Nilai lima sen itu sebenarnya amat besar bagi para peniaga, tidak silap dikatakan dengan hanya mengambil lima sen sama ada disengajakan atau tidak, boleh menjana keuntungan 'atas angin' hingga ribuan ringgit dalam masa beberapa tahun aktiviti tidak sihat ini dilakukan.
Sifirnya mudah, sebagai contoh untuk sebuah pasar raya diandaikan pelanggan mereka dalam masa sehari mungkin melebih 2,000 orang, jika 1,000 daripadanya diambil lima sen yang bermakna bersamaan dengan RM50, didarab dengan sebulan (RM1,500), didarab lagi dengan setahun (RM18,000) dan keuntungan ini akan terus bercambah sekiranya pelanggan tidak mengedahkannya.
Para pelanggan yang memberikan 'nyawa' kepada premis perniagaan berkenaan sepatutnya tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk membawa lima sen setiap kali keluar membeli-belah dan pada masa sama adalah menjadi kewajipan premis yang berniaga tanpa sebarang kompromi menyediakan duit kecil secukupnya.
Sepatutnya sebagai strategi perniagaan berkesan, premis perniagaan sekiranya tidak mempunyai duit lima sen jangan sesekali membundarkannya kepada 10 sen sebagai jalan mudah mengaut keuntungan, apa salahnya sebagai menghargai sumbangan pelanggan kurangkan terus lima sen daripada mereka!.
Jadikan cadangan ini sebagai prosedur operasi standard (SOP) premis perniagaan, diyakini ia langsung tidak akan dibantah oleh pelanggan, malah SOP ini juga mampu menarik lebih ramai pelanggan, sekali gus melahirkan situasi menang-menang.
Walau bagaimanapun, pengurusan pasar raya atau premis tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana difahamkan taktik licik ini sengaja dilakukan oleh juruwang yang bertugas mengikut giliran. Ini kerana jumlah kutipan sebenar yang akan diserahkan kepada pihak pengurusan bergantung sepenuhnya terhadap apa yang tercatat dalam rekod cetakan jualan.
Justeru, ke mana duit untung atas angin itu pergi? Semestinya masuk ke dalam poket juruwang sekiranya tidak kepada kantung pemilik premis. Meskipun begitu, pihak pengurusan tidak boleh bertindak lepas tangan, satu mekanisme terbaik untuk menanganinya perlu difikirkan seterusnya segera dilaksanakan kerana yang bakal mendapat nama buruk bukannya juruwang licik itu tetapi jenama premis itu yang megah terpampang.
Kepada pelanggan, jangan pula terlalu bermurah hati kerana selagi anda mengambil mudah perkara ini, maka selagi itulah perbuatan mengaut keuntungan mudah ini akan berterusan.
Dalam pada itu, terdapat juga kecurangan dalam kalangan pemilik premis sendiri apabila harga barangan yang dipamerkan pada rak berlainan dengan harga yang dipaparkan skrin semasa pelanggan ingin membayarnya.
Disengajakan atau masalah teknikal? Situasi ini sekiranya jarang-jarang berlaku mungkin masih boleh dimaafkan tetapi sekiranya terlalu kerap berlaku, apa sebenarnya yang tersirat? Natijahnya pihak yang pada setiap masa mengalami kerugian ialah pelanggan terutamanya bagi yang tidak mengendahkan perincian dan lebih gemar membayar apa sahaja yang terpapar di skrin.
Kepada peniaga, utamakanlah etika, jangan hanya pentingkan keuntungan jangka masa pendek sahaja. Perlu diingat, tanpa pelanggan siapalah mereka. Kepada juruwang licik terutama yang beragama Islam, setiap sen yang diambil itu akan diperhitungkan di akhirat.
Sekiranya berdosa dengan Pencipta, diberikan peluang untuk bertaubat. Namun sekiranya melakukan kesalahan sesama makhluk, urusan di hari pembalasan itu akan tergantung selagi tidak meminta pengampunan daripada mereka yang disengajakan tidak diberikan lima sen itu.
Soalnya, macam mana ingin mencari mangsa-mangsa itu, adakah anda mencatatkan nombor telefon atau sekurang-kurangnya bertanyakan nama serta alamat mereka semasa melakukan perbuatan itu.
Memetik kata-kata seorang pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias yang tersebar dalam aplikasi WhatsApp: "Kalau dulu kita jahat, maka sekarang berubahlah jadi baik. Kalau tidak mampu untuk jadi baik, maka lakukanlah yang terbaik". Tarmizi Abdul Rahim Utusan/Rencana/20140930