kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menangani sikap mentaliti silo

BUDAYA kerja berpasukan memang kata-kata ideal dalam pengurusan, apatah lagi bagi platform yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat. Budaya ini selalu dilaungkan sebagai iltizam dalam memastikan masyarakat mendapat kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Namun sejauh mana semangat kerja berpasukan difahami dan dipraktikkan? Benarkah wujud silang komunikasi yang jelas antara jabatan dan agensi kerajaan terutamanya dalam memastikan khidmat terbaik diberikan kepada masyarakat, atau sebenarnya perkhidmatan awam masih tenggelam dalam gejala kerja bersendirian atau Žbudaya silo'ini?

Baru-baru ini TV AlHijrah telah mewawancara Pengarah Bahagian Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail (gambar) bagi mendapatkan pandangan mengenai kritikan-kritikan terhadap perkhidmatan awam yang masih dilihat bertindih-tindih dan kurang penyeragaman dalam memastikan kualiti terbaik serta kos berkesan.

Apakah sebenarnya mentaliti silo?

Mentaliti silo merujuk kepada cara berfikir yang wujud dalam sesuatu organisasi yang dilihat sebagai inward looking dan menghalang usaha untuk berkongsi maklumat dan sumber dengan orang lain atau antara jabatan dalam organisasi tersebut.

Apatah lagi berkongsi maklumat atau bekerjasama dengan jabatan yang datang dari luar walaupun mempunyai matlamat yang sama untuk menangani permasalahan rakyat. Sepatutnya ini tidak berlaku namun masih terjadi disebabkan faktor-faktor sikap. Bagi saya jawapan kepada persoalan ini hanya boleh diatasi jika ada 'budaya semangat kerja sepasukan' atau amal Jamaie yang dianjurkan Islam.

Budaya kerja berpasukan ini apa pula manfaatnya kepada kerajaan?

Bagi kita budaya ini sangat penting. Ia perlu diamalkan dan ia bukan suatu yang baru bagi kerajaan dan telah pun diamalkan sejak sekian lama oleh beberapa agensi dan telah ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memperluaskannya dalam kalangan agensi atau kementerian.

Jika dulu kita kenali sebagai 'Operasi Bersepadu' konsep One Stop dan bermacam lagi yang bersifat operational. Pada hari ini konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diperkenalkan. Faedahnya cukup banyak. Antaranya, dengan konsep perkongsian ini kita dapat menjimatkan tenaga, kerja, masa, modal, kewangan, berkongsi maklumat, kepakaran, tenaga mahir dan bermacam-macam lagi. Akhirnya ia menghasilkan hasil yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

Saya melihat, apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai matlamat Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu, maka budaya ini seharusnya menjadi terasnya.

Faedahnya cukup banyak apabila diwujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Bandar (UTC) berjaya menawarkan perkhidmatan dari banyak agensi kerajaan dan kementerian. Di sini di bawah satu bumbung, rakyat dapat menyelesaikan banyak urusan dengan cepat, selesa dan murah.

Dari segi mentaliti, sejauh mana mentaliti silo harus diubah terutama kepada mereka yang memimpin jabatan yang selama ini dilihat sebagai tidak berkompromi dengan jabatan lain?

Saya akui, walaupun usaha menyema­rakkan semangat budaya kerja sepasukan ini giat dilakukan, namun masih ada kedapatan sikap negatif dan mentaliti silo ini dalam kalangan pemimpin jabatan, agensi dan segelintir pegawai. Ia masih berlaku dalam perkhidmatan awam, badan berkanun dan dalam kalangan GLC. Kenapa ia masih berlaku, bagi saya hanya mereka yang ada jawapannya.

Selagi tidak berubah, maka mereka sebenarnya sedang membuka ruang untuk orang awam melontarkan kritikan, komen liar dan paling berbahaya terdedah kepada fitnah. Sama ada ia berasas atau tidak, itu sudah tidak penting lagi kerana ia sudah terpalit persepsi negatif kepada agensi yang mereka pimpin.

Mungkin orang ramai boleh memberi persepsi buruk dengan menuduh mereka tidak telus, mengamalkan penyalahgunaan kuasa, rasuah, mengutamakan kroni dan macam-macam tuduhan. Ini sudah pasti tidak baik kepada kerajaan. Oleh itu, mentaliti silo ini mesti diubah dan pastinya boleh diubah.

Apakah bidang atau sektor yang mudah difahami rakyat melihat kepada contoh kerjasama yang dimaksudkan, dan akan merugikan kita sekiranya mereka masih mengamalkan mentaliti silo dalam budaya kerja mereka?

Dengan tegas saya sering mengkritik budaya silo dan mentaliti silo ini kerana ia jelas merugikan negara. Kenapa mereka masih mahu bekerja secara nafsi-nafsi, begitu border centric, tidak mahu orang lain tahu urusan mereka, tidak mahu orang lain bagi pandangan walhal budaya kerja sepasukan boleh menawarkan kepakaran, tenaga mahir, jimat kos dan masa. Mereka harus ingat bahawa kita sedang bekerja keras menuju ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Tahun 2020 kian hampir. Cuma berbaki 5 tahun 3 bulan. Banyak sektor atau bidang yang harus kita ukur bagi mencapai tahap status negara maju.

