kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UPSR: Tiada siapa yang sengaja cari susah

HARI ini murid tahun enam di seluruh negara menduduki semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi kertas Sains dan Bahasa Inggeris ekoran kebocoran soalan kedua-dua mata pelajaran terbabit.

Tidak sampai seminggu selepas cuti hari raya haji iaitu pada 9 Oktober ini pula, calon terlibat akan menduduki peperiksaan ulangan (re-sit) bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil.

Penulis tidak pasti berapa ramai daripada 473,175 calon UPSR yang akan hadir untuk peperiksaan ulangan itu. Ini kerana difahamkan ada calon yang kini sudah berada di tanah suci bersama keluarga mengerjakan haji, ada juga sudah berada di luar negara kerana tidak sanggup membatalkan percutian yang dirancang lebih awal.

Bagaimanapun ada juga yang tidak ke mana-mana namun tetap tidak hadir kerana ibu bapa mereka merasakan tidak perlu menduduki semula peperiksaan berkenaan.

Kata mereka - apa susah-susah, tidak ambil UPSR pun tahun depan tetap naik ke tingkatan satu.

Kalangan ibu bapa yang berpendirian sebegini, bahkan segelintir pihak dalam masyarakat kita cenderung menyalahkan Kementerian Pendidikan atas keputusan membatalkan dan menangguhkan peperiksaan bagi beberapa kertas UPSR terbabit.

Mereka marah dengan keputusan itu kerana didakwa 'menyusahkan budak-budak dan mak bapa'.

Walaupun ada antaranya tahu dan pernah 'terserempak' dengan soalan bocor tersebut, mereka tetap menganggap kementerian sengaja 'cari susah' apabila mengarahkan peperiksaan ulangan UPSR bagi kertas Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil yang disahkan bocor.

Hakikatnya siapa yang mahu bersusah-payah mengadakan peperiksaan ulangan? Penulis percaya pihak kementerian kalau boleh tidak mahu melakukannya. Ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan imej, menuntut masa dan tenaga staf terlibat bahkan memakan belanja yang cukup besar.

Bayangkan dengan lebih 400,000 calon UPSR, berapa banyak kertas soalan yang perlu dicetak semula? Jika satu kertas soalan mengandungi sekurang-kurangnya tiga muka surat, ini bermakna sebanyak (400,000 x 3) 1.2 juta kertas perlu dicetak. Itu baharu satu mata pelajaran. Kira sahajalah empat kali ganda, berapa juta pula yang perlu dicetak semula untuk peperiksaan ulangan gara-gara perbuatan tidak amanah pihak yang membocorkan soalan UPSR 2014.

Itu baharu bab kertas soalan, belum lagi kos penghantaran ke sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bukan semudah memasukkan sampul surat ke dalam peti pos. Bab kawalan keselamatan semasa penghantaran dan penyimpanan selagi peperiksaan belum dijalankan turut perlu diambil kira.

Jadi dengan segala macam kepayahan dan belanja tambahan, di samping kritikan dan cemuhan yang dilemparkan, kenapa agaknya kementerian 'bersusah-payah' mahu membatalkan peperiksaan UPSR bagi beberapa mata pelajaran terlibat dan mengadakan pula peperiksaan ulangan?

Lagipun ada kalangan masyarakat yang mendakwa kebocoran kertas soalan peperiksaan ini bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama berlaku di sebalik 'soalan ramalan'.

Jadi tidak bolehkah didiamkan sahaja?

Jawapannya, tidak boleh!

Bak kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini soal prinsip.

Bagi Lembaga Peperiksaan, ini soal memelihara maruah dan integriti UPSR iaitu satu daripada peperiksaan awam utama negara yang dikendalikannya.

Bagi penulis, faktor yang lebih penting kenapa isu ini tidak boleh didiamkan adalah kerana ia juga bersangkut paut dengan nilai moral. Nilai yang hendak kita terapkan dalam diri murid-murid, anak-anak kita, anak bangsa yang akan menjadi pelapis pimpinan negara pada masa depan.

Apakah nilai moral yang hendak kita tanamkan di jiwa mereka jika dari kecil lagi kita 'membenarkan' anak-anak ini bergelumang dengan soalan bocor?

Adakah kita mahu menunjukkan jalan singkat yang salah atau memimpin mereka melalui jalan jauh yang payah tetapi bermaruah?

Perumpamaan Melayu mengaitkan anak-anak umpama kain putih. Kita sebagai orang dewasalah yang memikul amanah mencorakkan anak-anak ini untuk membesar dengan peribadi yang cantik dalaman dan luaran atau tercemar dengan noda hitam.

Insiden kebocoran kertas soalan UPSR 2014 tidak patut dilihat sebagai kegagalan kementerian sebaliknya kejayaan menumpaskan kegiatan tidak bermoral yang mungkin sahaja sudah berakar umbi sehingga tidak lagi dianggap satu kesalahan.

Pihak yang terlibat membocorkan soalan UPSR atau mana-mana jua peperiksaan utama lain, perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman yang keras. Perbuatan mereka memalit lumpur pada profesion perguruan yang disanjung tinggi, tidak boleh dimaafkan.

Penulis percaya ramai dalam kalangan lebih 470,000 calon UPSR akan hadir ke sekolah menduduki peperiksaan ulangan hari ini dan 9 Oktober depan. Penulis juga yakin atas bimbingan guru dan ibu bapa, mereka tidak gentar mahupun tertekan sebaliknya lebih bersemangat untuk mem buktikan bahawa mereka boleh mencapai kejayaan tanpa soalan 'bocor' ramalan.

Sebagai calon UPSR yang 'berpengalaman' menduduki kertas peperiksaan untuk mata pelajaran sama sebelum ini, sepatutnya mereka tidak lagi gugup seperti kali pertama menjawab soalan. Anggaplah ini peluang kedua untuk melakukan yang lebih baik daripada sebelumnya. Coretan Marhaen Utusan/Rencana/20140930

Tags: assessment, pentaksiran, upsr
Subscribe

  • Skor markah bukan tujuan peperiksaan

    ISTILAH penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Gred Inflasi Stagflasi

    Apa yang kita lihat bukan inflasi gred: ini adalah tahap stagflasi Ini adalah peraturan umum bahawa apabila kuantiti item meningkat, nilai…

  • Melengkung Gred: Apa yang tidak kena?

    Istilah penggredan pada lengkung menerangkan pelbagai kaedah yang digunakan oleh pendidik untuk menyesuaikan skor yang diperoleh pelajar dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments