kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Modal insan di tahap kritikal


KUALA LUMPUR 30 Mac - Kerajaan akan menyemak semula sistem pendidikan bagi melahirkan tenaga kerja yang diperlukan sebuah negara maju dan ganjaran untuk menarik pekerja mahir Malaysia kembali ke negara ini, serta mengekalkan pekerja asing bagi membangunkan tenaga kerja berkualiti.


Pada masa sama, kebergantungan terhadap tenaga kerja tidak mahir asing akan dikurangkan dengan mengenakan peraturan kerja yang setara bagi pekerja tempatan dan asing serta levi bagi pekerja asing tidak mahir sejajar dengan keperluan sektor ekonomi.


Langkah berkenaan merupakan antara tindakan yang digariskan dalam bahagian pertama Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.


MEB memberikan amaran keras bahawa modal insan Malaysia sudah menghampiri "tahap kritikal" kerana kekurangan pembangunan tenaga kerja, sehingga penghijrahan besar-besaran tenaga mahir Malaysia serta pengurangan kemasukan ekspatriat ke negara ini.


Menegaskan bahawa manusia adalah aset paling bernilai dalam persaingan dunia global, MEB menyatakan bahawa Malaysia mesti mengekalkan dan menarik tenaga kerja untuk bersaing pada peringkat rantau dan dunia.


"Malaysia mestilah dilihat oleh rakyatnya dan warga lain sebagai satu negara yang memberi peluang setara untuk mendapatkan kehidupan yang baik dan menyediakan keselamatan, kebahagiaan setiap individu dan keluarga," menurut MEB.


Menurut kajian mengenai iklim pelaburan Malaysia, sejumlah 80 peratus daripada tenaga kerja tempatan mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan rungutan mengenai kekurangan kreativiti serta kemahiran bahasa Inggeris merupakan antara halangan yang dihadapi syarikat-syarikat.

Antara langkah yang dicadangkan oleh MEB adalah:


menyemak semula sistem pendidikan daripada pendidikan secara hafalan kepada pemikiran kreatif dan kritikal;


meningkatkan penekanan untuk memperkenalkan semula kolej latihan teknikal dan vokasional;


meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris;


menyediakan kemudahan mendapatkan pendidikan berkualiti tinggi di kesemua kawasan penempatan;


meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia dengan melanjutkan pendidikan dan latihan;


membentuk jaringan keselamatan bagi pekerja yang diberhentikan;


menjadikan piawaian kualiti antarabangsa dan pensijilan kemahiran secara rasmi;


membenarkan tahap penggajian sebagai gambaran tahap kemahiran;


menyemak semula program sedia ada bagi menarik tenaga kerja mahir Malaysia pulang ke negara ini;


menawarkan status Pemastautin Tetap bagi bekas rakyat Malaysia dan anggota keluarga mereka;


pemantauan berpusat bagi tenaga kerja asing dan ekspatriat bagi membolehkan amalan bersepadu;


prosedur permit kerja dan imigresen yang lebih mudah;


MEB menyatakan bahawa penggunaan lebih ramai tenaga kerja asing akan menambah keperluan bagi rakyat Malaysia untuk meningkatkan kemahiran dan hasil gabungan tenaga kerja global dan tempatan akan menjana pengeluaran lebih tinggi dan membawa kepada kenaikan gaji.


"Satu lagi halangan yang perlu ditangani adalah peraturan persatuan-persatuan profesional yang menghalang pekerjaan tempatan disandang profesional asing.


"Ini merupakan isu kritikal memandangkan dasar-dasar Malaysia yang kebiasaannya dilihat tidak ketat berbanding dengan negara-negara Asia Timur lain. Tanpa kemasukan tenaga kerja asing yang kukuh, syarikat-syarikat tidak mempunyai insentif untuk menggerakkan rangkaian nilai tetapi masih perlu terus berhadapan dengan tekanan kos gaji," menurut MEB.


Bagi mengenepikan gangguan pasaran tenaga kerja yang menghalang pertumbuhan gaji, MEB mencadangkan penyemakan semula perundangan dan rangka kerja bagi amalan pengambilan dan pembuangan pekerja.


Pekerja, dan bukannya kerja, perlu dilindungi menerusi jaringan keselamatan lebih kukuh dan keanjalan pasaran tenaga kerja hendaklah digalakkan manakala kenaikan gaji hendaklah berasaskan pengeluaran dan bukannya peraturan. - Bernama


Sumber : Utusan Malaysia EKONOMI ARKIB : 31/03/2010

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments