit demam denggi yang semakin ketara meningkat.

Penuhi kebajikan asas rakyat dalam Bajet 2015 sebagaimana diterapkan dalam hierarki keperluan Maslow sebelum kita bercakap mengenai pengiktirafan, rangking dan pencapaian besar yang hanya memenuhi nafsu dan selera segelintir pihak di Malaysia.   Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan,  Kolej Perniagaan (COB),Universiti Utara Malaysia. Utusan/Rencana/20140929

Tags: gaji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments