kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memulihkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat

TATKALA kita memuji langkah dan tindak­an segera serta tegas pihak kerajaan dalam menangani isu soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bocor, apa yang paling penting sekarang adalah langkah yang perlu dilaksanakan untuk memulihkan kembali tahap keyakinan dan kepercayaan ibu bapa, anak-anak dan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara kita.

Kementerian Pendidikan telah bertindak menggantung tugas dua pegawai utama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam tempoh siasatan terhadap kes ini. Selanjutnya, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam Kendalian LPM.

Sementara itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menubuhkan pasukan siasatan khas yang diselaraskan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisiner Gan Kong Meng di mana sehingga kini beberapa individu termasuk seorang Guru Besar ditahan reman untuk membantu menyelesaikan kes ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut membantu dan sedang bekerjasama dengan pihak polis mengikut kepakaran masing-masing. Respon dan tindak balas pihak kerajaan memang cepat dan dilihat berkesan namun apa yang pasti detik hitam dalam peperiksaan UPSR ini telahpun berlaku dan ia sudah tidak boleh dipadam mahupun dipendam lagi.

Hakikatnya, kejadian ini sedikit sebanyak meragut tahap kepercayaan dan keyakinan ibu bapa terhadap sistem kawalan dan pengendalian peperiksaan awam di negara kita. Ini kerana isu kebocoran soalan peperiksaan di negara kita bukanlah suatu perkara yang baharu. Boleh dikatakan hampir setiap tahun isu kebocoran soalan peperiksaan awam ini kedengaran cuma jarang sekali khabar angin itu disahkan oleh pihak berkuasa hingga terpaksa membatalkan kertas peperiksaan tertentu sama seperti dalam kes peperiksaan UPSR tahun ini.

Justeru kejadian terbaru ini yang melibatkan peperiksaan UPSR jelas mengeruhkan lagi keadaan kerana masyarakat tertanya-tanya kenapa ada pihak yang sanggup untuk membocorkan soalan ini yang hanya melibatkan anak-anak kita di tahun enam. Perlu diingat ini hanyalah UPSR dan bukannya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang jauh lebih signifikan dan bakal menentukan masa depan anak-anak kita sama ada dapat masuk ke universiti ataupun tidak.

Maka pelbagai andaian, teori dan persoalan mula timbul. Apa yang pasti rata-rata semua pihak sedang menuding jari ke arah orang lain atau dalam lain perkataan sedang mencari 'kambing hitam' dalam kes ini. Memang betul ini adalah satu perbuatan yang cukup tidak amanah dan tidak berintegriti. Kepercayaan yang diberi diragut dalam sekelip mata.

Kita juga yakin dan percaya dalangnya mesti terdiri daripada pihak yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan soalan-soalan ini di pelbagai peringkat baik di peringkat membuat soalan, mencetak mahupun mengedar. Memang tidak wajar untuk membuat spekulasi, tuduhan mahupun fitnah namun itulah hakikatnya. Apapun kita tunggu hasil siasatan pihak berkuasa di mana kita berharap pihak yang meragut kepercayaan ibu bapa dan menjejaskan moral dan emosi 473,175 calon UPSR ini diberkas dan dikenakan hukuman yang setimpal.

Sementara itu, apa yang perlu pihak kerajaan terutamanya kementerian dan LPM perlu fokus dan utamakan sekarang ialah memantapkan semula segala proses dan prosedur yang terlibat terutamanya Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam yang digunapakai oleh LPM selama ini.

Walaupun kita dimaklumkan SOP ini sentiasa dikemaskini ternyata kejadian seperti ini membuktikan masih ada kekurangan yang boleh diperbaiki. Dalam hal ini penulis percaya jawatankuasa yang diketuai oleh Tun Zaki ini mampu membantu pihak kerajaan mengatasi kemelut ini untuk jangka masa panjang dengan mengemukakan cadangan dan idea yang bernas dalam tempoh masa tiga bulan yang telah ditetapkan.

Hakikatnya, ibu bapa semua calon UPSR khususnya dan masyarakat umumnya cukup marah dengan kejadian ini. Oleh itu, kerajaan perlu memulihkan kembali keyakinan ibu bapa dan masyarakat supaya imej dan nama baik kerajaan tidak terjejas. Hal ini penting kerana sudah ada pihak yang mula menangguk di air yang keruh apabila meletakkan semua kesalahan ini di bahu pihak kerajaan semata-mata. Kita tidak boleh membenarkan institusi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan LPM dijadikan kambing hitam akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Justeru di samping kita berharap agar ibu bapa dan semua calon UPSR yang terlibat bersabar dan tenang menghadapi situasi ini, kita juga berharap agar pihak kerajaan dapat memulihkan keyakinan ibu bapa dan membuktikan kepada masyarakat bahawa sistem pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam di negara kita masih selamat, telus dan boleh dipercayai.

Semoga semua pihak dapat mengambil iktibar dari kejadian seperti ini supaya perkara ini tidak berulang pada masa depan.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia. Utusan/Rencana/20140929

Tags: assessment, mentaliti, pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments