Ini kerana UPSR hanya sebagai platform menguji kemampuan pelajar sekolah rendah dan tidak sepenting peperiksaan utama lain. Justeru, tidak wajar isu itu dijadikan polemik sehingga mengganggu sistem peperiksaan negara.
Rentetan itu, ada yang memberi cadangan supaya UPSR dimansuhkan kerana pelajar tetap melanjutkan pengajian di tingkatan satu sama ada mencapai keputusan cemerlang ataupun tidak.
Namun, Kementerian Pelajaran (KP) tetap mengambil keputusan meneruskan UPSR kerana berpendapat, sistem peperiksaan itu boleh menjadi landasan mengukur sejauh mana kemampuan pelajar menguasai proses pembelajaran dan pengajaran sepanjang enam tahun di sekolah rendah.
UPSR hanya tumpu 4 matapelajaran teras WALAUPUN UPSR hanya menumpukan penekanan kepada empat subjek teras namun ia masih mampu memberi maklumat menyeluruh pencapaian pelajar. - Gambar hiasan |
Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Profesor Emeritus Dr Othman Lebar berkata, pihak yang melihat UPSR hanya sebagai satu konflik perlu bijak menilai situasi peperiksaan itu sebagai satu bentuk penilaian prestasi pelajar sedangkan kebocoran soalan berkaitan isu lain.
Beliau berkata, penilaian bagi pelajar di peringkat sekolah rendah perlu bagi mendapatkan maklumat sejauh mana pencapaian mereka, sekali gus memudahkan usaha merancang proses pembelajaran seterusnya.
“Saya setuju UPSR dikekalkan kerana ia masih relevan untuk menilai prestasi pelajar sepanjang tempoh mereka belajar di sekolah rendah.
“Menerusi penilaian ini, masalah mereka boleh diatasi, sekali gus menyediakan platform alternatif bagi proses pembelajaran seterusnya.
“Cuma, UPSR dalam struktur dan bentuk yang ada sekarang perlu diubah supaya penilaian itu dapat menggambarkan prestasi pelajar secara menyeluruh dan tepat sebagaimana dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara,” katanya.
DARI sudut positif, UPSR mampu menggalakkan pertandingan untuk mengejar keputusan lebih baik dan semangat bersaing antara satu sama lain. - Gambar hiasan |
“Di peringkat sekolah rendah, terdapat bentuk pentaksiran lain yang juga mengukur pengetahuan, kemahiran dan nilai pelajar yang dijalankan secara berterusan di peringkat sekolah dan bilik darjah merangkumi mata pelajaran bukan teras.
“Tetapi ia lebih berbentuk ‘low-stake testing’ kerana tidak dijadikan asas untuk membuat keputusan mengenai dasar dan polisi pendidikan.
“Ia lebih tertumpu kepada keputusan di bilik darjah untuk memperbaiki dan meningkatkan pembelajaran pelajar yag boleh digunakan guru dan pelajar,” katanya.
MELETAKKAN harapan yang tinggi pada pelajar juga boleh mengundang impak negatif, sekali gus memberi persepsi berbeza mengenai UPSR. |
“Soalan yang digubal adalah soalan yang menguji kemahiran berfikir seperti menyelesaikan masalah, fikiran kritis dan kreatif kerana akan lebih berbentuk terbuka dan merentas mata pelajaran.
“Ini menggalakkan pembelajaran di sekolah lebih kepada penguasaan berfikir aras tinggi, bukan sekadar menghafal.
“Kita tidak boleh menafikan peperiksaan akan memandu pembelajaran dan pengajaran (exam-driven system) pelajar dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang banyak dipengaruhi bentuk penilaian,” katanya berpendapat, jika soalan peperiksaan banyak tertumpu kepada kebolehan mengingat fakta, maka bentuk pengajaran dan pembelajaran juga bercorak latih tubi.
“Ini menyebabkan pembelajaran pelajar tahun enam lebih sempit kepada kemahiran latih tubi ke atas soalan peperiksaan tahun lalu.
“Ada di antara negara maju dan berpencapaian tinggi juga berorientasikan peperiksaan seperti Shanghai, China dan negara yang dikategorikan negara ‘budaya chopstik’ (chopstick culture) seperti Hong Kong, Taiwan, Korea, Jepun dan Vietnam.
“Tetapi, soalan peperiksaan yang disediakan ba–nyak menguji kemahiran berfikir aras tinggi seperti menyelesaikan masalah, berfikir secara kritis dan kreatif, bukannya kepada soalan berbentuk objektif yang sesuai untuk mengukur kemahiran aras rendah dan sederhana,” katanya.
Kewajaran mengekalkan UPSR, katanya, banyak berkait rapat sebagai alat untuk mendapatkan maklumat mengenai pencapaian dan prestasi pelajar di tahap pendidikan rendah.
Katanya, sistem pendidikan yang berpusat ini amat memerlukan maklumat menyeluruh untuk dijadikan asas membuat keputusan mengenai pendidikan negara.
“UPSR memang memberikan maklumat diperlukan KP untuk menilai keberkesanan sesuatu polisi dan program pendidikan yang dirancang dan dijalankan.
“Namun, sesuatu harus dilakukan bagi mengurangkan tumpuan yang terlalu banyak kepada UPSR. Banyak keputusan yang dibuat di peringkat kementerian dan sekolah perlu mengambil kira maklumat pentaksiran lain,” katanya.
Beliau menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa isu UPSR sebagai remeh.
SEBAGAI pentaksiran ‘high-stakes’, UPSR adalah penilaian penting bagi semua pihak yang terbabit dalam pendidikan di peringkat rendah. - Gambar hiasan |
“Namun, satu bentuk penilaian yang seragam dan piawaian perlu diadakan bagi mendapatkan maklumat menyeluruh mengenai pencapaian pelajar di peringkat pendidikan rendah dan daripada maklumat itu, banyak keputusan boleh dibuat untuk kepentingan pendidikan.
“Walaupun UPSR ha–nya menumpukan kepada empat mata pelajaran teras, ia tetap dapat memberikan maklumat penting pencapaian dan pembelajaran pelajar kerana bukan mudah mendapatkan maklumat komprehensif,” katanya.
Apa yang penting, katanya, bentuk dan struktur UPSR perlu diubah supaya dapat memberikan maklumat lebih menyeluruh.
“Disebabkan UPSR lebih bersifat ‘high-stake testing’, ini menyebabkan masyarakat memberi tumpuan kepada UPSR.
“Kita juga perlu memikirkan mengenai keperluan pembelajaran pelajar sekolah rendah kerana jika terlalu banyak mata pelajaran yang hendak diuji, pasti ia memberi lebih tekanan kepada pelajar dan guru,” katanya.
Malah, sebagai pentaksiran high-stakes, UPSR penting bagi semua pihak dalam pendidikan peringkat rendah.
“Dari satu sudut, ia menggalakkan pertandingan untuk mengejar keputusan yang baik dan cemerlang, sekali gus memberikan motivasi kepada pelajar untuk memberikan tumpuan kepada pembelajaran dan mendorong mereka mendapatkan keputusan baik.
“Tapi dari sudut lain, ia memberi tekanan kepada semua pihak terutama kepada guru, pelajar dan ibu bapa bagi membantu pelajar membuat persediaan menghadapi UPSR.
“Kesannya, pembelajaran hanya tertumpu kepada mata pelajaran yang diuji dalam UPSR yang menyebabkan berlaku penguncupan kurikulum memandangkan pembelajaran hanya memberi tumpuan kepada topik yang keluar dalam peperiksaan,” katanya. Ruhaiza Rusmin myMetro Bestari 29/09/2014