Kita juga mesti melihat indikator lain seperti pencapaian ekonomi berkembang pesat, infrastruktur kita mesti bertaraf dunia, sistem pentadbiran dan pengurusan bertaraf dunia, sistem perundangan, sistem telekomunikasi, sistem pendidikan, sistem pertahanan dan keselamatan serta kebersihan alam sekitar.

Jika ditanya pada saya, sudah pasti kerjasama semua pihak diperlukan untuk menarik pelabur asing, menjaga keselamatan, menyelesaikan isu gelandangan, isu maksiat dan perjudian, memastikan alam sekitar bersih, premis industri dan komersial ke sungai dan laut mencapai air berkualiti standard A, pelupusan sisa pepejal teratur dan berkesan dan lain-lain.

Bagaimana kita hendak mendakwa kita negara maju sekiranya bekalan air bersih di bumi yang menerima hujan lebat antara 2,500mm ke 3,000mm setahun yang dihitung luar biasa banyaknya pun kita masih alami kekurangan air? Ini amat memalukan!

Bagaimana kita hendak katakan kita negara maju jika di muara sungai Selangor airnya hitam, penuh sampah sarap dan busuk pula? Apa kurangnya Sungai Seget di Johor Bharu dan Sg. Juru di Pulau Pinang?

Boleh Datuk berikan contoh bagaimana implimentasi semangat kerja sepasukan yang telah berjaya dihasilkan oleh pasukan Datuk?

Masih segar dalam ingatan saya, apabila saya diarahkan oleh Perdana Menteri dalam minit arahannya supaya saya selesaikan permohonan kemudahan jalan raya dari masyarakat pedalaman di Sarawak lapan hari selepas beliau angkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Jarak jalan dari Long Lopeng ke pedalaman Bunduknur Bekalalan di Miri sejauh lebih 78 kilometer (KM) memang cukup mencabar.

Ketika itu musim hujan, saya dan rombongan terpaksa menyewa tiga buah Toyota Hilux dengan kos lebih RM5,000. Perjalanan mengambil masa 3 hari 2 malam, ternyata kenderaan itu banyak ditolak atau ditarik kerana melalui trek balak. Lebih lima rumah panjang termasuk di Bunduknur kami singgah dan berjumpa komunitinya dibawah pimpinan 'Tuai Rumah Panjai'.

Mereka nyatakan masalah perhubungan terutama jika ada kecemasan ketika wanita hamil hendak bersalin. Harga barangan luar biasa mahal. Harga gas memasak 14kg satu tong RM70, harga simen satu bag RM120! Kenapa harga mahal kerana semua barangan ini dijual mengikut berat disebabkan diangkut ke pedalaman dengan pesawat terbang.

Jika ikut spek biasa, kos untuk membina jalan sepanjang 78KM dengan 9 jambatan dari Long Lopeng ke Bekalalan itu adalah sekitar RM360 juta seperti yang disebut oleh pegawai kerajaan negeri Sarawak. Dengan semangat sepasukan yang kami amalkan bersama Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, ICU JPM, EPU JPM, MINDEF dari Kor Jurutera dan beberapa lagi jabatan maka akhirnya dapat kami siapkan dan tunaikan impian lebih 5,000 penduduk di sepanjang jalan tersebut dalam tempoh setahun sebulan.

Kami gunakan teknologi soil stabilizer dan jambatan moduler dengan kepakaran dari anggota Kor Jurutera pimpinan Leftenan General, Datuk Nasir.

Percayakah anda, kos yang digunakan untuk projek itu diluluskan Perdana Menteri sejumlah RM60 juta tetapi kami siapkan dengan RM52 juta sahaja yang sepatutnya RM360 juta? Saya ingin jelaskan, penduduk di situ mahukan jalan raya yang boleh meng­hubungkan bandar Lawas ke Bakalalan dengan menaiki kereta perodua Kancil dengan selamat bukan dengan kualiti jalan se­perti Lebuh Raya PLUS! Dengan siapnya jalan dan jambatan itu, ternyata penduduk di situ sungguh gembira kerana harga setong gas 14kg turun menjadi RM30 dan satu beg simen menjadi cuma RM25.

Bagaimana pula peranan orang awam?

Dalam konteks projek jalan raya Long Lopeng - Bakalalan ini, kita mendapat kerjasama dan penglibatan tuai rumah panjang dan masyarakat rumah panjang yang sungguh baik. Konsep menjadikan setiap jembatan dan jalan raya itu sebagai jembatan dan jalan raya angkat adalah sebahagian dari rancangan kami, semoga kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri Sarawak, JKR Negeri serta penduduk di situ pastinya akan menjadikan projek ini satu projek yang patut dicontohi.

Oleh itu saya berpendapat, sekiranya konsep dan falsafah semangat kerja sepasukan ini mampu dihayati oleh masyarakat kita, maka banyak lagi bidang boleh kita laksanakan dengan jayanya. Perlu kita ingat, bahawa selain sektor kerajaan dan swasta, ada satu lagi sektor yang kita lupakan iaitu 'sektor masyarakat'.

Jika kita berjaya memberi kesedaran, mendidik, empowered dan mengiktiraf sektor masyarakat dengan betul, maka saya yakin rakyat akan menghargainya dan akan lahirlah satu budaya baru, nilai sense of belonging, sense of duty dan sense of responsibility yang luar biasa dalam kalangan masyarakat.

Apabila ini berlaku, maka masyarakat akan boleh menyumbang tenaga, idea, pengalaman hatta derma demi manfaat masyarakat setempat. Utusan/Rencana/20140929

Tags: mentaliti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments