kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemuda Melayu kena berani bersaing

Baru-baru ini banyak isu berbangkit tentang hak istimewa orang Melayu. Lagi-lagi isu yang sama. Antara yang paling membimbangkan ialah isu tanah rizab Melayu yang hanya tinggal 12 peratus, isu keciciran ekonomi Melayu, isu pendidikan dan pengangguran. Isu yang paling provokasi ialah isu berkaitan Raja-Raja Melayu yang sengaja diapi-apikan oleh pakatan pembangkang seperti di Selangor. Apa akan daya orang Barisan Nasional, ketika pakatan pembangkang lemah, mereka masih tidak berani menyerang lawan, sebaliknya mengambil langkah selamat untuk tidak masuk campur.

Dalam hal 'perubahan diri' ini saya tabik atas usaha dan semangat berani orang muda seperti Feruddin Emir Moehamad Izat Emir. Dalam e-melnya kepada saya kelmarin, Pengerusi Persatuan Profesional dan Komuniti Penggerak Warisan Melayu (PROGerak) ini mengulas intipati ucapan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mustafa Mohamed pada Persidangan Agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Ke-16 baru-baru ini. Intipati ucapan mereka ialah orang Melayu masih menghadapi cabaran asas ekonomi ketika dunia dan bangsa lain sedang menuju kepada cabaran terbuka dan globalisasi. Perubahan dan cabaran ekonomi dunia begitu pantas dan hanya yang cepat dan pantas akan diterima baik dalam pasaran dunia. Orang Melayu wajar bangkit dan tidak boleh berselindung di belakang hak keistimewaan selama-lamanya. Seorang anak kandung yang kita tatang dengan dulang emas, suatu hari kelak pasti akan berhadapan dengan cabarannya sendiri, kerana selain sudah keluar dari rumah untuk berdikari, tidak mungkin ibu bapa boleh berada di sisi anak itu buat selama-lamanya.

Masa hadapan Malaysia bukan untuk golongan orang lama, tetapi diwariskan untuk golongan muda. Seperti mana keringat datuk nenek kita melepaskan kita daripada cengkaman penjajahan dan kemunduran ekonomi, kini apa yang kita kecapi hasil daripada pengorbanan dan perjuangan mereka? Kini, kita mempunyai prasarana pendidikan kerajaan yang baik, pelbagai bantuan ekonomi untuk orang Melayu seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) serta pelbagai lagi initiatif kerajaan lakukan dari semasa ke semasa. Tetapi bantuan demi bantuan tidak semestinya baik kerana kemungkinan besar ia hanya memanjakan orang Melayu.

Feruddin menyatakan, menghadapi cabaran ekonomi tidak sesukar yang disangka. Pengerusi Perdasama Muda Nasional ini memberi komen ini melalui pengalamannya sendiri. Pada tahun 2012, dia mengambil langkah untuk keluar daripada kepompong perniagaan keluarga yang diterajui oleh bapanya yang juga Presiden Perdasama Nasional, Datuk Moehamad Izat Emir.

Perniagaan sistem keselamatan yang diterajuinya bermula dengan modal yang kecil, bersaing dalam pasaran terbuka terutamanya mereka yang terdiri daripada golongan orang lama dan bukan Melayu. Kini perniagaan anak muda ini merangkumi pasaran seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Apa yang menarik ialah majoriti anggota tenaga kerja syarikat Feruddin ialah daripada golongan berusia awal 20-an, lepasan Diploma dan Ijazah UiTM serta berasal dari Kelantan.

Setakat ini kata Feruddin, syarikatnya belum lagi meminjam daripada mana-mana bank atau institusi kewangan untuk membiayai perniagaannya. Ia hanya memerlukan komitmen keberanian, kecekalan, kerajinan mencari ilmu dan sikap tidak mudah berpuas hati. Selama setahun Feruddin dan rakannya bekerja seperti pesaing lain iaitu bermula dari awal pagi dan pulang lewat malam - hampir setiap hari. Mereka menjelajah ke seluruh negara untuk melebarkan pasaran dan jualan. Terbukti mereka berjaya menzahirkan perubahan. Mereka berani dan komited mengambil peluang yang sedia ada.

Golongan muda perlu berani tampil ke hadapan, menyahut cabaran, menzahirkan perubahan, barulah digeruni oleh pesaing. Tetapi sekiranya golongan muda-mudi hanya membazir masa berdemo dan melaung sana-sini selain bercerita di kedai kopi, tidak mungkin kejayaan dan kemajuan datang bergolek kepada mereka. Feruddin menitipkan kata-kata, "Kita adalah apa yang kita lakukan, sekiranya kita lebih cenderung menjadi juara mengeluh sana sini, kita akan menjadi bangsa yang dipandang lemah, kerana hanya tahu mengeluh tanpa usaha.

"Perubahan yang terbaik bermula dengan diri kita dan membuktikan orang muda boleh melakukannya. Apabila ini berlaku maka sekeliling kita juga akan timbul rasa hormat dan secara tidak langsung mengubah dan menaikkan martabat nasib bangsa Melayu. Orang muda ialah pemimpin dan empunya masa hadapan negara ini. Siapa lagi jika bukan kita yang melakukan perubahan ini. Setiap kejayaan pasti memerlukan pengorbanan. Inilah nilai sebenar sebuah perjuangan. Salam perpaduan dan kebangkitan," ayat penutup e-mel Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian PJ Selatan, Selangor ini boleh dianggap satu cabaran kepada golongan muda yang lain. AZMAN ANUAR Utusan/Rencana/20141005

Tags: ekonomi, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments